Now Reading
Ujian Air Kencing Sebelum Konsert Tak Praktikal, Perlu Ambil Pendekatan Lain – KARYAWAN

Ujian Air Kencing Sebelum Konsert Tak Praktikal, Perlu Ambil Pendekatan Lain – KARYAWAN

Menurut Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez, pelaksanaan ujian air kencing sebelum konsert mengambil masa yang panjang memandangkan penonton mencecah ribuan individu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada 31 Disember lalu, masyarakat dikejutkan dengan berita kematian empat pengunjung konsert ambang tahun baharu ‘Pinkfish’ di Bandar Sunway, Subang Jaya.

Hasil siasatan polis mendapati kesemua tujuh mangsa menghadiri konsert tersebut secara berasingan dan ada yang mengambil pil ekstasi. Mangsa juga didapati mengalami simptom yang sama selepas mengambil bahan terlarang itu.

Sebagai satu langkah pencegahan bagi membasmi aktiviti pengambilan dadah, kerajaan Selangor mencadangkan satu prosedur operasi standard (SOP) baharu iaitu para penonton perlu membuat ujian air kencing sebelum memasuki pekarangan konsert.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim berkata perkara ini akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada hari ini (8 Januari).

Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Selangor Cadang Penonton Buat Ujian Air Kencing Sebelum Masuk Konsert

Ujian Urin Perlukan Masa Panjang & Tenaga Kerja Yang Besar

Cadangan ini bagaimanapun mendapat reaksi kurang senang daripada beberapa pihak. Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez meyifatkan pelaksanaan saringan air kencing sebelum memasuki konsert adalah tidak praktikal.

Hal ini kerana proses keputusan ujian urin memerlukan masa yang panjang, terutamanya jika dilakukan dalam skala besar.

Menurut beliau, prosedur terbabit hanya boleh dilaksanakan sekiranya teknologi terkini dan canggih digunakan.

“Bayangkan sebuah konsert yang dihadiri 30,000 penonton. Setiap individu perlu beratur untuk menjalani ujian air kencing. Proses ini akan memakan masa, memerlukan tenaga kerja yang besar, dan secara keseluruhan, saya berpendapat ia tidak praktikal,” jelas Freddie, lapor Buletin TV3.

Sumber: Freepik

Tayang Video Kempen Anti Dadah Sebelum Konsert Bermula

Tambah Freddie, kejadian yang tidak diingini berlaku di konsert sebagai contoh penyalahgunaan dadah kebiasaannya dilakukan oleh penonton baharu yang mahu mencuba melakukan perkara tidak senonoh.

Mengulas lanjut, beliau mencadangkan pendekatan yang lebih berkesan melalui kempen kesedaran, sebagai contoh tayangan video impak negatif dadah sebelum acara konsert bermula.

Persatuan KARYAWAN juga dikatakan bersedia bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kesejahteraan para penonton sepanjang konsert berjalan.

Antara cadangan lain yang dikemukakan oleh beliau adalah menyertakan slogan ‘Muzik Tanpa Dadah’ pada tiket dan papan iklan bagi meningkatkan interaksi antara kempen anti-dadah serta konsert.

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Freepik

Baca Artikel Berkaitan: 4 Individu Maut Selepas Hadir Konsert Pinkfish Dipercayai Ambil Pil Ekstasi – Polis

Cadangan Saringan Air Kencing Tak Sesuai Untuk Semua Jenis Konsert

Sementara itu, pengasas Icon Entertainment dan penganjur konsert, Iman Tang juga memberikan sedikit pandangan tentang cadangan dibangkitkan. Jelas Iman, pelaksanaan cadangan tersebut perlu diteliti mengikut jenis konsert yang bakal diadakan.

“Tidak adil untuk melaksanakan ujian air kencing bagi semua jenis konsert. Jangan pukul rata,” tegasnya.

Jelas penganjur itu, insiden yang berlaku di konsert Pinkfish merupakan detik hitam dalam industri hiburan tanah air. Oleh yang demikian, Iman mencadangkan agar pihak bertanggungjawab menyelidik setiap permohonan permit penganjuran konsert, termasuk genre muzik dan sejarah konsert terbabit.

Polis Tangguh Kelulusan Permit Konsert Di Selangor

Terdahulu, empat individu maut ketika konsert Pinkfish dilaporkan tidak mempunyai sebarang kecederaan luaran.

Dalam pada itu, polis juga memaklumkan bahawa kemungkinan wujudnya aktiviti penjualan dadah ketika penganjuran konsert ambang tahun baharu terbabit.

Baca Artikel Berkaitan: Kematian 2 Lelaki & 2 Wanita Di Konsert Pinkfish: Tiada Kesan Kecederaan Luaran – Polis

“Siasatan kami turut mendapati ada antara mereka yang dapat (pil ekstasi) daripada luar dan ada juga yang beli dalam premis konsert itu.

“Kita tidak menafikan ada individu yang berlegar di situ (sekitar premis konsert) dan menjual pil ekstasi dengan harga RM50 bagi satu pil. Kebiasaannya, mereka menjual secara pakej iaitu tiga pil RM100,” jelas PDRM.

Sumber: Pexels

Justeru, polis mengambil pendekatan untuk menangguh sementara kebenaran permit penganjuran konsert di negeri Selangor. Ujar Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pihaknya perlu meneliti sebarang penganjuran yang berlangsung pada masa akan datang.

Sekiranya konsert itu dibenarkan, maka penganjur perlu menitikberatkan beberapa aspek termasuk:

  • Tahap keselamatan konsert
  • Mematuhi jumlah peserta mengikut keluasan tempat
  • Pengudaraan yang baik di lokasi konsert diadakan

Baca Artikel Berkaitan: Polis Selangor Tangguh Lulus Permit Konsert Susulan Kes Maut Di Pinkfish


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd