Myvi Rempuh Stesen Minyak Di Ipoh, Pemandu Tertekan Pedal Minyak Berlebihan
Pemandu warga emas berusia 77 tahun yang terlibat dalam insiden di sebuah stesen minyak di Ipoh itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kemalangan jalan raya boleh terjadi apabila terdapat individu yang memandu kenderaan secara berbahaya atau tidak mengikut undang-undang jalan raya.
Lebih menyukarkan keadaan apabila insiden tersebut membabitkan pihak lain sehingga merosakkan harta benda, malah menyebabkan kemalangan jiwa.
Namun kadangkala ia juga boleh disebabkan oleh kecuaian yang tidak disengajakan seperti yang berlaku baru-baru ini di sebuah stesen minyak.
Perodua Myvi Rempuh Stesen Minyak Di Ipoh
Semalam (7 Disember), satu hantaran yang dimuat naik ke Facebook VIRAL PERAK menunjukkan keadaan di sebuah stesen minyak di Jalan Bercham, Ipoh selepas dirempuh oleh kereta jenis Perodua Myvi.
Insiden yang berlaku sekitar jam 11.30 pagi semalam sehingga menyebabkan satu dinding kaca di premis berderai akibat dirempuh.
Kelihatan kereta tersebut telah merempuh bahagian tempat penghantaran bungkusan CollectCo yang terletak bersebelahan kedai stesen minyak berkenaan.
Pemandu Tertekan Pedal Minyak Berlebihan
Menurut laporan Awani, insiden terbabit berlaku apabila pemandu yang merupakan seorang lelaki warga emas 77 tahun tertekan pedal minyak berlebihan sebelum hilang kawalan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata siasatan mendedahkan bahawa pemandu Myvi berkenaan tertekan pedal minyak secara berlebihan selepas melanggar bonggol.
Kereta tersebut kemudiannya hilang kawalan lalu merempuh masuk ke dalam bangunan stesen minyak terbabit.
Tiada Sebarang Kecederaan Ke Atas Pemandu & Orang Awam
Awani bagaimanapun melaporkan tiada sebarang kecederaan yang dialami warga emas terbabit serta pelanggan lain yang sedang berada di stesen minyak tersebut.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya bahagian hadapan kenderaan sahaja rosak.
“Siasatan lanjut mendapati tiada pelanggan yang terlibat semasa kejadian ini berlaku,” katanya dipetik Awani.
Tambah Abang Zainal Abidin, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) iaitu gagal mengawal kenderaan semasa memandu.
Lokasi kejadian turut dilawati oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bercham, Ong Boon Piow yang menyeru orang ramai agar berhati-hati semasa memandu kenderaan.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan di Facebook DAP Bercham, Perak, bahagian dinding kaca yang pecah akibat dirempuh telah ditutup menggunakan papan kayu setakat petang semalam.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.