Now Reading
[Video] 4 Cedera Lepas Ditetak Sekumpulan Individu Berparang Di Kedai Makan

[Video] 4 Cedera Lepas Ditetak Sekumpulan Individu Berparang Di Kedai Makan

Serangan bersenjata yang berlaku semalam (9 Januari) sekitar 9:41 malam itu terjadi di sebuah restoran di Nilai, Negeri Sembilan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Jenayah yang berlaku pada zaman sekarang ini semakin membimbangkan orang ramai tidak kiralah pada waktu siang mahupun malam.

Baru-baru ini, satu kejadian tidak diingini berlaku pada malam semalam (9 Januari) sekitar jam 9:41 malam di sebuah restoran di Nilai, Negeri Sembilan.

Dalam insiden berkenaan, sekumpulan individu bertopeng dipercayai melibatkan lima orang warga tempatan itu dilihat menaiki sebuah kenderaan sebelum berhenti di hadapan kedai makan yang menjadi sasaran mereka.

Empat Orang Mangsa Cedera Ditetak Oleh Penjenayah Bersenjata

Lebih megeruhkan keadaan, situasi berkenaan telah mengakibatkan empat orang lelaki cedera selepas diserang oleh sekumpulan individu bertopeng dipercayai warga tempatan.

Berdasarkan video yang dimuat naik di laman Facebook Buletin Malaysia, empat orang lelaki yang sedang minum di kedai makan berkenaan telah ditetak menggunakan parang sehingga menyebabkan kecederaan pada kesemua mangsa.

Memetik laporan Kosmo, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim memaklumkan bahawa empat mangsa warga tempatan itu berada dalam lingkungan 44 hingga 59 tahun.

“Sekumpulan lelaki yang terus meluru ke arah mangsa yang ketika itu sedang minum dalam sebuah kedai makan.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah diserang kira-kira lima lelaki disyaki warga tempatan dengan bersenjatakan parang,” jelas Abdul Malik.

Susulan itu, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Tunku Jaafar Seremban (HTJS), Negeri Sembilan bagi menerima rawatan dan mereka kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Walau bagaimanapun, motif serangan masih belum dikenal pasti dan masih dalam siasatan.

Masyarakat Luah Rasa Bimbang Dengan Insiden Yang Berlaku

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata masyarakat berpendapat tahap keselamatan pada zaman sekarang berada pada tahap yang agak merisaukan termasuklah di kawasan sekitar Nilai.

“Nilai pun tak selamat dah sekarang,” ujar netizen.

Pada masa yang sama, pengguna media sosial kurang senang melihat insiden terbabit terutama sekali apabila penjenayah berkenaan menyerang mangsa ketika sedang makan.

“Kau kalau nak serang orang pun janganlah di kedai makan. Keluarga kat situ nak makan tenang-tenang, habis berselerak kedai orang,” kata netizen

“Apa nak jadi ni? Nak tiru macam Columbia ke?” luah seorang pengguna X.

Semoga kita semua terlindung daripada segala kejadian yang membahayakan nyawa di luar sana.

Sumber: X


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd