Kanak-kanak 7 Tahun Terima 12 Jahitan Lepas Terlanggar ‘Mirror Maze’ Di Johor
Si ibu telah mendengar bunyi hempasan kaca yang agak kuat di sekitar Infinity Mirror Maze di taman itu sebelum melihat anaknya berlumuran darah.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bagi membolehkan anak-anak membesar dengan lebih baik, sesetengah ibu bapa akan membawa si kecil menghirup udara segar sambil bermain taman permainan yang disediakan kepada orang awam.
Sebagai ibu bapa, kita perlu sentiasa memerhatikan kelakuan anak-anak apabila berada di tempat terbuka kerana bimbang boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada orang lain.
Pada masa yang sama, ia juga bagi memastikan anak-anak sentiasa berada dalam keadaan selamat terutamanya apabila wujud banyak kes yang tidak diingini berlaku.
Baca Artikel Berkaitan: Muka Anak Dipijak Dalam Kolam Air, Luahan Wanita Ini Buat Ramai Netizen Bengang
Baca Artikel Berkaitan: Kes 2 Kanak-Kanak Terperangkap Dalam Lif, Video CCTV Bongkar Punca Lif Terhenti?
Baca Artikel Berkaitan: Muka Anak Calar & Ada Kesan Gigit. Ibu Ini Kesal Pihak Taska Cuai
Kanak-kanak Perlu Jalani 12 Jahitan Selepas Terlanggar Cermin Di ‘Mirror Maze’
Menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebook Shazrina Roslee, seorang ibu menceritakan satu kejadian yang berlaku kepada si kecilnya yang cukup mencemaskan.
Wanita berkenaan mendedahkan anaknya telah mengalami kecederaan serius akibat terlanggar cermin kaca di sebuah taman awam di Bandar Penawar, Pengerang, Johor.

Memetik laporan Sinar Harian, Nurul Shazrina Roslee, 38, yang merupakan suri rumah itu memaklumkan mereka telah menemui sebuah tarikan yang diberi nama ‘Infinity Mirror Maze’ berbentuk bulatan dengan hiasan lampu cermin yang banyak.
Mereka yang memasuki ‘maze’ berkenaan pastinya akan berasa keliru dengan setiap pantulan cermin kaca tersebut.
Nak dijadikan cerita, anak sulungnya telah menjadi mangsa ‘kekeliruan’ itu selepas Shazrina yang sedang menjaga dua lagi anaknya terdengar bunyi hempasan kaca yang kuat.
“Pada mulanya, kami menyangka permukaan cermin itu akrilik, bukannya kaca yang boleh membahayakan pengunjung.
“Ketika sedang memegang dua anak kecil, saya melihat si sulung sudah berjalan ke depan sebelum terdengar bunyi hempasan kaca yang sangat kuat,” katanya.

Anaknya Terima 12 Jahitan Selepas Terlanggar Cermin Kaca
Cemas melihat anaknya yang sudah berlumuran darah, dia segera membawanya ke klinik berhampiran sebelum doktor memberikan 12 jahitan di bahagian dahi, hidung, jari kanan, dan pergelangan tangan kiri.
Lebih membimbangkan lagi adalah apabila terdapat serpihan kaca ditemui dalam hidung mangsa dan tiada keretakan di kepala dilaporkan.
“Setelah menjalani pemeriksaan X-ray dan membuka balutan, darah masih keluar sehingga kami terpaksa membawa dia ke hospital KPJ untuk rawatan lanjut. Walaupun tiada keretakan di kepala, serpihan kaca ditemui di dalam hidungnya,” jelasnya.

Wanita Ini Kongsi Kisah Ini Sebagai Pengajaran Kepada Semua Pihak
Dalam hantaran di laman Facebook itu, Shazrina berpendapat bahawa idea untuk menggunakan cermin kaca itu tidak sesuai dan agak membahayakan dari aspek keselamatan.
Malah, dia turut berharap agar pihak bertanggungjawab menutup buat sementara waktu lokasi ‘Infinity Mirror Maze’ terbabit dan menggantikan dengan tarikan yang lebih selamat untuk kanak-kanak.

Orang Ramai Beri Pelbagai Reaksi Dengan Insiden Yang Berlaku
Rata-rata netizen yang membaca hantaran berkenaan turut bersetuju bahawa permainan yang disediakan menggunakan cermin kaca itu merupakan sesuatu yang agak membimbangkan buat para ibu bapa.
Malah, ada juga netizen yang mendedahkan bahawa anak mereka juga pernah terhantuk pada cermin berkenaan sehingga benjol pada bahagian dahi.
Pada masa yang sama, mereka turut risau jika ada sesetengah pihak yang membaling batu ke arah cermin dan serpihan kaca yang berderai itu terkena pada kanak-kanak.
Kesal dengan apa yang berlaku, masyarakat juga mendoakan agar kanak-kanak yang cedera parah itu diberikan kesembuhan secepat mungkin.


Pihak Majlis Perbandaran Pengerang Sudah Beri Peringatan Di Papan Tanda Berhampiran Taman Itu
Menerusi gambar dimuat naik oleh pengguna Facebook, pihak Majlis Perbandaran Pengerang telah meletakkkan sebuah papan peringatan di lokasi berkenaan yang meminta ibu bapa untuk mengawal anak-anak mereka.
Selain itu, MP Pengerang juga menyatakan bahawa mereka tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kemalangan mahupun kecederaan yang berlaku semasa melakukan aktiviti riadah di taman tersebut.
Namun sehingga kini, masih belum ada kenyataan yang dikeluarkan dari pihak Majlis Perbandaran Pengerang.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.