[Video] Hujan Batu Dan Angin Ribut Landa Shah Alam Pada Ahad
Difahamkan, hujan batu tiba-tiba melanda Shah Alam seiring dengan angin ribut yang kuat pada Ahad (9 Mac) petang.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Fenomena hujan batu atau hujan ais memang sesuatu yang jarang berlaku di Malaysia, dan tidak semua orang berpeluang merasainya sendiri.
Kejadian ini biasanya dikaitkan dengan ribut petir yang kuat, di mana arus udara naik membawa titisan air ke lapisan atmosfera lebih sejuk, menyebabkan ia membeku sebelum jatuh semula ke bumi sebagai ketulan ais.
Kebiasaannya, peralihan monsun pada awal dan hujung tahun membawa angin kencang serta ribut yang lebih kuat, meningkatkan kemungkinan berlakunya hujan batu di beberapa negeri.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Sebab Kenapa KL & Selangor Alami Cuaca Panas Sejak Kebelakangan Ini
Baca Artikel Berkaitan: Suhu Di Asia Tenggara Kekal Tinggi, Ini Tips Untuk Hadapi Cuaca Panas
Baca Artikel Berkaitan: Ribut Suria Fenomena Biasa Yang Kerap Berlaku, Orang Ramai Tak Perlu Panik
Hujan Batu Melanda Shah Alam
Shah Alam dikejutkan dengan kejadian hujan batu yang berlaku secara tiba-tiba semalam (9 Mac).
Menerusi sebuah video yang dikongsi di TikTok (@hajiterikatketat), kelihatan ketulan ais kecil jatuh dari langit dalam jumlah yang banyak, membasahi permukaan jalan dan kawasan sekitar.
Dalam rakaman tersebut, seorang pemuda dilihat mengutip ketulan ais yang baru sahaja turun ke bumi, sambil menunjukkan keunikannya kepada kamera.
Video insiden tersebut turut tular di media sosial yang lain.
Fakta Tentang Hujan Batu
Memetik laporan Astro Awani, berikut adalah fakta mengenai hujan batu:
- Terbentuk dalam awan ribut petir (kumulonimbus) apabila titisan air dibawa ke lapisan atmosfera sejuk dan membeku.
- Proses pemeluwapan berlaku pada debu atau partikel halus, membentuk nuklei kondensasi sebelum menjadi ketulan ais.
- Semakin banyak titisan air membeku, semakin besar ketulan ais yang terbentuk.
- Hujan batu berlaku apabila ketulan ais gagal mencair sebelum sampai ke bumi.
- Kebanyakan ribut petir mengandungi ais, tetapi tidak semuanya menghasilkan hujan batu.
- Faktor seperti kawasan berbukit boleh menyebabkan arus angin menolak titisan air lebih tinggi, meningkatkan peluang hujan batu.
- Malaysia yang beriklim khatulistiwa dan sering mengalami musim tengkujuh mempunyai risiko tinggi untuk fenomena ini berlaku.
Mengapa Hujan Batu Berlaku di Malaysia?
Pengerusi Jabatan Sains Bumi & Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Fredolin Tangang berkata hujan batu di Malaysia biasanya berlaku semasa musim peralihan monsun iaitu April hingga Mei dan September hingga Oktober.
Sepanjang tempoh ini, ribut petir sering berlaku akibat pertembungan angin dari pelbagai arah, mencipta keadaan yang sesuai untuk pembentukan hujan batu.
Selain itu, faktor pemanasan global dan perubahan iklim juga boleh meningkatkan kejadian hujan batu di masa hadapan kerana peningkatan suhu dan kelembapan yang lebih tinggi.
Langkah Keselamatan Semasa Hujan Batu
MetMalaysia mengesyorkan beberapa langkah keselamatan jika anda berdepan dengan fenomena hujan batu:
- Elakkan berada di kawasan terbuka.
- Cari tempat berlindung yang selamat (jangan berteduh di bawah pokok kerana risiko terkena panahan petir).
- Jauhkan diri dari tingkap.
- Jika memandu, hentikan kenderaan di bawah struktur berbumbung seperti jambatan atau jejambat.
Walaupun jarang berlaku, hujan batu tetap boleh menyebabkan kerosakan dan ianya merupakan sesuatu yang mendatangkan bahaya.
Oleh itu, sentiasa peka terhadap ramalan cuaca dan ambil langkah berjaga-jaga jika cuaca buruk melanda.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Hujan Lebat Sekitar KL, Banyak Kawasan Dinaiki Banjir & Berlaku Tanah Runtuh
Baca Artikel Berkaitan: Met Malaysia Beri Amaran Monsun Timur Laut Bermula 3 November Hingga Mac 2022
Baca Artikel Berkaitan: Fenomena Hujan Batu Di Cheras [Video]
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



