Now Reading
Lelaki Dihukum Penjara 6 Bulan, Pukul Isteri Kerana Tidak Mahu ‘Bersama’

Lelaki Dihukum Penjara 6 Bulan, Pukul Isteri Kerana Tidak Mahu ‘Bersama’

Tertuduh turut beberapa kali menumbuk dan mencekik leher isterinya sehingga sukar bernafas.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kes keganasan domestik merupakan satu isu yang kerap berlaku dalam masyarakat dan dilaporkan secara meluas dalam media.

Salah satu kes tersebut adalah apabila seorang lelaki didakwa menolak isterinya ke dalam sebuah gaung di Jalan Raya Timur Barat pada tahun lepas.

Lebih menyedihkan lagi apabila seorang wanita tidak mempunyai sistem sokongan yang boleh membantunya keluar daripada keadaan yang menekan.

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Tolak Isteri Dalam Gaung Di Gerik Kini Direman Selama Seminggu

Lelaki Mengaku Bersalah Pukul Isteri

Hari ini (14 Januari) media melaporkan seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret kerana memukul isteri.

Pengakuan tersebut dibuat oleh tertuduh selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Tertuduh Pukul Isteri Kerana Tidak Mahu Lakukan Hubungan Seks

Menurut pertuduhan, tertuduh memukul isterinya kerana mangsa tidak mahu melakukan hubungan seks bersama.

Dia dalam satu perkahwinan yang sah telah menyebabkan kecederaan kepada isterinya berusia 32 tahun untuk mengadakan persetubuhan dengannya.

Laporan Awani mendedahkan bahawa kesalahan tersebut dilakukan di bilik kelamin sebuah rumah di Jalan Pokok Mangga, Kampung Padang, Melaka sekitar 2 pagi Jumaat (10 Januari) lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun jika disabit kesalahan.

Tertuduh Pukul & Tumbuk Mangsa, Cekik Hingga Sukar Bernafas

Berdasarkan fakta kes, isteri tertuduh menolak ajakannya untuk melakukan hubungan seks kerana kepenatan menjaga anak mereka yang berusia setahun.

Mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makanan juga dikatakan tidak tahan dengan perbuatan tertuduh yang meminta untuk melakukan hubungan seks setiap hari.

Tindakan mangsa yang menolak ajakan tertuduh menyebabkan dia marah dan menampar serta menumbuk mangsa beberapa kali. Malah, tertuduh turut mencekik leher isterinya sehingga sukar bernafas.

Mangsa yang berjaya melepaskan diri kemudiannya berlari keluar dari bilik sebelum memanggil bapa mentuanya yang tinggal serumah.

Tertuduh Rayu Hukuman Penjara Rendah Kerana Sudah Insaf

Sehubungan itu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal setelah mengambil kira mangsa yang merupakan isteri tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman penjara rendah dengan alasan bahawa dia telah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan tersebut terhadap isterinya.

Dia dalam pada itu dijatuhkan hukuman penjara enam bulan sejak tarikh ditangkap pada Jumaat (10 Januari) lepas.

Isteri Boleh Minta Cerai Dari Suami Kaki Pukul

Penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus sebelum ini menjelaskan bahawa seorang isteri boleh meminta cerai jika suaminya suka memukul dan memaki hamun.

“Kalau kita (isteri) sudah tidak sanggup duduk dengan suami yang jahat, jadi ada lima sebab kita boleh minta cerai termasuklah duduk dalam keadaan tak dapat hidup dengan baik,” jelas beliau dalam satu ceramah.

Sekiranya anda merupakan salah seorang mangsa atau mahu melaporkan kes keganasan rumah tangga, anda boleh melaporkan kejadian di:

  • Balai Polis berhampiran atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan yang berhampiran
  • Hubungi Talian Kasih 15999
  • Rujuk ke hospital berhampiran sekiranya dicederakan

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes keganasan rumah tangga, anda boleh layari portal Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd