Now Reading
[Video] 2 Tram Bertembung Di Perancis, 68 Tercedera

[Video] 2 Tram Bertembung Di Perancis, 68 Tercedera

Kedua-dua pemandu tram yang terlibat dalam pertembungan di stesen Strasbourg, Perancis itu tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal tetapi berada dalam keadaan yang ‘amat terkejut’.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada Sabtu (11 Januari) lalu, dua tram di stesen kereta api utama Strasbourg, Perancis telah bertembung mengakibatkan 68 tercedera.

Insiden ini menjadikannya kemalangan tram pertama di Strasbourg sejak 1998.

Menurut laporan BBC, dipercayai salah satu tram yang sedang berhenti telah bergerak ke belakang menuruni cerun landasan tanpa sebab yang diketahui.

Ia kemudiannya bertembung dengan sebuah tram lain yang sedang berhenti di landasan sama. Namun tiada sebarang kematian yang dilaporkan.

Tram Dipenuhi Penumpang Ketika Insiden Berlaku

Rakaman video dan gambar yang dimuat naik ke laman media sosial menyaksikan keadaan yang huru-hara di lokasi kejadian.

Kelihatan tram dipenuhi penumpang dengan asap keluar dari bawah kedua-duanya. Dapat didengari juga jeritan orang ramai serta bunyi loceng kecemasan.

Kedua-dua tram dilihat mengalami kerosakan teruk dengan salah satunya tergelincir daripada landasan.

Salah seorang saksi bernama Johan berkata dia melihat salah satu tram berkenaan mengundur dengan laju sebelum mendengar bunyi perlanggaran yang kuat.

https://www.tiktok.com/@la_vie670/video/7458950918797724930

Punca Pertembungan Tram Dalam Siasatan

Jurucakap di wilayah berkenaan memaklumkan bahawa satu siasatan terhadap punca insiden itu telah dibuka.

Namun begitu pendakwa, Alexandre Chevrier, berkata perlanggaran tersebut bukan disengajakan.

Sehubungan itu, BFM TV mendedahkan satu perimeter keselamatan telah dibuka di hadapan salah satu stesen tersibuk di Perancis itu.

Menerusi hantaran di X, perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Bas-Rhin menggesa orang ramai agar menghindari lokasi tersebut untuk membolehkan servis kecemasan mengakses kawasan insiden.

https://twitter.com/sdis67/status/1878098275615514970

Para Penumpang Alami Kecederaan Ringan Termasuk Trauma

Pengarah perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Bas-Rhin, Rene Cellier berkata beberapa kecederaan ringan yang dilaporkan membabitkan trauma. Kecederaan dialami penumpang juga termasuk kecederaan kulit kepala, retak tulang klavikel dan lutut terseliuh.

“Terdapat juga sekitar 100 penumpang tanpa kecederaan tertentu tetapi tetap bertemu dengan doktor,” tambahnya.

Cellier berkata kira-kira 50 kenderaan dan 130 anggota bomba digegaskan ke lokasi kejadian dan menyifatkan insiden itu sebagai sesuatu yang ‘boleh berlaku lebih teruk’.

Dalam pada itu, Pengarah CTS berkata kedua-dua pemandu tram berkenaan tidak mengalami kecederaan fizikal tetapi berada dalam keadaan yang ‘amat terkejut’.

Untuk info, CTS atau Compagnie des Transports merupakan syarikat yang mengendali servis pengangkutan awam di Strasbourg.

Dua LRT Bertembung Di Malaysia Pada 2021

Sebelum ini, Malaysia juga pernah mengalami insiden pertembungan antara dua tren LRT di antara stesen Kampung Baru dan KLCC pada 2021.

Insiden itu sehingga menyebabkan 47 cedera parah dan 166 lagi mengalami kecederaan ringan.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang merupakan Menteri Pengangkutan ketika itu berkata perlanggaran tersebut disebabkan oleh kecuaian pemandu.

Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan Rapid Rail Bhd (Rapid Rail) dalam pernyataan pembelaan bagaimanapun menafikan tuduhan terbabit.

Baca Artikel Berkaitan: “Jadi Salah Siapa?” – Isu Tren Bertembung, Netizen Persoal Selepas Prasarana & Rapid Rail Nafi Cuai

Baca Artikel Berkaitan: Kecuaian Pemandu Punca Nahas LRT- Menteri Pengangkutan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd