KK Mart Di Universiti Malaya Disimbah Cat Merah
Kejadian simbah cat merah di premis KK Mart di UM itu dipercayai berlaku sekitar jam 12:50 tengah malam semalam (21 Januari).


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Susulan tular kontroversi tentang penjualan produk Sandwich Ham & Cheese yang diragui status halalnya oleh dua buah kedai serbaneka dalam Universiti Malaya (UM), premis KK Mart kini menjadi perbualan hangat masyarakat.
Perkara itu mula dibangkitkan oleh PEMBINA UM yang membuat aduan berhubung status halal produk berkenaan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Ekoran dakwaan yang tular itu, UM bertindak menutup kedua-dua operasi kedai serbaneka berkenaan bagi memberi ruang agar siasatan dapat dijalankan.
Premis KK Mart Di UM Disimbah Cat Merah
Namun baru-baru ini, salah satu daripada premis berkenaan telah menjadi sasaran selepas disimbah dengan cat berwarna merah semalam (21 Januari).
Memetik laporan Kosmo, kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar jam 12:50 tengah malam selepas salah seorang pekerja memaklumkan insiden berkenaan kepada polis bantuan UM.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood menjelaskan pihak mereka menerima laporan melibatkan kes berkenaan pada jam 8 pagi.
“Kejadian dipercayai berlaku pada 12.50 tengah malam apabila polis bantuan di universiti tersebut dimaklumkan oleh pekerja kedai terbabit berhubung kesan cat berwarna merah di hadapan pintu kedai,” jelasnya.
Susulan itu, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Apa Sebenarnya Isu Yang Berlaku?

Sebelum ini, premis KK Mart telah mengundang kontroversi apabila dipercayai menjual sandwic Sandwich Ham & Cheese yang diragui status halalnya.
Peka dengan perkara tersebut, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu kenyataan di Facebook menafikan dakwaan produk Sandwich Ham dan Cheese yang tular sejak kebelakangan ini mempunyai sijil halal.
Berikutan itu, JAKIM melakukan siasatan dan mengesahkan bahawa produk jualan itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk tersebut juga bukan pemegang SPHM.
Susulan itu, JAKIM menggesa para pengusaha di luar sana supaya lebih cakna terhadap undang-undang yang digunapakai khususnya dalam isu halal bagi mengelakkan perkara sebegitu tidak lagi berulang pada masa hadapan.
Baca Artikel Berkaitan: Produk Sandwich Ham & Cheese Disahkan Tiada Sijil Halal Oleh JAKIM
Baca Artikel Berkaitan: JAKIM Nafi Dakwaan Produk Sandwich Ham & Cheese Tular Ada Sijil Halal
KK Mart Gantung Operasi Dengan Pembekal Produk Sandwich Ham & Cheese
Isu ini juga membuatkan pihak KK Mart bertindak menggantung urusan perniagaan bersama syarikat pembekal produk Sandwich Ham & Cheese.
Jelas KK Mart lagi, hanya 16 KK Concept Store yang mempunyai kemasukan produk berkenaan dan urus niaga bersama syarikat pembekal itu telah dibekukan.
Sementara itu, KK Mart turut memaklumkan bahawa pihaknya telah membuat laporan polis selain mengarahkan peguam untuk menghantar Surat Tuntutan (LOD) bertarikh 10 Januari 2025 kepada syarikat terbabit.
Baca Artikel Berkaitan: Isu Produk Sandwich Ham & Cheese: KK Super Mart Gantung Urus Niaga Dengan Pembekal
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.