Now Reading
Isu Beras Campur, Tiada Keperluan Kaji Semula Kadar Zakat Fitrah – Mufti Pahang

Isu Beras Campur, Tiada Keperluan Kaji Semula Kadar Zakat Fitrah – Mufti Pahang

Isu penetapan semula kadar zakat fitrah itu timbul apabila wujudnya kes beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) yang dicampurkan sebelum ini.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sebelum ini, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengesahkan terdapat pengilang tidak bertanggungjawab yang mencampurkan beras putih tempatan (BPT) dengan beras import dipercayai bagi mengaut keuntungan lebih tinggi.

Kajian itu dilakukan pihak MARDI terhadap lebih daripada 5,000 sampel butir beras yang dijual sebagai beras putih import (BPI).

Analisis mendapati sekitar 40% hingga 50% dari sampel berkenaan terdapat asid deoksiribonukleik (DNA) kepada beras tempatan. Oleh disebabkan wujudnya skandal beras campur ini, timbul pula persoalan tentang kadar zakat fitrah yang perlu dibayar.

Baca Artikel Berkaitan: Kajian Mardi Sahkan Beras Putih Tempatan Dicampur Dengan Beras Import

Kadar Zakat Fitrah Berdasarkan Jenis Beras Yang Digunakan

Terbaharu, Mufti Pahang Prof Datuk Dr Asmadi Mohamad Naim berkata tiada keperluan jawatankuasa fatwa negeri bagi mengkaji semula kadar zakat fitrah yang sudah diumumkan ekoran isu berlaku pencampuran beras putih tempatan dalam kampit beras import.

Ulas beliau, jawatankuasa fatwa negeri menyedari isu terbabit dan disebabkan itu, kadar zakat ditetapkan berdasarkan jenis beras yang digunakan individu.

“Jika masyarakat menggunakan beras tempatan 5% hancur, maka kadar zakat fitrah ialah RM7. Beras tempatan 10% hancur sudah susah didapati, atau hampir tiada.

“Jika mereka menggunakan beras import termasuk yang bercampur, yang harganya lebih daripada RM40 sekampit bagi 10 kilogram (kg), kadar zakat fitrahnya ialah RM14 (bagi umat Islam di Pahang).

“Jika mereka menggunakan beras import yang lebih mahal, maka mereka disyorkan membayar zakat fitrah RM21. Jadi, tiada isu untuk mengkaji semula kadar zakat fitrah yang diumumkan,” kata beliau dipetik Harian Metro.

Sumber: Freepik

Ada 2 Kaedah Pembayaran Zakat Fitrah

Perkara ini turut dipersetujui oleh Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman yang memaklumkan bahawa kadar bayar zakat fitrah adalah berdasarkan nilai kepada segantang Baghdad iaitu bersamaan dengan 2.6kg beras yang digunakan.

Jelas Mohd Sukki, di Pulau Pinang, orang Islam yang makan beras putih tempatan bercampur dengan beras putih import perlu mengeluarkan zakat fitrah sebanyak RM10 seperti mana yang sudah ditetapkan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Menurut mufti itu lagi, pembayaran zakat fitrah ada dua kaedah. Pertama, individu membayar zakat fitrah berdasarkan kepada makanan asasi majoriti penduduk disebut sebagai Qutul Balad. Yang kedua adalah, kita bayar zakat berdasarkan kepada makanan asasi kita sendiri disebut sebagai Qutul Nafsi.

“Di Pulau Pinang, makanan asasi yang dimakan oleh majoritinya 48% penduduk ialah beras import, maka seseorang itu boleh mengeluarkan zakat fitrah berdasarkan makanan majoriti penduduk Pulau Pinang (beras import) bernilai RM10 segantang,” ujar beliau.

Individu Boleh Bayar Zakat Fitrah Mengikut Jenis Beras Yang Dimakan

Mohd Sukki bagaimanapun menjelaskan bahawa seseorang itu juga boleh mengeluarkan zakat fitrah berdasarkan beras dimakannya iaitu:

  • Beras tempatan: RM7
  • Beras rebus, ‘Thai white rice’, beras perang: RM15
  • Beras jenis berkualiti tinggi seperti beras wangi, beras pulut, beras herba ponni, beras calrose, beras merah import dan beras basmathi: RM25

Berbicara mengenai isu campuran beras tempatan dan import, beliau menegaskan bahawa aktiviti terbabit dikira sebagai satu bentuk penipuan yang mesti ditangani dalam kadar segera.

Sumber: Malay Mail

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyerahkan kuasa penetapan semula kadar zakat fitrah berdasarkan gred beras kepada kebijaksanaan Jawatankuasa Fatwa dan Majlis Agama Islam setiap negeri.

“Penetapan kadar fitrah dibuat berdasarkan harga beras pada waktu fatwa itu dikeluarkan. Jika ada keperluan untuk kaji semula, perkara ini akan dibawa ke perbincangan Jawatankuasa Fatwa dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri,” ujar Mohd Na’im.

Hukum Sengaja Lewatkan Bayaran Zakat Fitrah

Umum sedia maklum, zakat fitrah merupakan satu kewajipan ke atas setiap umat Islam yang memenuhi syarat. Berikut adalah syarat wajib bagi seseorang Muslim menunaikan ibadah zakat fitrah:

  • Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  • Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari.
  • Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya
  • Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadan
Sumber: Lembaga Zakat Selangor

Untuk info, pembayaran zakat ini perlulah dilangsaikan dalam tempoh waktu bulan Ramadan sahaja. Jika pembayaran zakat sengaja dilewat-lewatkan sehingga terbenamnya matahari raya pertama tanpa keuzuran, seseorang itu dianggap berdosa.

Manakala pembayaran zakat setelah masuk 2 Syawal dikira sebagai sedekah semata-mata. 

Baca Artikel Berkaitan: Ini Waktu Terbaik Untuk Bayar Zakat Fitrah. Jika Terlepas, Dikira Berdosa & Ada Penyelesaiannya

Baca Artikel Berkaitan: Ini 6 Jenis Platform Untuk Bayar Zakat Fitrah Secara Online

Baca Artikel Berkaitan: “Jangan Memandai” – UAI Jelaskan Anak Tak Boleh Bayar Zakat Fitrah Ibu Ayah Tanpa Minta Izin [Video]


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd