Now Reading
Kerajaan Selangor Cadang Penonton Buat Ujian Air Kencing Sebelum Masuk Konsert

Kerajaan Selangor Cadang Penonton Buat Ujian Air Kencing Sebelum Masuk Konsert

Cadangan SOP untuk melakukan ujian air kencing sebelum memasuki konsert ini dilihat sebagai usaha bagi mengelakkan pengunjung terlibat dalam pengambilan dadah ketika penganjuran persembahan berkenaan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kematian melibatkan empat orang individu warga tempatan di konsert Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway, Subang Jaya pada 31 Disember lalu telah mencetuskan kontroversi yang hangat di Malaysia.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan mengesahkan kesemua tujuh mangsa yang menghadiri konsert tersebut secara berasingan dan ada yang mengambil pil ecstasy.

Jelasnya lagi, tiada sebarang kecederaan luar yang dikesan pada kesemua mangsa yang berada dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun itu.

Baca Artikel Berkaitan: 4 Individu Maut Selepas Hadir Konsert Pinkfish Dipercayai Ambil Pil Ekstasi – Polis

Baca Artikel Berkaitan: Kematian 2 Lelaki & 2 Wanita Di Konsert Pinkfish: Tiada Kesan Kecederaan Luaran – Polis

Selangor Syorkan Buat Ujian Air Kencing Sebelum Masuk Konsert

Memetik laporan Sinar Harian, kerajaan Selangor memberi cadangan untuk menjadikan salah satu prosedur operasi standard (SOP) sebelum memasuki persembahan konsert adalah para penonton perlu membuat ujian air kencing.

SOP ini dilakukan sebagai usaha untuk mengelakkan pengunjung terlibat dalam pengambilan dadah ketika penganjuran konsert berkenaan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim menjelaskan perkara ini akan dibincangkan sendiri dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada esok hari (8 Januari).

Ng Suee Lim. (Sumber: MalayMail)

“Kita mahu perketatkan SOP dan tengok kerjasama yang boleh dilakukan dengan polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana apabila lesen atau permit diberikan, kita mahu pastikan penganjur betul-betul periksa (terutama berkaitan dadah ini).

“Jadi, selepas ini mungkin kena buat atau pemeriksaan urin sebagai antara SOP terhadap pengunjung dan syor ini antara yang akan dibawa dalam mesyuarat MMKN, supaya orang yang menyalahgunakan dadah atau penagih dadah tidak benarkan masuk ke mana-mana konsert,” katanya.

Polis Selangor Tangguh Permit Konsert Selepas Kes Kematian Di Pinkfish

Pada 3 Januari lalu, Polis Selangor memaklumkan bahawa pihaknya akan menangguhkan sementara kebenaran permit penganjuran konsert di negeri ini susulan kes kematian berkait penyalahgunaan dadah di konsert Pinkfish.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

Kelulusan permit konsert tersebut akan ditangguhkan sehingga pihak berkuasa dapat memastikan penganjur boleh mengawal tiga perkara tersebut iaitu:

  • Mematuhi jumlah peserta mengikut keluasan tempat
  • Tahap keselamatan konsert
  • Pengudaraan yang baik di lokasi konsert diadakan

“Kemungkinan (kes Pinkfish) kerana kesesakan terlalu ramai dan ditokok tambah dengan pengambilan barang terlarang dan sebagainya.

“Di masa hadapan dalam sebarang anjuran konsert, semua pihak penganjur perlu beri keyakinan bahawa mereka boleh kawal daripada sebarang kemasukan dadah dalam mana-mana konsert.

“Sekiranya perkara ini gagal dipatuhi, kita tidak boleh benarkan konsert dilakukan yang boleh menyebabkan berakhir dengan kematian,” kata beliau.

Walau bagaimanapun, Penasihat Khas Persatuan Penggiat Festival Antarabangsa (ALIFE), Rizal Kamal berkata kes penyalahgunaan dadah dalam konsert ini merupakan perkara yang jarang berlaku dan tidak sepatutnya menggunakan perkara tersebut untuk ‘menghukum’ keseluruhan industri.

“Saya rasa penggantungan ini terlalu drastik dan tidak mencerminkan gambaran sebenar industri.

“Justeru tindakan menghukum atas insiden yang tidak mencerminkan keseluruhan industri ini bukan sahaja menghantar mesej yang salah tetapi juga memberi kesan negatif kepada semua pihak yang terlibat termasuk penganjur, artis, pekerja di belakang tabir dan pengunjung,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Polis Selangor Tangguh Lulus Permit Konsert Susulan Kes Maut Di Pinkfish

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Garden OBGYN)

Konsert Di Selangor Dipindahkan Ke Kuala Lumpur

Berhubung penangguhan permit konsert di Selangor, Ng memaklumkan bahawa ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada penganjur dalam kempen Tahun Melawat Selangor 2025 kerana telah melaburkan wang bagi persiapan konsert.

Jelas Ng lagi, pihak mereka tidak mempunyai jumlah penganjuran yang terpaksa ditangguhkan.

Namun terdapat satu konsert yang dijadualkan di Bandar Sunway pada minggu hadapan telah dipindahkan lokasinya ke Kuala Lumpur.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd