Now Reading
Pakar Cadang Kerajaan Tubuhkan Institusi Keselamatan Sosial, Elak Bergantung Pada KWSP Semata

Pakar Cadang Kerajaan Tubuhkan Institusi Keselamatan Sosial, Elak Bergantung Pada KWSP Semata

Ahli Ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai berkata masalah yang dihadapi rakyat sepatutnya ditangani menerusi institusi keselamatan sosial dan bukanlah dengan melakukan pengeluaran awal KWSP.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Orang ramai seharusnya cakna mengenai kepentingan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam mengumpul simpanan bagi usia persaraan.

Dengan peningkatan kadar dividen sehingga 6.3% bagi simpanan tahun 2024 dalam kedua-dua Akaun Konvensional dan Akaun Shariah, ia semestinya menjadi salah satu instrumen simpanan yang menguntungkan buat para pencarum.

Kerajaan sebelum ini pernah membenarkan pengeluaran awal KWSP seperti i-Sinar (RM10,000) dan i-Citra (RM5,000) sewaktu negara dan seluruh dunia berdepan pandemik COVID19.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun dilaporkan berkata pengeluaran sedemikian akan menjadi masalah buat para pencarum, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak mempunyai simpanan lain.

Baca Artikel Berkaitan: Benarkan Pengeluaran KWSP Awal Seolah ‘Menghukum’ Pencarum Di Usia Tua – Anwar Ibrahim

Baca Artikel Berkaitan: Mahu Miliki RM1 Juta Dalam Akaun KWSP? Ini 5 Tips Berguna Untuk Ahli Mulai Praktik

Baca Artikel Berkaitan: Boleh Capai Simpanan RM1 Juta Ketika Bersara Meski Gaji Permulaan RM1,700 – KWSP

Ahli Ekonomi Cadang Wujudkan Institusi Keselamatan Sosial Di Malaysia

Mengulas lanjut isu simpanan KWSP, Ahli Ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai mencadangkan kerajaan agar menubuhkan institusi keselamatan sosial supaya rakyat tidak hanya bergantung kepada pengeluaran KWSP semata-mata dalam kes tertentu.

Beliau yang berkhidmat di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata tabung wakaf boleh diwujudkan bagi menubuhkan institusi berkenaan.

“Kalau ada kemungkinan masalah pencarum (KWSP) perlu mengeluarkan wang kerana menyara, membayar kos perubatan, untuk membayar kos musibah banjir, kemalangan, kesihatan, itu tidak boleh ditangani melalui KWSP. Sepatutnya ia ditangani melalui satu institusi lain yang dipanggil institusi keselamatan sosial.

“Di negara lain, ada institusi keselamatan sosial ini dan ia boleh ditubuhkan menggunakan sistem wakaf misalnya, yang membolehkan setiap orang mencarum dan kalau kita ada sistem begitu, kita tidak akan mengusik simpanan KWSP lagi,” katanya dipetik Berita Harian.

Malaysia Bakal Jadi Negara Menua Menjelang 2035

Jelas Berjoyai, 15% penduduk di Malaysia bakal mencapai umur persaraan menjelang 2035 sekaligus menjadikan negara ini sebagai sebuah negara menua.

Beliau turut membuat perbandingan antara situasi di Jepun sebagai sebuah negara menua dengan Malaysia.

“Kalau di Jepun, negara itu juga negara menua tapi semua warga tuanya dah bersedia untuk menghadapi hari tua kerana mereka ada simpanan yang cukup besar daripada simpanan pekerjaan tapi kita di Malaysia tak ada dan inilah yang menjadi masalah,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Kadar Kelahiran Bayi & Kematian Berkurangan, Malaysia Bakal Jadi Negara Menua Pada 2030

Pakar Cadang Buka Semula Pendaftaran PADU Untuk Kesan Rakyat Dalam Kesusahan

Dalam pada itu, bercakap mengenai sistem bagi mengesan rakyat yang mengalami masalah ekonomi, orang ramai pasti tahu mengenai Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun lalu.

Pengarah Program MBA di Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, menyarankan pendaftaran ke sistem tersebut dibuka semula supaya kerajaan dapat mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan dengan optimum.

“(Pendaftaran PADU) masih belum ramai, (kerajaan) kena buka (semula pendaftaran) PADU, sebab lagi mudah untuk kesan dan kenal pasti siapa yang layak terima bantuan terutama golongan M40 dan miskin bandar, kalau B40 dah dapat banyak bantuan.

“Jadi bantuan yang akan disalurkan kerajaan akan lebih bersasar, tidak perlu lagi bergantung kepada KWSP kerana bantuan itu sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Sistem Keselamatan Sosial Agihkan Semula Pendapatan Dalam Kalangan Pencarum

Seperti yang dikatakan, institusi keselamatan sosial telah banyak diguna pakai di negara-negara lain. Mengambil contoh negara Jepun, National Institute of Population and Social Security Research menjelaskan bahawa semua rakyat di negara itu dimasukkan ke dalam program pencen awam dan insurans kesihatan.

Menerusi sistem ini, rakyat Jepun yang berusia 40 tahun ke atas akan dilindungi oleh insurans penjagaan jangka panjang, manakala para pekerja dilindungi oleh insurans pekerja dan insurans kemalangan berkaitan kerja.

Berbeza dengan insurans biasa seperti di Malaysia, sistem insurans sosial di Jepun dibiayai menerusi premium dan disokong oleh pendapatan cukai dalam bentuk subsidi.

Premium bagi insurans sosial ini dikongsi sesama pencarum, dengan masing-masing membayar mengikut tahap pendapatan mereka.

Oleh yang demikian, fungsi insurans sosial adalah untuk berkongsi risiko serta mengagihkan semula pendapatan sesama kumpulan pencarum. Dalam masa sama, negara itu masih mempunyai sistem bantuan kebajikan bagi keluarga dan mereka yang kurang berkemampuan yang dibiayai oleh kerajaan.

Diingatkan jua bahawa Malaysia turut mempunyai inisiatif simpanan di bawah KWSP khas untuk mereka yang bekerja sendiri iaitu i-Saraan. i-Saraan memberi peluang kepada ahli yang bekerja sendiri serta pekerja sektor ekonomi gig tanpa pendapatan tetap menerima insentif khas daripada Kerajaan bagi tujuan persaraan, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.​

Baca Artikel Berkaitan: Pertimbangkan Perkara Ini Sebelum Lakukan Pengeluaran Dari Akaun 3 KWSP

Baca Artikel Berkaitan: Nak Berbelanja Tapi Takut Terlebih Bajet? Ini Cara Kumpul Sinking Fund

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Ramai Terkedu Lihat Akaun KWSP Anak Muda Cecah Ratusan Ribu Ringgit


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook,  Twitter, Threads  dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd