Now Reading
[Video] Insiden Tembakan & Letupan Di Selatan Thailand, KDN Saran Rakyat Tangguh Perjalanan Ke Sana

[Video] Insiden Tembakan & Letupan Di Selatan Thailand, KDN Saran Rakyat Tangguh Perjalanan Ke Sana

Satu insiden tembakan dan letupan di Pejabat Daerah Sungai Golok, Narathiwat yang berlaku pada Sabtu (8 Mac) lalu telah mengorbankan dua anggota sukarelawan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Insiden letupan dan tembak-menembak di beberapa wilayah di selatan Thailand kerap dilaporkan susulan konflik yang timbul antara kerajaannya dengan kumpulan gerakan pemisah.

Seperti sebelum ini, serangan yang berlaku di Tak Bai pada 2004 telah mengorbankan sehingga 80 penduduk.

Kini, setelah lebih 20 tahun sejak tragedi berdarah Tak Bai itu, kejadian sedemikian masih dilaporkan berlaku serta turut mengorbankan banyak mangsa.

Baca Artikel Berkaitan: Letupan & Tembakan Gegar Pekan Tak Bai Di Sempadan Malaysia-Thailand

Baca Artikel Berkaitan: Letupan Bom Kali Kedua Di Landasan Kereta Api Songkhla Ragut 3 Nyawa

2 Anggota Sukarelawan Terkorban Dalam Serangan Di Pejabat Daerah Sungai Golok Narathiwat

Menerusi video yang dimuat naik di kumpulan Facebook Info Semasa, Riadah, Musibah, Kemalangan, Bencana Kedah & Utara, satu insiden tembak-menembak dan pengeboman telah berlaku baru-baru ini.

Tonton video lain-lain [DI SINI].

Dalam kejadian terbabit, Pejabat Daerah Sungai Golok, Narathiwat telah diserang oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang menaiki dua kenderaan pacuan empat roda.

Insiden sekitar 7 malam Sabtu (8 Mac) lalu itu telah mengorbankan dua anggota sukarelawan pertahanan serta lapan tercedera, lapor Sinar Harian.

Menurut Timbalan Ketua Polis Sungai Golok, Leftenan Kolonel Pol Nitti Suksang, sukarelawan pertahanan yang sedang bertugas diserang dengan tembakan serta letupan bom tangan.

Berdasarkan laporan Sinar Harian, beberapa insiden serupa telah berlaku di Wilayah Narathiwat dan Pattani pada 8 Mac yang sehingga menyebabkan sejumlah lima orang terkorban manakala 13 lagi tercedera.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan Thailand memberi jaminan bahawa agensi keselamatan akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan keselamatan penduduk di selatan Thailand.

4 Rakyat Malaysia Dibantu Penunggang Motosikal Tambang Untuk Segera Ke ICQS Rantau Panjang

Menurut laporan Harian Metro, empat rakyat Malaysia baru selesai berbuka puasa di pekan Golok dan mahu pulang ke Rantau Panjang, Kelantan sebelum dikejutkan oleh bunyi letupan berkenaan.

Difahamkan mereka baru sahaja melepasi kawasan terbabit saat letupan berlaku memandangkan ia adalah laluan keluar ke pintu sempadan berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

“Bunyi bom begitu kuat sehingga kami panik sebelum dibantu oleh beberapa penunggang motosikal tambang yang menyuruh kami segera ke ICQS kerana kejadian berbalas tembakan dan bom kedengaran.

“Ini adalah pengalaman pertama dan ia sangat mendebarkan. Padahal baru sahaja kami menikmati suasana berbuka puasa dan keadaan aman dengan ramai orang,” kata salah seorang daripada mereka.

Sehubungan itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menasihati penduduk negeri terbabit agar tidak berkunjung ke selatan Thailand buat masa kini.

Katanya, ramai penduduk di Kelantan gemar berbuka puasa di Selatan Thailand termasuk Pekan Golok walaupun banyak insiden letupan bom berlaku di wilayah terbabit sejak kebelakangan ini.

KLN Gesa Rakyat Malaysia Tangguh Perjalanan Ke 3 Wilayah Di Thailand

Dalam masa sama, Kementerian Luar Negeri (KLN) semalam (9 Mac) menggesa rakyat Malaysia agar mengelak daripada berkunjung ke Yala, Narathiwat dan Pattani buat sementara waktu jika tiada kepentingan.

Menerusi satu kenyataan, kementerian itu berkata ia memantau rapat situasi semasa melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Wisma Putra turut menasihati warganegara Malaysia yang akan dan sedang berada di ketiga-tiga wilayah terbabit agar sentiasa berwaspada dan disarankan untuk mendaftar keberadaan di wilayah berkenaan dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Dalam situasi kecemasan, Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia untuk menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menerusi butiran berikut:

Alamat: No. 4, Sukhum Road, Muang District, Songkhla Province, Thailand
Telefon: +6674 311 062 / +6674 316 274 dan +6693 657 0707 (kecemasan sahaja).
E-mel: mwsongkhla@kln.gov.my

Insiden Letupan Kerap Berlaku Di Bulan Ramadan Di Selatan Thailand

Media telah melaporkan beberapa insiden tembakan dan letupan bom di sekitar selatan Thailand yang berlaku dalam bulan Ramadan.

Sebelum ini, satu insiden tembakan dan letupan bom yang berlaku di Tak Bai pada 24 Oktober 2004 (11 Ramadan) telah mengorbankan lebih 80 penduduk beragama Islam.

Pada 20 Mei 2018 (4 Ramadan), wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla disasarkan dengan 20 butir bom di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Kejadian letupan bom di pasar Ramadan di Pekan Bo Thong, Nong Chik, Pattani pada 27 Mei 2019 pula menyebabkan dua terkorban serta 14 tercedera.

Rakyat Malaysia juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa serangan berkenaan apabila dua wanita rakyat Malaysia mengalami kecederaan akibat terkena letupan bom semasa sedang berada di tapak ekspo di Jalan Phu Pha Phakdi, Narathiwat tahun lalu.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Insiden Tembakan Di Restoran Di Hatyai, Dua Beradik Jadi Yatim Piatu

Baca Artikel Berkaitan: “Kami Bina Perisai Manusia” – TMJ & Keluarga Terselamat Insiden Tembakan Di Bangkok


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd