Polis Guna Imej 3D Bagi Siasat Semula Kes Kematian Teoh Beng Hock
Menurut Pengarah JSJ Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, pihak bomba turut membantu siasatan bagi melakonkan semula insiden kematian Teoh Beng Hock 15 tahun lalu.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Jika anda seorang yang mengikuti rapat perkembangan dunia politik tempatan, kisah kematian Pembantu EXCO Selangor, Teoh Beng Hock pada 15 tahun lalu pasti tersemat di ingatan.
Manakan tidak, mendiang maut di bangunan Plaza Masalam selepas baru sahaja memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sana.
Sehubungan itu, keputusan berbeza telah dikeluarkan mengenai kes kematian Teoh sebelum kerajaan bersetuju pihak polis menjalankan siasatan semula kes.
Teknologi Pengimbas 3D Digunakan Dalam Siasatan Semula
Terkini, kes kematian Teoh disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menggunakan teknologi pengimbas 3D bagi ‘crime scene reconstruction’.
Menurut Pengarah JSJ Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, peralatan tersebut digunakan bagi mendapatkan semula gambaran lokasi kejadian.
“Kami melawat kembali tempat kejadian 15 tahun lalu di mana saya dapat melihat secara peribadi yang ia bukan lagi pejabat tetapi tempat penyimpanan (stor) barang perabot.
“Struktur 15 tahun dulu itu memang sudah berubah tetapi kita menggunakan Jabatan Forensik… kita cuba ‘reconstruct’ balik lokasi jenayah ini dalam konteks 3D,” katanya dipetik Berita Harian.
Tambah Mohd Shuhaily, keberhasilan teknologi tersebut dalam memperkemaskan lagi siasatan kematian Teoh akan dapat dilihat menerusi hasil janaannya yang dijangka siap dalam tempoh dua minggu.
“Sejauh mana ia dapat membantu kita dalam memperkemaskan lagi siasatan, tunggulah hasilnya,” ujarnya.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita di lobi bangunan Plaza Masalam, selepas hadir di bangunan tersebut bagi meninjau proses siasatan semalam (4 Februari).
Siasatan dilakukan oleh pasukannya yang tiba di bangunan tersebut sejak 10 pagi semalam, sebelum beliau sendiri tiba di lokasi sekitar jam 9 malam dan melakukan tinjauan kira-kira sejam.
Pegawai Bomba Lakonkan Semula Insiden Kematian Teoh
Di samping itu, Mohd Suhaily turut memaklumkan bahawa siasatan telah dibantu oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Lakonan semula insiden kematian telah dilakukan oleh seorang pegawai bomba yang mempunyai ketinggian seperti mendiang Teoh.
“(Fungsi) Pihak bomba untuk menunjukkan kepada kami, lakonan semula sekiranya dalam beberapa situasi sama ada terjun sendiri atau dipaksa terjun dan sebagainya, serta boleh atau tidak boleh daripada tingkap tersebut.
“Itu ujian (3D scanner) untuk memuaskan hati bahawa perkara itu boleh berlaku dalam situasi yang berbeza-beza. Selain itu, kita juga menggunakan dron untuk mendapatkan imej keseluruhan bangunan ini,” ujarnya.
5 Saksi Siasatan Awal Dipanggil Semula
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata pihaknya telah memanggil lima saksi kejadian yang pernah dipanggil sebelum ini dalam siasatan awal kes.
Namun beliau tidak mendedahkan siapakah kelima-lima saksi tersebut yang merupakan hanya sebahagian daripada keseluruhan lebih 40 saksi.
“Lima ini siapa? Buat masa ini, kita tidak boleh beritahu siapa tetapi mereka adalah saksi relevan dalam siasatan awal. Keseluruhan saksi bagi kes ini adalah lebih 40 orang. Kita akan duduk dan kaji balik siapa (saksi) yang boleh bantu,” katanya.
Kronologi Siasatan Kematian Teoh
Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan persetujuan kerajaan agar siasatan semula terhadap kes kematian Teoh dibuka.
Pada 16 Julai 2009, mendiang ditemui maut di tingkat 5 bahagian bumbung Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan tersebut.
Untuk info, mendiang dahulu merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan serta EXCO Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ean Yong Hian Wah.
Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam mengeluarkan keputusan bahawa kematian Teoh bukanlah disebabkan membunuh diri atau dibunuh, serta mendapati tiada pihak ketiga dalam kes kematiannya.
Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian mendiang kemutiannya memutuskan pada 21 Julai 2011 bahawa kematiannya adalah akibat bunuh diri.
Namun Mahkamah Rayuan pada 5 September 2014 telah menukar keputusan terbuka kes tersebut dan memutuskan bahawa kematian Teoh adalah akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads  dan Instagram.Â