60% Wanita Di Malaysia Tidak Pernah Jalani Pap Smear Bagi Saringan Kanser Serviks – NHMS 2019
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Abdul Shukur Abdullah berkata sebanyak 3,038 kes positif kanser serviks dicatatkan bagi tahun 2024.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kanser serviks merupakan antara salah satu kanser yang paling kerap dilaporkan dalam kalangan wanita di Malaysia.
Pakar Perunding Onkologi Ginekologi dan Pakar Bedah Robotik, Pusat Perubatan Sunway, Dr A. Thangesweran sebelum ini berkata kanser serviks adalah kanser keempat tertinggi dalam kalangan wanita.
Di Malaysia, 12.9% kanser wanita adalah disebabkan oleh kanser serviks.
60% Wanita Tidak Pernah Lakukan Pap Smear
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 bagaimanapun mendapati 60% wanita di Malaysia tidak pernah menjalani pemeriksaan pap smear bagi saringan kanser serviks.
Menurut Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Abdul Shukur Abdullah, angka tersebut menunjukkan bahawa kaum hawa dalam negara masih mempunyai tahap kesedaran yang rendah mengenai kepentingan pengesanan awal kanser serviks.
“Kanser serviks merupakan ancaman nyata kepada kesihatan wanita, malah ia merupakan kanser ketiga paling kerap dihidapi wanita pada peringkat global dan kanser keenam utama di Malaysia,” katanya.
Dia berkata sedemikian selepas majlis perasmian Bulan Kesedaran Kanser Serviks peringkat negeri Perlis semalam (20 Januari) yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perlis, Wan Badariah Wan Saad serta dihadiri Pengarah LPPKN Perlis, Naemah Ibrahim.
Takut & Malu Jalani Ujian Menyumbang Kepada Tahap Kesedaran Rendah
Tambah Abdul Shukur, antara faktor yang menyumbang kepada tahap kesedaran yang rendah mengenai pengesanan awal kanser serviks adalah stigma takut dan malu untuk menjalani ujian.
Sebagai info, kanser serviks kerap berlaku dalam kalangan wanita berumur sekitar 40-an.
Di samping itu, Abdul Shukur berkata Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) yang dilaksanakan sejak 2022 merupakan salah satu usaha dalam meningkatkan kesedaran berkenaan.
Ujian Human Papillomavirus (HPV) DNA secara percuma turut disediakan buat golongan sasar.
Lebih 3,000 Kes Positif HPV Direkodkan Tahun Lepas
Menurut Abdul Shukur, sebanyak 162,581 wanita seluruh negara telah menjalani ujian HPV DNA bagi tempoh 2019 hingga 2024.
Daripada jumlah tersebut, 10,582 wanita didapati positif HPV, dengan 3,038 kes positif dicatatkan bagi tahun 2024.
Dalam pada itu, dia berkata kes kanser serviks di Perlis merupakan ketiga tertinggi di Malaysia bagi tahun lepas.
“Di Perlis, data menunjukkan sebanyak 1,888 wanita telah menjalani ujian HPV DNA dalam tempoh lima tahun dengan 79 kes positif direkodkan. Namun, jumlah itu hanya mewakili 3.3% daripada anggaran 56,700 wanita berumur antara 30 hingga 65 tahun di Perlis.
“Sejumlah 52,735 wanita di Perlis masih belum menjalani ujian ini. Pada 2024, 475 wanita telah menjalani ujian HPV DNA, mengatasi sasaran sebanyak 400 orang, namun 18 kes positif telah dikesan, angka itu menjadikan Perlis negeri ketiga tertinggi kes kanser serviks di Malaysia pada 2024,” katanya dipetik Awani.
Tambah Abdul Shukur lagi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan LPPKN menyasarkan 80,000 wanita di seluruh negara menerima manfaat program WCaRe bagi tahun ini yang merangkumi 45,000 saringan kanser serviks dan 35,000 subsidi mamogram
Pendarahan Antara Haid Salah Satu Simptom Kanser Serviks
Merujuk kepada Institut Kanser Negara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kanser serviks kebiasaannya bermula dengan sel pada permukaan serviks yang mungkin merebak ke bahagian anggota badan lain termasuk faraj dan usus.
Terdapat dua jenis kanser serviks iaitu ‘squamous cell carcinoma’ yang terbentuk daripada sel leper menutupi permukaan luar serviks, manakala ‘adenocarcinoma’ terbentuk dalam sel kelenjar yang terdapat di saluran serviks.
Antara faktor risiko kanser serviks adalah:
- Memulakan hubungan seks sebelum berusia 18 tahun.
- Mempunyai ramai pasangan seks.
- Jangkitan HPV melalui hubungan seks.
- Merokok.
Oleh itu, wanita berusia lebih 20 tahun yang aktif melakukan hubungan seks dan merokok disarankan menjalani ujian saringan kanser serviks setiap tahun sebagai langkah pencegahan.
Di samping itu, simptom yang boleh diperhatikan untuk mengenal pasti kanser serviks termasuk:
- Pendarahan antara haid.
- Pendarahan ketika ataupun selepas hubungan seks.
- Pendarahan selepas menopaus.
- Sebarang lelehan daripada faraj yang berbau.
- Ketidakselesaan ataupun sakit ketika hubungan seks.
Ujian saringan dilakukan menerusi ujian pap smear bagi mengesan sel-sel serviks yang tidak normal.
NCSM Tawar Vaksin HPV Percuma
Dalam pada itu, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) kini juga sedang menawarkan vaksin HPV secara percuma dari 20 hingga 26 Januari 2025 bagi individu berusia 13 hingga 26 tahun.
Inisiatif ini bertujuan mengurangkan risiko kanser berkaitan HPV seperti kanser serviks, dubur dan tekak.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.