Tiada Kes Prima Facie, Hukuman Mati Ke Atas 6 Bekas Penuntut UPNM Tidak Selamat – Peguam
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili salah seorang bekas penuntut UPNM terbabit berkata Mahkamah Tinggi tidak melakukan penilaian maksimum terhadap keterangan dua saksi pendakwaan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Negara pastinya tidak dapat melupakan insiden pembunuhan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang berlaku pada tahun 2017.
Sehubungan itu, seramai enam bekas penuntut institusi pendidikan terbabit iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali disabitkan bersalah dan dikenakan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya.
Mereka sebelum itu dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun, namun ditolak setelah mahkamah membenarkan rayuan pendakwaan.
Baca Artikel Berkaitan: [Terkini] Kes Kematian Zulfarhan: 6 Bekas Penuntut UPNM Dihukum Gantung
Baca Artikel Berkaitan: 6 Bekas Penuntut UPNM Dijatuhi Hukuman Penjara 18 Tahun Atas Kes Zulfarhan
Baca Artikel Berkaitan: Sultan Ibrahim Titah Henti Budaya Dera Di UPNM
Peguam Berhujah Tiada Kes Prima Facie Bagi Kesalahan Membunuh
Terbaharu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhammad Najib memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa sabitan dan hukuman mati yang dikenakan terhadap enam tertuduh itu adalah tidak selamat dan seharusnya diketepikan.
Menerusi hujahnya, beliau berkata tiada kes prima facie bagi kesalahan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat, mahupun kesalahan membunuh, berdasarkan keterangan terhadap perayu ketiga.
Tambahnya lagi, Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam bergantung kepada keterangan pemilik seterika yang merupakan saksi pendakwaan ke-27 (SP27).
“Tiada dalam mana-mana keterangan SP27 mengatakan dia melihat perayu ketiga menyeterika mangsa (Zulfarhan). Penemuan yang salah ini telah memprejudiskan anak guam saya. Ini adalah kesilapan yang boleh dirayu,” katanya pada pendengaran rayuan enam pelajar semalam (18 Februari).
Mahkamah Tinggi Anggap SP24 & SP25 Saksi Boleh Dipercayai, Tetapi Tiada Penilaian Maksimum Dibuat
Menurut Hisyam, dua bekas pelajar UPNM iaitu Ahmad Senabil Mohamad (SP24) dan Mohd Syafiq Abdullah (SP25) dianggap sebagai saksi boleh dipercayai oleh kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Namun dia berhujah bahawa penilaian maksimum terhadap keterangan saksi tersebut tidak dilakukan oleh Mahkamah Tinggi.
“Jika berbuat demikian, Mahkamah Tinggi akan mendapati keterangan mereka tidak mempunyai kredibiliti. Mahkamah Rayuan melakukan kesilapan serupa.
“SP24 ditahan dan direman 14 hari atas tuduhan menyebabkan kematian mangsa dan beliau memberi keterangan terhadap tahanan lain untuk menyelamatkan diri,” katanya yang memohon agar Mahkamah Persekutuan membebas dan melepaskan anak guamnya.
Saksi Pendakwaan Ke-6 (SP6) Rumuskan Kematian Disebabkan Kecederaan Melecur Teruk
Dalam masa sama, peguam Amer Hamzah Arshad mewakili Muhammad Akmal dan Muhammad Azamudin mengemukakan hujah bahawa pihak pendakwaan gagal memenuhi standard bagi memastikan sabitan terhadap dua anak guamnya itu bagi kesalahan membunuh.
Katanya, jelas timbul keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan berdasarkan keterangan Dr Rohayu Shahar Adnan selaku saksi pembelaan ke-19 (SD19) berhubung tahap kebarangkalian kematian akibat kecederaan melecur teruk atau punca alternatif kematian.
“Oleh itu, jika diambil secara kumulatif, keterangan pakar saksi pendakwaan keenam (SP6) Dr Salmah Arshad adalah tidak muktamad dan bukti dikemukakan pihak pendakwaan tidak memenuhi unsur kesalahan membunuh.
“Pada keterangan dan laporan bedah siasat, SP6 merumuskan bahawa sebab kematian adalah disebabkan kecederaan melecur teruk,” katanya dipetik Berita Harian.
Mangsa Mungkin Meninggal Dunia Akibat Sindrom Steve Johnson
Tambah peguam bela Abdoul Hakeem, Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus, kematian mangsa mungkin disebabkan oleh antibiotik yang diberikan doktor dikenali sebagai sindrom Steve Johnson.
Pendengaran yang berlangsung di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, akan bersambung pada 28 Februari.
Baca Artikel Berkaitan: ATM Lakukan 8 Langkah Penambahbaikan & Pencegahan Atasi Gejala Buli Di UPNM
Baca Artikel Berkaitan: Kes Buli UPNM: Kadet Terlibat Boleh Dihentikan & Perlu Bayar Balik Biasiswa
Baca Artikel Berkaitan: Apakah Hukum Peguam Membela Pihak Bersalah? Ini Penjelasan Ustaz Azhar Idrus
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



