40 Rakyat Palestin Dibunuh Beberapa Jam Selepas Pengumuman Gencatan Senjata
Difahamkan serangan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 40 penduduk Gaza terjadi hanya beberapa jam selepas perjanjian gencatan senjata diumumkan.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Serangan di Palestin telah berterusan lebih 15 bulan sejak bermula pada bulan Oktober 2023.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 46,707 penduduk Gaza dilaporkan telah terkorban yang termasuk kira-kira 18,000 kanak-kanak tidak bersalah.
Genosid ke atas rakyat Palestin itu mencatat detik bersejarah apabila gencatan senjata antara pejuang Hamas dan rejim Israel akhirnya diumumkan semalam (15 Januari).
Gaza Diserang Beberapa Jam Selepas Perjanjian Gencatan Senjata Diumumkan
Berita gembira tersebut bagaimanapun didatangi kesedihan apabila sekurang-kurangnya 40 penduduk Gaza terkorban akibat serangan oleh Israel.
Serangan tersebut dilakukan hanya beberapa jam selepas Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani mengumumkan kejayaan pengantara mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza.
Serangan Berlaku Ketika Kabinet Israel Dijangka Bermesyuarat Undi Perjanjian
AlJazeera memetik kenyataan tentera Israel di laman X, menjelaskan bahawa tembakan telah dilepaskan di kawasan lapang dalam komuniti Nir Am di selatan Israel yang terletak berhampiran Semenanjung Gaza.
Dikatakan serangan tersebut berlaku sewaktu kabinet Israel dijangka mengadakan mesyuarat hari ini (16 Januari) bagi mengundi perjanjian gencatan senjata berkenaan.
Memetik laporan The Times of Israel, AlJazeera berkata serangan terbabit menyebabkan siren berdekatan sempadan dibunyikan.
Wartawan Maklum 71 Rakyat Palestin Terbunuh Sejak Perjanjian
Berdasarkan makluman terkini oleh wartawan Muhammad Smiry yang berpangkalan di Palestin, seramai 71 rakyat Palestin telah terbunuh sejak perjanjian gencatan senjata diumumkan.
24 daripada mereka yang terkorban merupakan wanita, manakala 19 lagi ialah kanak-kanak.
Dia juga sebelum ini berkata tentera Israel telah mengebom Gaza sewaktu pengumuman dilakukan oleh Sheikh Mohammed.
Katanya lagi, tentera Israel telah mengebom rumah-rumah kediaman di utara Gaza.
“Mereka mahu memastikan kita pulang tanpa rumah,” ujarnya ringkas.
Fasa Pertama Gencatan Senjata Akan Bermula Ahad
Terdahulu, Sheikh Mohammed mengumumkan bahawa pejuang Hamas dan Israel bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata.
Katanya, perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui bagi menghentikan peperangan di Gaza akan bermula pada Ahad (19 Januari).
Sheikh Mohammed ketika sidang media di Doha berkata perjanjian tersebut juga akan memberi kebebasan bagi tawanan Israel serta meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Dalam pada itu, fasa pertama perjanjian itu akan berlangsung selama 42 hari dan membabitkan pembebasan 33 tahanan Israel sebagai pertukaran dengan jumlah tahanan Palestin yang tidak dinyatakan.
Baca Artikel Berkaitan: PM Qatar Umum Gencatan Senjata Di Gaza Bermula 19 Januari
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.