JAKIM Nafi Dakwaan Produk Sandwich Ham & Cheese Tular Ada Sijil Halal
Semalam (15 Januari), syarikat pengeluar produk Sandwich Ham & Cheese itu mendakwa mereka menggunakan bahan mentah yang mempunyai sijil halal daripada JAKIM.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada Sabtu (11 Januari) lalu, dua kedai serbaneka dalam Universiti Malaya (UM) ditutup serta-merta ekoran dakwaan penemuan produk Sandwich Ham & Cheese yang diragui status halalnya.
Ia bukan sahaja mendapat pelbagai reaksi daripada warganet, bahkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh juga meminta pihak polis melakukan siasatan terhadap penjualan produk itu yang dikatakan mempunyai pelekat halal pada bungkusannya.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagaimanapun telah mengesahkan bahawa produk Sandwich Ham & Cheese yang menjadi bualan orang ramai itu sememangnya tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Namun semalam pengeluar makanan tersebut mengesahkan bahawa bahan mentah yang digunakan dalam pembuatan sandwich terbabit adalah halal.
Baca Artikel Berkaitan: Produk Sandwich Ham & Cheese Disahkan Tiada Sijil Halal Oleh JAKIM
Baca Artikel Berkaitan: Much Ado About “Ham And Cheese” – Akmal Salleh Sees Red, KK Mart Blames Supplier
JAKIM Sekali Lagi Tegaskan Produk Sandwich Ham & Cheese Adalah Tidak Halal
Peka dengan perkara tersebut, JAKIM dalam satu kenyataan di Facebook menafikan dakwaan produk Sandwich Ham dan Cheese yang tular sejak kebelakangan ini mempunyai sijil halal.
Ketua Pengarah Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata pihaknya menegaskan sekali lagi bahawa pemeriksaan dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 10 Januari lalu mendapati, produk berkenaan bukan sahaja tidak mempunyai SPHM, malah syarikat yang menghasilkan produk itu juga bukan pemegang SPHM.
“Hasilnya, tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 diambil oleh pihak KPDN.
“Dalam konteks pensijilan halal Malaysia, mana-mana produk atau perkhidmatan tidak boleh diperihal halal dan ditanda dengan halal selagi mana tiada pengesahan mahupun perakuan daripada Pihak Berautoriti Pensijilan Halal Malaysia,” ujar beliau.
Sijil Halal Pembekal Tak Layakkan Produk Dapat Sijil Halal Secara Automatik
Mengulas lanjut, Sirajuddin menegaskan bahawa penggunaan sijil halal pembekal tidak melayakkan sesuatu produk diperakui halal.
“Hal ini kerana sesuatu produk hanya boleh diperakui halal oleh pihak berautoriti setelah memenuhi standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang merangkumi aspek pengendalian, penyediaan, dan pemprosesan secara keseluruhan,” ujar beliau.
Susulan itu, JAKIM menggesa para pengusaha di luar sana supaya lebih cakna terhadap undang-undang yang digunapakai khususnya dalam isu halal bagi mengelakkan perkara sebegitu tidak lagi berulang pada masa hadapan.
Syarikat Pengeluar Dakwa Bahan Mentah Sandwich Ham & Cheese Adalah Halal
Terdahulu, syarikat pengeluar sandwich kontroversi mendakwa bahan mentah digunakan dalam pembuatan produk Sandwich Ham & Cheese itu memiliki pensijilan halal.
Jelas Shake And Bake Cafe Sdn Bhd, penghasilan makanan tersebut menggunakan roti, keju dan kepingan daging ayam yang diperakui halal oleh JAKIM.
Dalam pada itu, syarikat terbabit juga mengesahkan pegawai KPDN serta JAKIM telah melakukan siasatan ke atas premis mereka pada Jumaat lalu (10 Januari).
“Kami berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada KPDN dan JAKIM untuk membantu siasatan kes ini,” jelas syarikat pengeluar itu menerusi satu kenyataan di laman Facebook.
KK Super Mart Gantung Urus Niaga Dengan Pembekal
Sebelum ini, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan telah menggantung urusan perniagaan bersama syarikat pembekal produk Sandwich Ham & Cheese ekoran kes produk yang disyaki status halalnya.
Jelas KK Super Mart, hanya 16 KK Concept Store yang mempunyai kemasukan produk berkenaan dan urus niaga bersama syarikat pembekal itu telah dibekukan.
Sementara itu, KK Super Mart turut memaklumkan bahawa pihaknya telah membuat laporan polis selain mengarahkan peguam untuk menghantar Surat Tuntutan (LOD) bertarikh 10 Januari 2025 kepada syarikat terbabit.
Baca Artikel Berkaitan: Isu Produk Sandwich Ham & Cheese: KK Super Mart Gantung Urus Niaga Dengan Pembekal
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram