Now Reading
Insiden Tembakan Dengan Warga Indonesia Di Tanjung Rhu, Anggota Maritim Direhatkan

Insiden Tembakan Dengan Warga Indonesia Di Tanjung Rhu, Anggota Maritim Direhatkan

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata terdapat potensi siasatan mengenai insiden tembakan di Tanjung Rhu itu dibuka kepada seksyen yang lebih serius.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Media sebelum ini melaporkan insiden tembakan membabitkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu di Banting, Selangor pada 24 Januari lalu.

Kejadian itu dilaporkan tercetus apabila sebuah bot dipercayai milik pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia melanggar bot peronda sebanyak empat kali pada jam 3 pagi.

Anggota APMM terbabit kemudiannya melepaskan tembakan, menyebabkan seorang warga Indonesia meninggal dunia di tempat kejadian.

Anggota APMM Terlibat Kes Tembakan Direhatkan Sementara Siasatan Dijalankan

Terbaharu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata insiden tersebut kini disiasat oleh Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan siasatan dalaman ke atas anggota yang terlibat.

Tambahnya lagi, pertemuan bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mendapat persetujuan agar anggota APMM yang disiasat direhatkan.

“Maritim Malaysia sendiri sedang menjalankan siasatan dalaman ke atas anggota yang terlibat. Buat masa ini, siasatan pihak polis ke atas Maritim Malaysia… dan saya baru saja mengadakan pertemuan tadi dengan Tan Sri Razarudin dan Datuk Hussein.

“Mereka bersetuju bahawa ketika siasatan oleh pihak polis, anggota yang terlibat (dalam siasatan) akan direhatkan dan siasatan kini bukan dibawah Ibu Pejabat Polis Daerah Banting tapi diambil alih ibu pejabat (Bukit Aman). Ini memandangkan ada potensi untuk siasatan dibuka kepada seksyen yang lebih serius,” katanya dipetik Awani.

Kedutaan Indonesia Telah Bertemu Warganya Yang Dirawat Di Hospital

Menerusi satu hantaran di Facebook, Saifuddin berkata insiden tembakan tersebut membuktikan cabaran besar dalam mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan sempadan maritim.

Tambahnya lagi, APMM telah menjalankan tugas secara profesional dalam menangani pencerobohan yang mencurigakan.

Beliau juga memaklumkan bahawa kedutaan Indonesia telah dibenarkan untuk bertemu suspek yang sedang dirawat di hospital.

“Tiada sebarang kompromi dalam menegakkan kebenaran dan keselamatan negara. Kita akan terus mempertahankan kedaulatan perairan negara dan mengekang sebarang bentuk ancaman, demi kesejahteraan rakyat dan keamanan Malaysia,” ujarnya.

Warga Asing Cuba Serang Pegawai APMM Guna Parang

Hussein sebelum ini memaklumkan bahawa dua suspek dipercayai warga asing yang menaiki sebuah bot didakwa cuba menyerang pegawai APMM dengan parang sekitar jam 3 pagi hari kejadian.

Serangan itu cuba dilakukan setelah mereka merempuh bot pegawai berkenaan sebanyak empat kali.

Perkara ini menyebabkan pegawai Maritim tersebut melepaskan beberapa das tembakan kepada bot suspek atas tujuan mempertahankan diri, namun suspek telah melarikan diri.

Pada sekitar 9 pagi hari sama, orang awam telah memaklumkan mengenai sebuah bot yang hanyut di pantai Banting kepada pihak APMM.

Pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati terdapat dua lelaki di dalamnya, yang mana seorang meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang akibat kecederaan parah.

Di samping itu, Hussein mengesahkan bahawa polis menerima laporan mengenai tiga lelaki disyaki warga asing yang turut mengalami kecederaan akibat ditembak. Mereka bagaimanapun telah dirawat di Hospital Sultan Idris Shah di Serdang.

Penunjuk Perasaan Baling Telur Pada Kedutaan Malaysia Di Jakarta

Akibat insiden tembakan tersebut, sekitar 100 orang penunjuk perasaan telah berkumpul di kedutaan Malaysia di Jakarta pada 30 Januari lalu.

Mereka telah bertindak secara agresif sehingga melempar telur ke kedutaan tersebut, seterusnya menyebabkan simbol Jata Negara di pintu masuk tertutup dan perkarangan lokasi dipenuhi dengan kulit serta lendir telur.

Di samping itu, turut dilaporkan para penunjuk perasaan membawa sepanduk yang bertulis ‘Tangkap dan penjarakan polis Malaysia yang menembak mati pekerja asing Indonesia’ sebagai tanda protes.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Kedutaan Malaysia Di Jakarta Dipenuhi Telur Selepas Dibaling Penunjuk Perasaan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook,  Twitter, Threads  dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd