Saintis Temui 2 Gunung ‘Tersorok’, 100 Kali Ganda Lebih Tinggi Dari Everest
Salah satu gunung 100 kali ganda lebih tinggi dari Everest yang ditemui itu terletak di Benua Afrika, manakala satu lagi di Lautan Pasifik.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Masyarakat global sering menyebut gunung tertinggi di dunia sebagai Gunung Everest yang terletak di Himalaya, Nepal.
Dengan ketinggian 8,848 meter, ia menjadi gunung dengan altitud tertinggi di atas tahap laut purata.
Namun, saintis baru-baru ini telah menemukan dua gunung baharu ‘tersembunyi’ dengan ketinggian 100 kali ganda lebih berbanding Gunung Everest.
2 Gunung 100 Kali Ganda Tinggi Berbanding Everest Mungkin Berusia Berbilion Tahun
Menerusi jurnal Nature, para saintis dari Utrecht University, Netherlands yang membuat penemuan tersebut turut mencadangkan bahawa kedua-dua gunung itu mungkin lebih tua berbanding yang dianggapkan sebelum ini.
“Tiada siapa tahu apa kedua-dua gunung itu, dan sama ada ia hanya fenomena sementara atau telah berada di sana selama berjuta, mungkin berbilion tahun,” kata ketua penyelidik Dr Arwen Deuss yang merupakan pakar seismologi.
Dengan ketinggian hampir mencecah 1,000km, ‘kepulauan batu’ di bawah tanah ini adalah lebih 100 kali ganda tinggi berbanding Gunung Everest, sekaligus membuatkan semua yang ada di atas bumi begitu kecil berbandingnya.
2 Gunung Terletak Di Superbenua Bawah Tanah Di Afrika & Lautan Pasifik
Kedua-dua ‘superbenua’ itu berada sekitar 1,200 batu di antara teras dan lapisan mantel Bumi. Satu terletak di Benua Afrika, manakala satu lagi di Lautan Pasifik.
Tambah Deuss, kedua-dua gunung itu dipercayai dikelilingi oleh perkuburun plat tektonik yang telah teralih ke sana disebabkan oleh proses pembenaman (subduction).
Proses berkenaan terjadi apabila satu plat tektonik masuk ke bawah plat lain dan tenggelam hampir 3,000km di bawah permukaan Bumi.

Formasi Gunung Terjadi Akibat Gelombang Kejutan Seismik
Walaupun berada di bawah tanah, formasi tersebut telah ditemui oleh para penyelidik sejak pertukaran abad yang lalu disebabkan oleh gelombang kejutan seismik, termasuk gempa bumi, menerusi bahagian dalam Bumi.
Gempa bumi kuat menyebabkan planet berdering seperti loceng dan akan kedengaran pelik bunyinya apabila melanggar objek anomali seperti superbenua.
Menurut Dr Deuss, pergunungan bawah tanah itu dikenali sebagai ‘Large Low Seismic Velocity Provinces’ (LLSVP) kerana gelombang seismik menjadi lebih perlahan di sana.
Kajian juga mendapati bahawa struktur baharu tersebut bukan sahaja lebih panas berbanding plat tektonik berdekatan, tetapi juga mungkin berusia berbilion tahun.
Terdapat 3 Gunung Tertinggi Di Bumi Dengan Kaedah Ukuran Berlainan
Mungkin ramai tidak tahu, Gunung Everest bukanlah satu-satunya ‘gunung tertinggi’ di atas permukaan Bumi. Berdasarkan National Oceanic & Atmospheric Administration (NOAA), terdapat dua lagi ‘gunung tertinggi’ yang diukur dengan kaedah berlainan berbanding Everest.
Gunung tertinggi berdasarkan ukuran dari pangkalan ke puncak gunung ialah Mauna Kea di Hawaii dengan ketinggian 10,210 meter.
Manakala, Gunung Chimborazo di Ecuador merupakan gunung tertinggi yang diukur dari teras bumi memandangkan ia terletak di ‘centrifugal bulge’ iaitu ‘benjolan’ pada garisan khatulistiwa.
Walaupun hanya berukuran 6,268 meter di atas paras laut, namun pangkalannya yang terletak 2,072 meter dari teras bumi menjadikan ia titik di Bumi yang paling hampir dengan angkasa.
Baca Artikel Berkaitan: Gelje Sherpa Selamatkan Pendaki Malaysia Dari ‘Zon Mati’ Di Gunung Everest
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Ini Kongsi Panduan Sebelum Mendaki Gunung Kinabalu
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.