Tiada Perintah Tahanan Rumah Bagi Najib Diterima Jabatan Penjara – Saifuddin Nasution
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata Jabatan Penjara hanya diarahkan untuk memendekkan tempoh hukuman penjara dan mengurangkan denda ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Semalam (6 Disember), satu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang telah didedahkan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Surat bertarikh 4 Januari itu mengesahkan kewujudan Titah Adendum bagi membenarkan Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Jabatan Penjara Tidak Terima Perintah Tahanan Rumah – Saifuddin
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail walau bagaimanapun berkata Jabatan Penjara tidak pernah menerima sebarang perintah sedemikian daripada Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Sebaliknya, Jabatan Penjara pada 2 Februari 2024 hanya menerima minit mesyuarat dan perintah untuk melaksanakan keputusan mesyuarat lembaga berkenaan yang diputuskan pada 29 Januari tahun sama, kata Saifuddin.
Perintah Diterima Hanya Bagi Memendekkan Tempoh Hukuman Penjara
Menerusi perintah tersebut, Saifuddin berkata Jabatan Penjara hanya diarahkan untuk memendekkan tempoh hukuman penjara Najib kepada 23 Ogos 2028 dan mengurangkan denda kepada RM50 juta.
Perintah yang ditandatangani Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa itu juga menyatakan bahawa tempoh penjara akan ditambah selama setahun sehingga 23 Ogos 2029 sekiranya denda tidak dibayar.
“Surat yang Jabatan Penjara terima tidak ada menyebut tentang tahanan di rumah. Jadi sebagai Jabatan melaksanakan perintah ini, Jabatan Penjara harus amanah dalam melaksanakan perintah ini.
“Adalah penting untuk menjelaskan bahawa KDN dan Jabatan Penjara tidak menyembunyikan sebarang keputusan Lembaga Pengampunan atau gagal mematuhinya…kami hanya melaksanakan perintah yang sahih dan rasmi, seperti yang diterima,” katanya dipetik Awani.
Minit Mesyuarat Diterima KDN Tiada Arahan Mengenai Tahanan Rumah
Dalam pada itu, Saifuddin mengesahkan bahawa tiada sebarang arahan tambahan atau maklumat mengenai tahanan rumah di dalam minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang diterima pihaknya.
“Dengan penjelasan ini, saya harap dapat memperjelaskan bahawa KDN telah melaksanakan sepenuhnya titah Tuanku (Al-Sultan Abdullah), seperti yang diarahkan melalui perintah rasmi Lembaga Pengampunan. Sebarang dakwaan yang mengatakan sebaliknya adalah tidak benar,” katanya.
Najib Dibenarkan Cabar Kewujudan Titah Adendum
Terdahulu, Mahkamah Rayuan telah membenarkan Najib mencabar kewujudan Titah Adendum Diraja yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Keputusan majoriti 2-1 dibuat oleh Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril yang membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman tersebut.
Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai 2024 telah menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: Mahkamah Benarkan Najib Cabar Kewujudan Titah Adendum
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.