Now Reading
TikTok Kembali Beroperasi Di Amerika Syarikat

TikTok Kembali Beroperasi Di Amerika Syarikat

Presiden Donald Trump walau bagaimanapun berkata beliau mahu Amerika Syarikat memiliki 50% daripada pemilikan TikTok.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada Sabtu lalu (18 Januari) sekitar jam 10:30 malam, pengguna TikTok di Amerika Syarikat (AS) terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada platform media sosial tersebut selepas perkhidmatannya disekat di negara berkenaan.

Keputusan yang dibuat ketika pentadbiran Presiden Joe Biden itu telah menyebabkan lebih 170 juta rakyat Amerika Syarikat tidak dapat mengakses aplikasi video popular terbabit.

Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat memutuskan larangan kontroversi terhadap aplikasi TikTok tidak melanggar hak kebebasan bersuara di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan AS.

TikTok Beroperasi Semula Di Amerika Syarikat

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh TikTok di laman X (@TikTokPolicy), aplikasi TikTok sudah dipulihkan di AS semalam (19 Januari) dan memberikan ucapan penghargaan kepada Presiden Donald Trump.

“Kami berterima kasih kepada Presiden Trump kerana memberikan jaminan yang diperlukan kepada penyedia perkhidmatan kami bahawa mereka tidak akan menghadapi sebarang penalti jika menyediakan TikTok kepada lebih 170 juta rakyat Amerika.

“Ia merupakan pendirian kukuh untuk Pindaan Pertama dan menentang penapisan sewenang-wenangnya.

“Kami akan bekerjasama dengan Presiden Trump dalam penyelesaian jangka panjang dalam mengekalkan TikTok di AS,” ujar TikTok dalam kenyataannya.

Presiden Donald Trump walau bagaimanapun berkata dalam sebuah hantarannya di platform Truth Social bahawa beliau mahu AS mempunyai pemilikan 50% dalam TikTok.

“Dengan melakukan ini, kami menyelamatkan TikTok, menyimpannya dalam tangan yang baik,” tulis Trump.

Malah, beliau turut berpendapat bahawa nilai aplikasi berkenaan berpotensi untuk melonjak sehingga ratusan bilion atau trilion dolar pada masa akan datang sekiranya membenarkan pemilikan tersebut.

Namun TikTok setakat ini belum memberikan sebarang respon terhadap gesaan Trump berkaitan pemilikan sebahagian daripada aplikasi terbabit.

Sumber: Truth Social @realDonaldTrump

Apa Sebenarnya Yang Berlaku?

Pada Mac 2024, seramai 352 perwakilan di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk meluluskan rang undang-undang yang memaksa TikTok beralih dari pemilikan China atau ia diharamkan di negara itu.

Keputusan majoriti itu dilakukan selepas mereka dikatakan mahu menentang dakwaan kononnnya China yang diterajui Parti Komunis mahu memanipulasi rakyat Amerika menerusi aplikasi terbabit.

“Undi dwipartisan hari ini menunjukkan penentangan Kongres terhadap percubaan Komunis China untuk mengintip dan memanipulasi rakyat Amerika, dan menandakan keazaman kami untuk menghalang musuh,” kata Speaker Dewan Rakyat Republikan Mike Johnson selepas pengundian.

“Saya menggesa Senat meluluskan rang undang-undang ini dan menghantarnya kepada Presiden supaya beliau boleh menandatanganinya menjadi undang-undang,” tambahnya.

TikTok secara tegasnya menafikan bahawa mereka tiada sebarang hubungan dengan kerajaan China dan memastikan data pengguna AS kekal di negara itu dengan pengawasan bebas.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd