Masih Wujud Individu Belum Settle Hutang PTPTN Walau Umur Cecah 60 Tahun
Kajian dijalankan oleh PTPTN mendedahkan beberapa punca utama peminjam tidak membayar hutang termasuk hilang pekerjaan dan kurang kesedaran tentang bayaran balik.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum mengetahui pelbagai agensi di Malaysia yang menawarkan pinjaman pendidikan buat para pelajar yang berjaya menempatkan diri di institusi pengajian sebagai contoh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Kemudahan ini sangat berguna buat golongan yang memerlukan wang pendahuluan bagi membiayai kos pengajian bagi setiap semester. Namun setiap pinjaman mempunyai terma dan syarat tersendiri.
Pun begitu, masih ramai peminjam yang sudah tamat pelajaran mengambil kesempatan untuk tidak membayar balik hutang yang dilakukan sekaligus menyusahkan pelbagai pihak.
Peminjam Dah Pencen Tapi Masih Belum Langsaikan Hutang PTPTN
Baru-baru ini, Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim mendedahkan terdapat peminjam yang masih belum selesai membayar balik pinjaman yang diberikan walaupun sudah mencecah umur 60 tahun.
“Tidak wajar pada usia sedemikian, masih ada yang belum menjelaskan bayaran hutang pinjaman,” katanya, lapor Berita Harian.
Perkara ini dibahaskan ketika mengulas tahap kesedaran peminjam dalam menunaikan tanggungjawab mereka bagi melangsaikan segala hutang dilakukan.
PTPTN Perlu Biaya Kos Pengajian Peminjam Baharu Pada Setiap Tahun
Jelas Norliza, pembayaran semula pinjaman adalah penting bagi memastikan PTPTN mempunyai dana mencukupi iaitu sekitar RM3 bilion bagi membiayai kos pendidikan tinggi buat 450,000 peminjam sedia ada dan purata 150,000 peminjam baharu pada setiap tahun.
Tegasnya, lebih 430,000 peminjam tidak pernah membuat sebarang transaksi bayaran balik pinjaman walaupun sekali yang membawa kepada sejumlah RM5.46 bilion hutang tertunggak.
“Jika dalam tempoh dua atau mungkin lima tahun anda tidak bekerja yang menyebabkan anda tidak dapat membuat bayaran balik, itu masih boleh diterima, namun kalau sudah melebihi 10 tahun?” tanya Norliza.
Hasil Kajian Punca Peminjam Tak Bayar Balik Hutang PTPTN
Mengulas lanjut, PTPTN kini mengambil langkah bagi menangani masalah tersebut. Menurut Norliza, tabung pendidikan terbabit sedang menjalankan kajian mendalam untuk mengenal pasti punca utama peminjam tidak membuat bayaran balik.
Hasil kajian itu mendapati segelintir peminjam tidak mampu, hilang pekerjaan atau menghadapi masalah kesihatan. Bagaimanapun, sebahagian daripada peminjam hanya tidak mempunyai kesedaran tentang bayaran balik hutang berkenaan.
“Ada juga sengaja meletakkan bayaran balik pinjaman PTPTN sebagai keutamaan rendah. Ini tidak adil bagi mereka yang bertanggungjawab dan komited buat bayaran balik, ramai berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Dana pendidikan ini terancam akibat peminjam lain gagal menunaikan tanggungjawab. Mereka faham peluang melanjutkan pelajaran yang mereka nikmati adalah satu amanah dan tanggungjawab untuk memastikan generasi akan datang turut diberi peluang sama.
“Sebagai sebuah masyarakat, kita perlu menghargai sistem yang telah membantu jutaan rakyat mencapai impian pendidikan tinggi mereka dan berusaha memastikan kelangsungannya,” tambah Norliza lagi.
PTPTN juga mengambil inisiatif untuk menghubungi peminjam bagi memastikan mereka melunaskan pinjaman, termasuk menghantar makluman tunggakan dan notis peringatan melalui kaedah e-mel, panggilan telefon serta aplikasi myPTPTN.
PTPTN Tak Minta Bayar Hutang Secara Drastik
Dalam pada itu, Norliza menekankan bahawa PTPTN tidak meminta peminjam bayar hutang secara drastik kerana pihaknya mengambil kira masalah ekonomi yang mungkin dilalui oleh golongan terbabit pada ketika ini.
“Kita benar-benar mahu mereka tampil kerana kita ingin bantu dan pada masa sama, mereka perlu menunaikan tanggungjawab membayar balik. Jadi, kepada semua peminjam, berunding dan berbincang kerana kita buka laluan untuk mereka tampil.
“Ada yang apabila dihubungi PTPTN, mereka jadi takut. Jangan takut, kita sedia membantu semua peminjam dengan cara yang berhemah dan terbaik supaya mereka dapat membayar balik pinjaman,” ujarnya.
Pembayaran Pinjaman PTPTN Boleh Dibuat Menerusi Aplikasi myPTPTN
Untuk memudahkan urusan pembayaran semula pinjaman PTPTN, anda boleh melakukannya dengan memuat turun aplikasi myPTPTN.
Cara-caranya adalah seperti berikut:
- Muat Turun Aplikasi myPTPTN di Playstore atau Appstore.
- Log Masuk ID dan Kata Laluan Aplikasi myPTPTN.
- Klik Menu Loan Repayment (Bayaran Balik Pinjaman).
- Masukkan Nombor Kad Pengenalan Peminjam.
- Masukkan Jumlah Bayaran.
- Pilih Saluran Bayaran FPX Online Banking atau Debit atau Kredit Kad.
- Log masuk perbankan internet atau telefon mudah alih untuk pelbagai pilihan bank.
Baca Artikel Berkaitan: myPTPTN: Aplikasi Mudah Untuk Buat Bayaran Balik Pinjaman PTPTN
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Ini Kongsi Bagaimana ‘Hutang’ 1 Sen PTPTN Jadi RM515 Hingga Nyaris Naik Ke Mahkamah
Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Belum Cadang Mahu Mansuhkan Hutang Pinjaman PTPTN Bersasar – KPT
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram