Now Reading
Kerajaan Tidak Terburu-Buru Untuk Kejar Status Malaysia Sebagai Negara Maju – Rafizi Ramli

Kerajaan Tidak Terburu-Buru Untuk Kejar Status Malaysia Sebagai Negara Maju – Rafizi Ramli

Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli turut menjelaskan bahawa pertumbuhan ekonomi mampan antara 4% hingga 5% menjadikan Malaysia berada di landasan yang betul dalam mencapai status negara maju.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Malaysia kini merupakan sebuah negara berstatus membangun dengan sasaran untuk mencapai status negara maju dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini menjelaskan bahawa Malaysia mempunyai ciri yang amat baik untuk bergerak sebagai negara yang terus membangun termasuk pertumbuhan ekonomi, serta peningkatan eksport dan peluang pekerjaan.

Pertumbuhan Ekonomi Mampan Tetapkan Sasaran Malaysia Sebagai Negara Maju

Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini (20 Januari) berkata sasaran Malaysia untuk mencapai status negara maju dalam tempoh 2028 hingga 2029 bukanlah bersifat terburu-buru.

Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi mampan antara 4% hingga 5% menjadikan Malaysia berada di landasan yang betul dalam mencapai status negara maju.

“Saya tidak rasa sebenarnya dasar kerajaan sekarang ini adalah untuk mengejar menjadi negara maju, cuma pertumbuhan ekonomi kita yang kebelakangan ini, contohnya untuk 2024 dijangka 5.1%,” katanya dipetik Kosmo.

Kadar Pertumbuhan Ekonomi 4.5% Beberapa Tahun Akan Jadikan Malaysia Negara Maju

Jelas Rafizi, jika pertumbuhan ekonomi berterusan pada kadar 4.5% ke atas bagi beberapa tahun akan datang, Malaysia akan secara automatiknya menjadi negara maju.

Rafizi mengulas perkara itu ketika sesi sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Kerajaan Negeri Kedah di Seri Mentaloon, Alor Setar.

Beliau mengulas kenyataan seorang pakar ekonomi sebelum ini yang berkata bahawa Malaysia tidak seharusnya terburu-buru dalam mengejar status negara maju.

Sebaliknya, dikatakan negara perlu mengimbangi beberapa faktor penting dahulu untuk dijadikan kayu pengukur sebenar.

Ekonomi Negara Didorong Minat Pelaburan Luar

Di samping itu, Rafizi turut menerangkan bahawa minat pelaburan luar ke atas Malaysia yang semakin meningkat akan mendorong pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, Malaysia dianggap sebagai sebagai pintu masuk terbaik ke Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

Tambahnya lagi, unjuran berkenaan meletakkan RMK13 kepada usaha Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan kemajuan fizikal termasuk infrastruktur demi kesejahteraan rakyat.

Pendapatan Per Kapita Antara Kriteria Tahap Pembangunan Negara

Terdahulu, seorang penganalisis ekonomi meminta kerajaan untuk tidak terburu-buru mengejar status negara maju sebelum Malaysia berjaya mengimbangi beberapa faktor penting yang boleh dijadikan kayu pengukur sebenar.

“Pakar ekonomi berpendapat rakyat akan dapat menikmati taraf kehidupan lebih baik berikutan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi menawarkan pendapatan lumayan jika berjaya capai status negara berpendapatan tinggi.

“Mengikut Bank Dunia, klasifikasi utama digelar negara maju adalah wilayah geografi, kumpulan pendapatan dan kategori pinjaman operasi Kumpulan Bank Dunia,” katanya dipetik Sinar Harian.

Tambahnya lagi, tahap pembangunan dinilai berdasarkan kriteria pendapatan per kapita atau keluaran dalam negara kasar per kapita, tahap perindustrian, taraf hidup dan jumlah infrastruktur teknologi.

“Faktor bukan ekonomi pula seperti indeks pembangunan manusia, yang mengukur tahap pendidikan, celik huruf dan kesihatan untuk menilai ekonomi atau tahap pembangunan.

“Kemakmuran ekonomi meliputi pelbagai aspek holistik. Ia tidak diukur hanya dengan mencapai pendapatan negara kasar per kapita sebanyak AS$14,000,” katanya.

Misi Perdagangan & Pelaburan Tarik Potensi Pelaburan Asing

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini berkata negara berjaya menarik potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion setakat Mac 2024.

Menurutnya, kejayaan misi perdagangan dan pelaburan negara di Australia, Jerman dan Perancis telah menyumbang kepada potensi tersebut.

Pada Disember 2024, media melaporkan bahawa sebanyak RM254.7 bilion pelaburan diluluskan bagi sembilan bulan pertama tahun lalu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata angka tersebut menunjukkan keyakinan para pelabur terhadap dasar dan hala tuju ekonomi Malaysia.

Baca Artikel Berkaitan: Timbalan Mufti Rusia Sifatkan Malaysia Sebagai Negara Islam Maju

Baca Artikel Berkaitan: “Macam Hidup Dalam Tahun 3,000” – Pelancong UK Puji Kemajuan Stesen MRT Laluan Putrajaya

Baca Artikel Berkaitan: Rafizi Ramli Dedah Kenapa Beri RM1 Juta Setiap Keluarga Bukan ‘Pintu Keluar’ Isu Miskin Tegar Di Malaysia


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd