Polis Tahan Suami Isteri Didakwa Lakukan Penipuan Pakej Umrah
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, Polis Selangor menerima tujuh laporan berkenaan penipuan pakej umrah dengan jumlah anggaran kerugian sebanyak RM100,000.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Menunaikan ibadah umrah dan haji pasti menjadi cita-cita umat Islam dalam melakukan rukun Islam terakhir.
Walaupun rukun tersebut diwajibkan ke atas mereka yang mampu sahaja, masih ramai yang sanggup mengikat perut dan menggadai harta demi menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Namun amat mengecewakan apabila ada yang menjadi mangsa penipuan pakej umrah sehingga menyebabkan wang simpanan lebur begitu sahaja.
Baca Artikel Berkaitan: Terkandas Di KLIA, Wanita Kecewa Hasil Simpanan Untuk Tunai Umrah ‘Lebur’ Kena Scam
Suami Isteri Syarikat Agensi Pelancongan Disyaki Lakukan Scam Pakej Umrah
Semalam (15 Januari), sepasang suami isteri yang dari sebuah syarikat agensi pelancongan ditahan pihak polis kerana disyaki melakukan penipuan atau ‘scam’ pakej umrah.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, kedua-dua suspek berusia 31 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Kontinjen Selangor sekitar 7 malam semalam di Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, beberapa komputer, pasport dan dokumen berkaitan turut dirampas bagi tujuan siasatan.
“Penahanan susulan laporan yang diterima Polis Daerah Sepang daripada seorang pekerja wanita syarikat swasta berusia 39 tahun, yang mengalami kerugian RM11,000 selepas terkandas untuk mengerjakan umrah, semalam.
“Siasatan awal mendapati syarikat ini mula menjalankan perniagaan sejak tahun 2022, namun berpindah di sebuah premis tiga tingkat dalam daerah Sepang, Selangor sejak Oktober 2024,” katanya dipetik Berita Harian.
Mangsa Diperdaya Menerusi Iklan Di TikTok
Menjelaskan tentang modus operandi digunakan suspek, Hussein berkata mangsa diperdaya mengenai pakej umrah menerusi iklan di platform TikTok syarikat sebelum berhubung dengan ejen yang dilantik.
Tambah Hussein, sebanyak tujuh laporan telah dibuat kepada Polis Selangor berkenaan penipuan terbabit yang membabitkan jumlah anggaran kerugian sebanyak RM100,000.
“Pihak polis sudah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Hussein dalam pada itu menasihati orang ramai agar berwaspada dengan pakej umrah yang ditawarkan lebih-lebih lagi menerusi aplikasi media sosial.
“Dapatkan pengesahan lanjut kesahihan syarikat yang menjalankan pakej umrah terlebih dahulu dengan membuat rujukan dan semakan dengan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC),” ujarnya.
Lebih 300 Jemaah Umrah Terkandas
Terdahulu, media melaporkan pengarah syarikat agensi pelancongan terbabit ditahan di ibu pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) sekitar 6.45 petang semalam (15 Januari).
Suspek ditahan selepas selesai satu sidang media dan perjumpaan bersama sebahagian jemaah umrah yang terkandas.
Sebelum ini, lebih 300 jemaah umrah terkandas selepas tarikh penerbangan ke Tanah Suci yang dijanjikan ditunda dengan pelbagai alasan dari syarikat pengendali umrah.
Setakat petang semalam, hanya 20 daripada 379 jemaah yang dipulangkan semula wang selepas gagal diterbangkan ke Tanah Suci.
Lebih meruntukan hati orang ramai apabila salah seorang jemaah terbabit merupakan wanita warga emas yang mengumpul simpanan lebih 15 tahun.
Malah dia sehingga sanggup mengikat perut dan menjamah nasi hanya berlaukkan bawang dan garam.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.