Now Reading
Polis Siasat Punca Kematian Kakitangan MoF, Kaki & Leher Terjerut ‘Cable Tie’

Polis Siasat Punca Kematian Kakitangan MoF, Kaki & Leher Terjerut ‘Cable Tie’

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata tiada sebarang unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (5 Mac), media melaporkan seorang kakitangan Pejabat Perbendaharaan, Kementerian Kewangan (MoF) telah ditemui meninggal dunia di pejabatnya.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Polis KL, lelaki berusia 45 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai pejabat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden terbabit menerusi panggilan kecemasan MERS 999 oleh orang awam sekitar 10.56 pagi semalam.

Kakitangan Pejabat Perbendaharaan Ditemui Dalam Keadaan ‘Cable Tie’ Terikat Di Leher & Kaki

Sehubungan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya telah digegaskan ke tempat kejadian.

“Hasil pemeriksaan awal, mendapati si mati dalam keadaan terbaring di atas lantai pejabat dengan keadaan leher dan kaki terjerut menggunakan ‘cable tie’,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata tiada sebarang unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau Sudden Death Report (SDR).

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Putrajaya bagi tujuan bedah siasat.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat juga diminta menghubungi pihak polis di Hotline Polis KL (03-2115 9999) atau Hotline Polis Putrajaya (03-8886 2222).

MoF Serahkan Siasatan Kepada Pihak Polis

Penemuan kakitangannya yang meninggal dunia di pejabat turut disahkan oleh pihak MoF dalam satu kenyataan semalam, lapor Kosmo.

Katanya, keluarga dan waris si mati telah dimaklumkan mengenai insiden terbabit oleh pihak berkuasa.

“MoF turut berdukacita dengan kejadian ini dan merakamkan takziah kepada keluarga waris.

“Pihak kementerian memberi kerjasama penuh dan menyerah perkara ini kepada polis untuk siasatan,” ujarnya.

Polis Akan Lakukan Siasatan Menyeluruh Kenal Pasti Punca Kematian

Terbaharu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengetahui kejadian sebenar insiden dan mengenal pasti punca kematian.

“Masih terlalu awal untuk kita membuat sebarang komen, memadai dengan menyerahkan perkara ini untuk siasatan pihak polis,” katanya selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Kementerian Dalam Negeri (KDN) dipetik Metro Harian.

Tambah Saifuddin, pihak polis akan diminta untuk berkongsi maklumat insiden terbabit kepada pihak media yang dianggap penting dan munasabah.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd