Now Reading
Lembah Klang Hab Pelancongan Perubatan No. 1 Di Malaysia, Berjaya Atasi Pulau Pinang

Lembah Klang Hab Pelancongan Perubatan No. 1 Di Malaysia, Berjaya Atasi Pulau Pinang

Walaupun jumlah pesakit antarabangsa ke Pulau Pinang menurun pada 2024 berbanding 2019, negeri itu masih menerima kenaikan pendapatan pelancongan perubatan yang ketara.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pelancongan perubatan merupakan satu industri yang ke hadapan di Malaysia apabila menerima seramai 1.2 juta pelancong sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Dalam pada itu, Pulau Pinang telah menjadi lokasi pelancongan perubatan paling lama bertapak di dalam negara.

Negeri Pulau Mutiara itu juga telah mendominasi pasaran industri pelancongan perubatan negara sebanyak 45% daripada jumlah RM1.15 bilion pada enam bulan pertama tahun 2024.

Wilayah Tengah Hab Pelancongan Perubatan Nombor 1

Terkini, Lembah Klang telah mengatasi Pulau Pinang dan menjadi hab pelancongan perubatan nombor satu dalam negara.

Berdasarkan data yang direkodkan oleh Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) bagi Januari hingga November 2024, Lembah Klang telah menerima kira-kira 560,700 pesakit antarabangsa sekaligus mencatat pendapatan sekitar RM886 juta.

Ini menunjukkan peningkatan pelancongan perubatan di Lembah Klang lebih 14% berbanding 490,000 pesakit pada 2019.

“Wilayah Tengah itu mendahului, menyumbang 41.6% jumlah pendapatan dan mengendalikan 44.5% daripada keseluruhan pelancong penjagaan kesihatan,” kata MHTC.

Menurut laporan Malay Mail, peningkatan pelancong perubatan paling tinggi dicatatkan dalam bidang gastroenterologi, obstetrik dan ginekologi, pembedahan ortopedik, onkologi, telinga, hidung, dan tekak (ENT), serta kardiologi.

Seperti yang disenaraikan dalam Rangka Tindakan Industri Pelancongan Kesihatan Malaysia 2021-2025 MHTC, pemeriksaan kesihatan, gastroenterologi, kanser dan neoplasma, serta obstetrik dan ginekologi merupakan rawatan utama pelancong perubatan pada tahun 2019.

Jumlah Pelancong Perubatan Ke Pulau Pinang Menurun, Tetapi Pendapatan Meningkat

Walaupun jumlah pesakit antarabangsa di Pulau Pinang menurun dari 500,000 pada 2019 hingga 453,600 pada 2024, negeri itu masih menerima kenaikan pendapatan yang ketara iaitu dari RM750 juta ke RM866 juta bagi tempoh sama.

Jumlah ini menyumbang kepada 40.7% daripada jumlah pendapatan negara.

Pada tahun 2024, Wilayah Utara (Pulau Pinang) mengendalikan 36% jumlah pelancong perubatan di dalam negara.

Pendapatan Pelancongan Perubatan Di Wilayan Selatan & Timur Juga Meningkat

Pendapatan dalam perubatan pelancongan di Wilayah Selatan, yang merangkumi Melaka dan Johor, juga meningkat dari RM185 juta pada 2019 ke RM253 juta pada 2024.

Daripada lebih 99,000 pesakit antarabangsa, 90% pelancong perubatan di Melaka adalah dari Indonesia, terutamanya dari Batam, Pekan Baru dan Bengkalis, Riau.

Bernama sebelum ini melaporkan bahawa jumlah itu dicapai hasil promosi yang sering dijalankan untuk menarik warga Indonesia menyeberangi selat bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Wilayah Timur yang sebelum ini hanya termasuk Sabah dan Sarawak pada 2019 juga mengalami peningkatan pendapatan pelancongan, mencapai kira-kira RM123.5 juta, setelah merangkumi negeri-negeri Pantai Timur di Semenanjung Malaysia tahun lalu.

Pendapatan ini merupakan 5.8% daripada pendapatan negara dan berjaya dicapai walaupun jumlah pesakit menurun dari 70,000 pada 2019 hingga sekitar 66,700 pada 2024.

Pendapatan pelancongan perubatan mengikut wilayah di Malaysia pada 2019 dan 2024. (Sumber: MalayMail).

Kebanyakan Pelancong Perubatan Di Malaysia Dari Indonesia

Pada September 2024, media melaporkan bahawa pelancongan perubatan di Malaysia dipelopori oleh warga Indonesia.

Penganalisis dari TA Securities berkata sebanyak 64.9% daripada jumlah keseluruhan pelancong perubatan di dalam negara adalah dari Indonesia.

Tambahnya lagi, kebanyakan pelancong perubatan dari Indonesia berasal dari bandar utama seperti Jakarta dan Surabaya. Rata-rata mereka memilih Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Selain Indonesia, 5% pelancong perubatan di Malaysia merupakan warga China, manakala 3.1% dari India.

“Hampir separuh pelancong perubatan dari China datang untuk rawatan kesuburan dan kanser, sementara pesakit dari India lebih cenderung untuk mendapatkan rawatan am dan perubatan khusus,” jelasnya.

Thailand & Singapura Pesaing Utama Dalam Pelancongan Perubatan

Dalam isu persaingan serantau, dua negara jiran iaitu Thailand dan Singapura kekal sebagai pesaing utama bagi Malaysia.

Menurut TA Securities, pendapatan pelancongan perubatan tertinggi di ASEAN dicatatkan oleh Thailand dengan jumlah AS$850 juta (RM3.765 bilion), jauh mengatasi Malaysia pada RM2.25 bilion.

“Walaupun Singapura lebih kecil dalam skala, negara itu mensasarkan pesakit yang memerlukan rawatan kompleks dari pasaran maju. Namun, nilai mata wang Singapura yang kuat mengurangkan daya tarikannya bagi pelancong perubatan yang peka terhadap kos,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Pulau Pinang Antara 7 Destinasi Terbaik Untuk Dilawati Di Asia Tenggara

Baca Artikel Berkaitan: Pelancongan Penjagaan Kesihatan Membawa Malaysia Ke Mata Dunia


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd