Now Reading
Wanita Pukul Anak Hingga Berdarah Lepas Terkena Bucu Bangku Ditahan Polis

Wanita Pukul Anak Hingga Berdarah Lepas Terkena Bucu Bangku Ditahan Polis

Kejadian wanita yang memukul anak perempuannya sehingga berdarah itu berlaku di hadapan sebuah pasar raya sekitar Jejawi, Arau pada Ahad lalu (9 Februari).

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kes penganiayaan terhadap kanak-kanak di negara ini dilihat semakin membimbangkan. Seperti sebelum ini, seorang bapa telah bertindak memukul anak dan isterinya hanya kerana kanak-kanak berusia tiga tahun itu terkencing di atas sofa ruang tamu.

Difahamkan bapa berusia 29 tahun itu tidak dapat mengawal kemarahannya sebelum memukul mangsa.

Baca Artikel Berkaitan: Bapa Tergamak Pukul Anak Usia 3 Tahun Hanya Kerana Terkencing Atas Sofa

Terdahulu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut merekodkan sekitar 2,240 kes penganiayaan terhadap kanak-kanak pada tahun 2024 setakat bulan Ogos.

Statistik dalam masa sama mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya dua kali ganda kes penderaan terhadap kanak-kanak perempuan berbanding lelaki bagi tahun 2023 dan 2024.

Baca Artikel Berkaitan: Lebih 2,000 Kes Penderaan Kanak-Kanak Setakat Ogos 2024, Majoriti Budak Perempuan – KPWKM

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Dera Anak Kekasih Umur 1 Tahun 11 Bulan Rupanya Miliki 13 Rekod Jenayah & Disahkan Positif Dadah

Wanita Ditahan Lepas Pukul Anak Perempuan Di Pasar Raya

Terbaharu, polis telah menahan seorang wanita yang memukul anak perempuannya sehingga terjatuh dan terhantuk pada bucu kerusi di hadapan sebuah pasar raya sekitar Jejawi, Arau.

Insiden ini dilaporkan berlaku pada Ahad lalu (9 Februari).

Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek berusia 37 tahun yang bekerja sebagai pekerja kantin ditahan di bilik sewanya di Jejawi pada Isnin (10 Februari), jam 11.30 malam.

“Mangsa merupakan anak perempuan suspek berusia empat tahun dan dia didapati mengalami luka, berjahit di bahagian kening sebelah kanan.

“Kejadian disyaki berlaku di hadapan kaki lima sebuah pasar raya di Jejawi dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” kata Ahmad Mohsin.

Mengulas lanjut, Ahmad Mohsin berkata suspek kini direman selama enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Mangsa Sedang Dapatkan Rawatan Di Hospital

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menerusi ciapan di laman X (Twitter) memaklumkan bahawa mangsa telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pelindung Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) telah menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) PDRM untuk mengambil tindakan segera dan suspek dalam video ini telah pun ditahan oleh pihak polis.

“Kanak-kanak perempuan telah dibawa oleh Pelindung ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kita doakan semoga semuanya dipermudahkan bagi kanak-kanak perempuan ini,” ulas Nancy.

Terdahulu, tular di media sosial menyaksikan seorang wanita secara tiba-tiba meluru ke arah seorang kanak-kanak perempuan dan menamparnya.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), wanita terbabit kemudian menarik tangan kanak-kanak itu dan sekali lagi memukul bahagian belakang sehingga menyebabkan anak kecil berkenaan tersungkur ke lantai.

Tidak lama selepas itu, kanak-kanak tersebut dilihat bangkit dan menangis sebelum wanita itu bertindak memukul lebih kuat di bahagian belakang badannya.

Pukulan itu menyebabkan bahagian mata kanak-kanak terbabit terhantuk pada bucu sebuah bangku di situ sehingga berdarah.

Ramai Bimbang Lihat Kanak-kanak Yang Berdarah Terkena Bucu Bangku

Perkongsian tersebut telah mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna X. Rata-rata orang ramai meluahkan rasa bimbang dengan keadaan si kecil yang diperlakukan sedemikian.

“Ya Allah kesiannya dekat anak dia. Dua kali kena bucu kerusi. Kalau terkena mata agaknya baru mak dia nak menyesal. Ini bukan pukul untuk mendidik tapi lebih kepada nak melepaskan mara dekat anak,” kata seorang warganet.

Malah ramai juga berkata golongan ibu bapa atau penjaga tidak sepatutnya melepaskan kemarahan dan berkasar dengan anak-anak.

“Kalau rasa baran, jangan ade anak. Kalau rasa penat, jangan lepaskan dekat anak. Tapi itulah, aku tak nak cakap lebih. Nanti orang kata sebab aku tak ad anak lagi, aku tak tahu rasa macam mana,” ujar seorang wanita.

Sementara itu, segelintir individu turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap orang awam yang tidak bertindak dan membiarkan sahaja insiden tersebut berlaku di depan mata.

“Orang Malaysia ni simpati dekat media sosial je. Realiti bila depan-depan tidak. Hanya mampu memandang. Tiada siapa menegur walhal anak dia dah berlumuran darah. Siapa yang berani tegur? Hanya mampu paling muka dan pergi,” kata seorang netizen.

Sumber: X (Twitter @MalaysianFoods)

Baca Artikel Berkaitan: Kanak-kanak Lelaki Ditemui Di Cheras Utama Seorang Diri Dengan Banyak Kesan Luka Pada Tubuh Badan

Baca Artikel Berkaitan: “Bayar Yuran RM1,300 Tapi Dera Anak” – Pihak HQ Taska Di Cheras Enggan Tunjuk CCTV Kepada Ibu Mangsa Dera


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm FacebookTwitter, Threads  dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd