Now Reading
3 Lelaki Didakwa Terlibat Kes Jenayah Seksual Kanak-Kanak Di Selangor

3 Lelaki Didakwa Terlibat Kes Jenayah Seksual Kanak-Kanak Di Selangor

Salah seorang tertuduh didakwa atas pertuduhan berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak dan melakukan pengantunan seksual.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dilihat semakin banyak dilaporkan di dalam negara.

Apa yang lebih merisaukan adalah sesetengah kanak-kanak tidak mengetahui bahawa perkara sedemikian merupakan satu bentuk jenayah kerana telah mengalami ‘child grooming’.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ahli keluarga, jiran dan guru boleh didakwa jika gagal melaporkan kes jenayah seksual kanak-kanak.

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Ini Dedah Masyarakat Kurang Cakna Kes Jenayah ‘Child Grooming’, Anggap Sekadar Jenaka

Baca Artikel Berkaitan: Jiran, Guru & Ahli Keluarga Boleh Didakwa Jika Gagal Lapor Kes Jenayah Seksual Kanak-Kanak

Lelaki Didakwa Berkomunikasi Secara Seksual Dengan Kanak-Kanak Lelaki

Semalam (14 Januari), tiga lelaki didakwa di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Putrayaja atas pertuduhan berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak, pengantunan seksual dan memiliki video pornografi.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.

Berdasarkan laporan Awani, Mustafa Kasim, 29 berdepan tiga pertuduhan dengan dua daripadanya membabitkan kesalahan berkomunikasi secara seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki.

Dia yang merupakan seorang pembantu restoran melakukan kesalahan tersebut menerusi aplikasi WhatsApp pada 1 petang 5 Disember 2022 di Kota Damansara, Selangor.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 11(1) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun jika disabit bersalah.

Tertuduh Minta Gambar Lucah, Miliki Video Pornografi Kanak-Kanak

Bagi pertuduhan kedua, Mustafa didakwa di bawah Seksyen 12 akta sama atas kesalahan berkomunikasi secara seksual terhadap kanak-kanak terbabit dengan meminta gambar lucah pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga, Mustafa didakwa di bawah Seksyen 10 akta sama kerana memiliki video pornografi kanak-kanak. Kesalahan tersebut dilakukan pada 12.30 tengah hari, 20 Disember 2022 di Pangsapuri Tania Jalan Merbah, Kota Damansara

Dalam pada itu, dia boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh Tidak Bayar Jaminan & Dihantar Ke Penjara

Jaminan sejumlah RM12,000 telah ditetapkan oleh Hakim Kunasundary bagi kesemua pertuduhan yang dikenakan ke atas Mustafa. Dia bagaimanapun telah dihantar ke Penjara Sungai Buloh kerana tidak membayar jaminan.

Dalam pada itu, peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili Mustafa memohon agar jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh masih dalam jaminan polis. Katanya tujuan jaminan diberikan adalah bagi memastikan tertuduh dapat hadir ke mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Norhana Sahat.

2 Lelaki Didakwa Miliki Pornografi Kanak-Kanak

Laporan oleh Awani juga mendedahkan dua lelaki lain yang turut mengaku tidak bersalah selepas didakwa dengan kesalahan pornografi kanak-kanak.

Tan Lye Synn, 41 yang merupakan seorang pengurus syarikat didakwa memiliki pornografi kanak-kanak di Jalan 17/33, Seksyen 17, Petaling Jaya pada 9 malam 23 Disember 2024.

Selain itu, Phoon Mun Tat berusia 39 tahun didakwa melakukan kesalahan memiliki pornografi kanak-kanak pada masa dan tarikh yang sama di Jalan PJU 10/18A, Sutera Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Kedua-dua tertuduh membayar ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 13 Februari.

Baca Artikel Berkaitan: Uyaina Kongsi Pengalaman Individu Kena Gangguan Seksual, Seawal 4 & 5 Tahun

Baca Artikel Berkaitan: Pakar Psikiatri Dengan Nama Seperti Orang Malaysia Dipenjara Kerana Kes Amang Seksual Remaja Di Ireland


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd