MASwings Kini Di Bawah Sarawak, Dikenali Sebagai AirBorneo
AirBorneo ini bakal beroperasi sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh (FSC) di bawah Sarawak untuk meningkatkan pengalaman penumpang.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Semalam (12 Februari), Sarawak telah melakar sejarah apabila berjaya menjadi negeri pertama di Malaysia yang memiliki syarikat penerbangan tersendiri.
Negeri itu mengambilalih MASwings dan memberi nama baharu iaitu AirBorneo sewaktu Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli MASwings antara kerajaan Sarawak dengan Malaysia Aviation Group (MAG).
Perjanjian jual beli itu ditandatangani Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, yang mewakili Kerajaan Sarawak, manakala Datuk Kapten Izham Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan MAG mewakili MAG.
AirBorneo bersedia wujudkan keseimbangan
Dalam majlis tersebut, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, AirBorneo bersedia mewujudkan keseimbangan antara ketersambungan, tambang berpatutan dan faedah ekonomi.
Menurutnya, AirBorneo akan beroperasi sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh (FSC) untuk meningkatkan pengalaman penumpang menerusi perkhidmatan dalam penerbangan yang unggul.
“Ini sekali gus akan menyerlahkan prestij Sarawak sebagai destinasi pelancongan premium serantau,” katanya dipetik Harian Metro.
AirBorneo akan kekal tumpu kepada perkhidmatan RAS
Ujar Abang Johari, sebagai permulaan AirBorneo akan mengekalkan tumpuan kepada perkhidmatan udara luar bandar (RAS) sebelum mengembangkan lagi operasi dan destinasinya pada masa hadapan.
“Langkah strategik ini bukan hanya tentang pemilikan syarikat penerbangan tetapi juga ia adalah mengenai membuka potensi penuh Sarawak sebagai lokasi strategik untuk kemakmuran dan kemampanan ekonomi menerusi peningkatan dan pengembangan rangkaian hubungan udara.
“Kerajaan Sarawak membuat keputusan berani melabur dalam memperoleh MASwings selari dengan komitmen kami untuk meningkatkan ketersambungan serantau dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi kita,” katanya lagi.
Perkhidmatan udara jadi pemangkin pertumbuhan ekonomi
Menurutnya lagi, kawalan terhadap perkhidmatan udara amat penting, bukan sahaja untuk memudahkan pengangkutan penumpang tetapi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi.
“Dengan mengambil langkah strategik ini, kami meletakkan dan mengubah Sarawak sebagai hab penerbangan untuk Borneo dan pintu masuk ke ASEAN.”Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg
Berkongsi lanjut, Abang Johari berkata pengambilalihan MASwings itu juga membabitkan keseluruhan operasi dan aset.
“Malah kakitangan MASwings termasuk yang di Sabah juga turut dibawa ke dalam operasi AirBorneo,” ujarnya.
Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook turut hadir dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli MASwings tersebut.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.