Bayi Dibawa Pengasuh Taska Ke Klinik Dalam Keadaan Pucat, Disahkan Meninggal Dunia
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata pengasuh taska telah membawa bayi berkenaan ke sebuah klinik dalam keadaan pucat serta kebiruan pada bahagian bibir dan kaki.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pusat asuhan atau taska menjadi salah satu pilihan bagi ibu bapa menghantar anak-anak untuk dijaga saat mereka ke tempat bekerja.
Ibu bapa pasti akan meninjau beberapa taska terlebih dahulu sebelum membuat pilihan terbaik agar memastikan keselamatan anak-anak.
Doktor Laporkan Kematian Bayi 4 Bulan
Media hari ini melaporkan seorang bayi berusia empat bulan meninggal dunia di sebuah taska di Kuala Langat pada Jumaat (3 Januari) lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi seorang doktor telah membuat laporan berkaitan kematian bayi lelaki tersebut pada jam 3.29 petang.
Beliau menjelaskan bahawa bayi berkenaan telah dibawa ke klinik dalam keadaan pucat serta kebiruan pada bahagian bibir dan kaki oleh pengasuh taska.
“Pemeriksaan mendapati bayi itu tiada nadi serta tidak bernafas selain tiada pergerakan anak mata apabila disuluh menggunakan lampu,” katanya dipetik Awani.
Bayi Dibawa Ke Hospital Cyberjaya
Tambah Mohd Akmalrizal, doktor di klinik berkenaan telah memberi bantuan pernafasan (CPR) serta oksigen kepada bayi tersebut sementara menunggu ambulans untuk dibawa ke Hospital Cyberjaya.
“Hospital menerima bayi itu pada jam 4.35 petang sebelum memberikan bantuan CPR selama lebih 30 minit.
“Bagaimanapun tiada tindak balas diberikan sebelum bayi itu disahkan meninggal dunia pada jam 5.05 petang,” ujarnya.
Permohonan Lesen Bagi Taska Belum Diluluskan
Mohd Akmalrizal dalam pada itu menjelaskan bahawa semakan mendapati premis taska terbabit tidak mempunyai lesen.
“Semakan dijalankan turut mendapati permohonan telah dihantar namun belum diluluskan.
“Setakat ini tiada tangkapan dijalankan, pengusaha dan pekerja terbabit telah diambil keterangan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sebarang maklumat atau info berkaitan kejadian boleh disalurkan dengan tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222.
Mohd Akmalrizal bagaimanapun menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Tular Tangkap Layar Perbualan WhatsApp Ibu & Taska Di Media Sosial
Terdahulu, tular di media sosial kisah seorang bayi berusia empat bulan yang dikenali sebagai Handzalah tidak lagi bernyawa setelah dihantar ke sebuah pusat asuhan di Kuala Langat.
Berdasarkan tangkap layar perbualan WhatsApp antara ibu kepada Handzalah dan pihak taska, wanita itu mempersoalkan bagaimanakah insiden itu boleh berlaku.
“Kalau sebab kematian SIDS sekalipun, masih boleh dicegah kalau ada orang jaga sepanjang masa,” katanya.
Malah, dia turut dikeluarkan dari kumpulan Whatsapp taska berkenaan tanpa mendapat sebarang permohonan maaf dari pihak taska.
“Empat bulan je cikgu. Banyak lagi perancangan kami. Kami nak beraya bersama. Kami nak ambil gambar studio,” luah ibu tersebut kepada seorang cikgu taska terbabit.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Tips Terbaik Buat Ibu Bapa Pilih Taska Terbaik Untuk Anak-Anak
Baca Artikel Berkaitan: Kes Tertinggal Anak Dalam Kereta: Tadika & Taska Wajib Hubungi Ibu Ayah
Baca Artikel Berkaitan: Yuran Taska & Tadika Dijangka Bakal Meningkat Sekitar 25% Pada 2025
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.