182 Laporan Polis Dibuat Ke Atas Hannah Yeoh Berhubung Isu Buku ‘Becoming Hannah’
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa 59 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu buku ‘Becoming Hannah’.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Terdapat beberapa tokoh dan pemimpin negara yang telah menghasilkan buku penulisan sendiri menceritakan tentang perjalanan politik mahupun kisah peribadi mereka.
Salah seorangnya ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang sebelum ini menerbitkan buku bertajuk ‘Becoming Hannah’ di bawah SIRD pada tahun 2014.
Difahamkan bahawa buku tersebut menceritakan tentang perjalanan peribadi, termasuk keyakinan agama, yang membentuk dirinya sehingga menjadi seorang wakil rakyat.
182 Laporan Polis Dibuat Terhadap Hannah Yeoh
Terkini, sebanyak 182 laporan polis terhadap Ahli Parlimen Segambut itu diterima di seluruh negara berhubung isu buku Becoming Hannah.
Perkara itu didedahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa yang juga berkata bahawa keterangan dari 59 individu telah dirakam bagi membantu siasatan.
“Jumlah keseluruhan laporan polis adalah sebanyak 182 telah diterima manakala kita telah rakam keterangan daripada 59 individu bagi membantu siasatan.
“Keterangan YB Hannah Yeoh masih belum diambil,” katanya dipetik Kosmo.
Buku Becoming Hannah Didakwa Mempunyai Unsur Penyebaran Kristian
Terdahulu, media melaporkan Hannah akan dipanggil oleh pihak polis bagi tujuan merekod keterangan berhubung isu buku penulisannya.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob ketika itu, sebanyak 157 laporan polis diterima dan 45 individu telah dirakam keterangan.
Menerusi laporan oleh Awani, difahamkan buku Becoming Hannah didakwa mengandungi unsur penyebaran agama Kristian secara halus.
Dalam masa sama, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini juga telah membuat laporan polis mengenai buku penulisan wakil rakyat tersebut.
Laporan tersebut bertujuan untuk menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengharamkan buku terbabit yang disifatkan berbahaya dan boleh mengancam keselamatan negara.
Baca Artikel Berkaitan: KDN Larang 6 Judul Buku Ini Dijual Di Pasaran Malaysia, Didakwa Langgar Etika Moral
Mahkamah Tinggi Tolak Saman Fitnah Terhadap Tan Sri Musa Hassan
Dalam perkembangan lain, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember lalu telah menolak saman fitnah yang dibuat oleh Hannah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Saman fitnah tersebut dibuat berhubung kenyataan Musa Hassan dalam sebuah forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 3 Januari 2020.
Antara dakwaan Hannah adalah Musa menuduhnya menulis buku Becoming Hannah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, mempunyai hubungan dengan pendakwah Evangelis dan Yahudi untuk merosakkan Islam serta Malaysia selain mengutamakan kepentingan peribadi melebihi kepentingan negara.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Saman Fitnah Musa Hassan: Hannah Yeoh Failkan Rayuan
Hannah Yeoh Wanita Pertama Jadi Speaker DUN Di Malaysia
Hannah Yeoh merupakan Ahli Parlimen Segambut sejak memenangi kerusi tersebut buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan antara tahun 2018 sehingga 2020.
Kini, beliau merupakan Menteri Belia dan Sukan, serta satu-satunya pemimpin wanita dari parti DAP dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Wanita kelulusan Sarjana Muda Undang-Undang LLB dari University of Tasmania ini juga pernah berkhidmat sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor (2013 – 2018), menjadikan beliau sebagai speaker wanita pertama dan termuda bagi peringkat dewan negeri.
Malah antara tahun 2008 hingga 2018, Hannah telah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Subang Jaya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.