Now Reading
Imam Masjid Terlibat Kemalangan Sempat Hulur Sedekah Sebelum Meninggal Dunia

Imam Masjid Terlibat Kemalangan Sempat Hulur Sedekah Sebelum Meninggal Dunia

Bukan sahaja sedekah duitnya, Allahyarham Sulaiman Sutar juga sempat berpesan kepada ahli jawatankuasa (AJK) masjid untuk mengira duit tabung dan menjaga amanah tersebut sebaik mungkin.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada 3 Januari lalu, seorang imam dilaporkan meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya selepas selesai memimpin solat Jumaat di Masjid Kampung Ulu Benut di Kluang.

Allahyarham Sulaiman Sutar, 75, maut selepas kereta dipandunya terbabas dan bertembung dengan sebuah kenderaan lain ketika dalam perjalanan pulang dari arah Machap menghala Simpang Renggam di Johor.

Menurut polis, kereta jenis Proton Iswara yang dipandu oleh warga emas tersebut telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Hyundai Staria.

Menerusi perkongsian seorang pengguna Facebook dikenali sebagai FikriAfiq Marjuki, Allahyarham Sulaiman disifatkan sebagai seorang jurunikah yang disegani dan disenangi oleh masyarakat setempat.

Baca Artikel Berkaitan: Ajal Dijemput Ketika Beri Kuliah Subuh, Pemergian Pensyarah USIM Dicemburui Ramai

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Kematian Yang Dicemburui, Imam Di Indonesia Meninggal Dunia Ketika Solat Subuh Berjemaah

Imam Sedekah Semua Duit Dalam Dompet Kepada Anak Kecil

Berbicara lebih lanjut mengenai sifat peribadinya, anak sulung Allahyarham Sulaiman iaitu Mohd Radzi berkata si ayah sempat bersedekah semua duit yang dimiliki di dalam dompet kepada anak-anak kecil yang hadir ke masjid sebelum pulang ke rumah.

Tambah anak lelaki tersebut, arwah yang bertugas sebagai Imam 1 juga sempat berpesan kepada ahli jawatankuasa (AJK) yang sedang mengira duit tabung selepas solat Jumaat supaya menjaga amanah itu sebaik-baiknya.

“Biasanya arwah abah akan ikut kira sekali duit tabung bersama AJK masjid lain tetapi pada hari kejadian dia hanya memerhati mereka membuat kerja sebelum keluar dari masjid.

“Malah, arwah juga sempat memberikan sejumlah wang kepada emak dan adik lelaki sebelum keluar solat Jumaat selain meminta adik supaya pergi ke masjid berasingan dengan menunggang motosikal dan abah memandu Proton Iswara adik,” katanya, lapor Harian Metro.

Arwah Selalu Tolong Individu Susah Walaupun Dengan Orang Tak Dikenali

Bukan itu sahaja, Allahyarham juga digambarkan sebagai seorang yang pemurah dan tidak pernah berkira membantu individu dalam kesusahan.

“Pencen pesara ini tidaklah banyak mana tetapi jika ada orang datang berjumpanya untuk minta bantuan, dia akan usahakan sehabis baik. Kadang-kadang sampai emak saya tegur abah kerana tolong sesiapa sahaja yang datang ke rumah dan tak dikenali, walaupun abah sebenarnya kekurangan duit,” ujar Mohd Radzi.

Sumber: Facebook FikriAfiq Marjuki

Imam Nangis Baca Khutbah Terakhir

Pada hari terakhir memimpin solat Jumaat di masjid, Mohd Radzi dimaklumkan oleh para jemaah bahawa arwah bapanya terhenti dan menangis teresak-esak ketika berbicara mengenai bab kematian dalam bacaan khutbah.

Seiring dengan sifat peribadinya yang baik, allahyarham juga dikatakan mudah mesra dan dirapati oleh sesiapa.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan abah pada minggu lepas ketika pulang berziarah, memang rasa seronok sangat dapat berbual dengannya. Abah tanya khabar, ceritakan masalah di kampung, walhal sebenarnya saya sebagai anak sulung sebenarnya ada perasaan takut padanya kerana dahulu abah tegas ketika membesarkan kami empat beradik,” jelasnya.

Keluarga Redha Dengan Pemergian Arwah

Semasa hari kejadian, Mohd Radzi berkata dia dihubungi rakannya yang memaklumkan tentang kemalangan tersebut dan terus bergegas ke Unit Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang selepas mendapat berita itu.

“Saya dapat banyak panggilan terlepas dan mesej. Berderau darah, apa masalah dan kebetulan kawan saya telefon dan saya jawab. Dia tak cakap banyak dan maklumkan bapa saya kemalangan.

“Saya telefon emak, emak meraung dan menangis, telefon adik pun sama. Mereka minta saya terus pergi ke rumah mayat,” katanya.

Foto: Tanah Perkuburan. Sumber: FB FikriAfiq Marjuki

Meskipun pemergian ayah tercinta merupakan detik sukar dalam kehidupan sekeluarga, namun mereka reda dengan segala takdir yang ditentukan oleh-Nya.

Mengulas lanjut, Allahyarham Sulaiman Sutar telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Berumbung, Simpang Renggam kira-kira 11 malam pada hari yang sama.

Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa, menerima segala amalan beliau dan mengangkat darjat Allahyarham Sulaiman Sutar di sisi-Nya.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Imam Di Indonesia Meninggal Dunia Ketika Sujud Selepas Selesai Imamkan Solat Maghrib


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd