Now Reading
Bank Dunia Saran Malaysia Laksanakan Pembaharuan Cukai, Kenalkan Semula GST

Bank Dunia Saran Malaysia Laksanakan Pembaharuan Cukai, Kenalkan Semula GST

Menurut Bank Dunia, langkah itu penting agar dapat meningkatkan kecekapan sistem percukaian negara serta mengurangkan ketidaksamaan ekonomi dalam kalangan rakyat.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila menggunakan suatu perkhidmatan, pelbagai kos tambahan akan dikenakan terhadap pelanggan termasuk cukai dan caj servis.

Sebelum ini, negara telah menggunakan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan jumlah cukai sebanyak 6%. Ia bagaimanapun telah dimansuhkan pada 2018.

Pada tahun 2023, timbul ura-ura bahawa GST mungkin akan diperkenalkan semula, namun tiada tindakan sedemikian diambil sehingga ke hari ini.

Baca Artikel Berkaitan: Ahli Ekonomi Jangka Tiada Cukai Baharu Diperkenalkan Tahun Ini

Bank Dunia Saran Perkenalkan Semula GST

Pun begitu, Bank Dunia baru-baru ini memberi saranan kepada Malaysia agar melaksanakan pembaharuan cukai termasuk memperkenalkan semula GST atau cukai nilai tambah (VAT).

Menerusi Laporan Mengurangkan Ketidaksamaan dan Memperkukuh Mobiliti di Malaysia, Bank Dunia berkata langkah itu penting agar dapat meningkatkan kecekapan sistem percukaian negara serta mengurangkan ketidaksamaan ekonomi dalam kalangan rakyat.

Tambahnya lagi, kutipan cukai secara langsung dan tidak langsung yang dilakukan menerusi langkah itu dijangka dapat meningkatkan hasil jangka panjang dengan mendadak.

Sumber gambar: Unsplash

Kutipan Cukai Tidak Langsung Negara 3% Daripada KDNK

Di samping itu, Bank Dunia menyatakan bahawa kutipan cukai tidak langsung Malaysia buat masa ini adalah rendah pada kadar 3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kurang berbanding purata negara berpendapatan rendah (LIC).

Oleh yang demikian, pihanya menegaskan bahawa kutipan hasil dapat ditingkatkan menerusi percukaian tidak langsung dalam jangka masa pendek.

“Pertimbangan perlu diberikan untuk memperkenalkan semula GST atau VAT, yang secara meluas dianggap sebagai salah satu cukai paling cekap dalam sistem percukaian sesebuah negara dan boleh dilaksanakan secara meluas dan pantas.

“Satu simulasi menunjukkan bahawa menggantikan SST semasa dengan GST pada kadar asas 10% (kadar penanda aras bagi rantau ini) dengan pengecualian yang sangat sedikit atau kadar keutamaan minimum boleh menjana sekitar 1% daripada KDNK hasil tambahan, dengan kesan relatif kecil terhadap ketidaksamaan,” menurut laporan Bank Dunia.

Isi Rumah Miskin Lebih Banyak Belanjakan Perkara Tanpa Cukai

Memetik sumber Berita Harian, laporan tersebut turut menyatakan perbelanjaan tidak formal yang tidak dikenakan cukai lebih tinggi dalam kalangan isi rumah miskin, sejurus itu kemungkinan dapat menghasilkan kesan cukai penggunaan yang lebih progresif.

Selain itu, Bank Dunia juga berkata peningkatan dalam kutipan cukai pendapatan individu (PIT) menerusi pembaharuan tersebut akan dapat mengumpul sekurang-kurangnya 1% lagi daripada KDNK.

Langkah ini bukan sahaja dapat mewujudkan ruang fiskal tambahan, tetapi turut mengurangkan ketidaksamaan ekonomi secara langsung. Ini adalah kerana kebanyakan cukai terbabit dibayar oleh mereka dengan pendapatan tinggi, sambil mengekalkan beban cukai pendapatan secara keseluruhan pada tahap yang munasabah.

Sumber gambar: Unsplash

Bantuan & Rebat GST Bersasar Bantu Kurangkan Beban Cukai Golongan Pendapatan Rendah

Dalam pada itu, Bank Dunia berkata penyaluran bantuan dengan lebih baik dan pengenalan rebat GST bersasar dapat mengurangkan beban cukai bagi isi rumah berpendapatan rendah.

Ini adalah kerana sebarang peningkatan cukai tidak langsung, walaupun bersifat neutral dari segi agihan, akan membebankan isi rumah miskin.

“Penyaluran bantuan sosial yang lebih baik kepada isi rumah dalam kelompok 40% terbawah serta pemberian rebat cukai dapat mengimbangi kesan kenaikan GST terhadap kemiskinan, tidak memberi kesan kepada ketidaksamaan dan masih menghasilkan penjimatan fiskal tambahan yang bersamaan dengan 2% daripada KDNK,” katanya dipetik Berita Harian.

Pembaharuan Cukai Akan Kurangkan Ketidaksamaan Pada Kadar Purata Negara Berpendapatan Menengah Atas

Berdasarkan laporan sama, pembaharuan cukai tersebut akan mengurangkan ketidaksamaan ekonomi kerana sistem cukai, pemindahan dan subsidi sedia ada mengurangkan ketidaksamaan secara tunai pada kadar purata negara berpendapatan menengah atas.

Namun begitu, Bank Dunia menyatakan bahawa manfaat tersebut adalah agak kecil berbanding negara berpendapatan menengah atas sekiranya manfaat kesihatan dan pendidikan bukan tunai diambil kira.

Tambahnya lagi, perkara-perkara berikut akan meningkatkan prestasi sistem fiskal Malaysia dalam mengurangkan ketidaksamaan:

  • Penghapusan subsidi bahan api.
  • Pengenalan semula GST tanpa pengecualian.
  • Pemberian rebat cukai kepada isi rumah miskin.
  • Peningkatan perbelanjaan bantuan sosial sehingga mencapai 1.5% daripada KDNK dengan penyaluran lebih baik kepada golongan termiskin.
  • Pembaharuan PIT.
  • Penggunaan hasil tambahan untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor kesihatan.

“Ini akan mengangkat kesan pengurangan ketidaksamaan sistem fiskal Malaysia daripada kedudukan separuh terbawah ke separuh teratas dalam kalangan negara-negara lain,” katanya.

Sumber gambar: Unsplash

Kronologi Pengenalan & Pemansuhan GST

Selain tarikh April’s Fool disambut, 1 April juga mempunyai nilai yang signifikan dalam sejarah ekonomi Malaysia. Pada tahun 2015 tarikh tersebut, GST telah diperkenalkan di dalam negara dengan kadar cukai sebanyak 6% dikenakan.

Kadar terbabit bagaimanapun telah diturunkan kepada 0% tiga tahun kemudian selepas penukaran kerajaan kepada kerajaan Pakatan Harapan sejurus pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

GST kemudiannya dimansuhkan secara penuh sebelum digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuatkuasa sejak 1 September 2018 sehingga kini.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, sebelum ini berkata SST hanya dikenakan kepada 38% barangan ‘bakul’ berbanding 60% barangan yang dikenakan GST, seperti penjagaan kesihatan, bahan binaan, serta pembelian peralatan seperti bot nelayan dan traktor petani yang tidak dikenakan SST.

Baca Artikel Berkaitan: Benarkah Golongan Kaya Tidak Banyak Dicukai Di Malaysia?


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook,  Twitter, Threads  dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd