Rapid KL Catat Rekod Tertinggi, Hampir 1.5 Juta Penumpang Pada 31 Disember 2024
Kumpulan Prasarana berkata angka tersebut disumbang oleh penumpang yang menggunakan pengangkutan awam Rapid KL untuk ke sambutan ambang tahun baharu pada 31 Disember 2024.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pengangkutan awam seperti LRT dan MRT menjadi antara mod perjalanan utama digunakan oleh masyarakat yang tidak memiliki kenderaan persendirian.
Dengan servis yang murah dan efisien, kini lebih ramai yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan tersebut bagi memudahkan perjalanan seperti mengelak daripada tersekat dalam kesesakan lalu lintas.
Di Lembah Klang, perkhidmatan pengangkutan awam yang merangkumi servis rel dan bas diterajui oleh jenama Rapid KL yang dikendalikan oleh kumpulan Prasarana Malaysia Berhad.
Rapid KL Catat Rekod Penumpang Tertinggi Pada Ambang Tahun Baharu
Sebelum menamatkan tahun 2024, Rapid KL berjaya mencatatkan rekod jumlah penumpang tertinggi baharu dalam sejarah.
Menerusi satu kenyataan media, kumpulan Prasarana mengumumkan jumlah penumpang hampir 1.5 juta pada Selasa (31 Disember 2024), iaitu peningkatan 30% berbanding purata harian bagi tahun sama.
Difahamkan bahawa peningkatan tersebut disumbang oleh penumpang yang menggunakan perkhidmatannya untuk ke sambutan ambang tahun baharu di sekitar pusat bandar termasuk KLCC, TRX, Lalaport, Bukit Bintang, Pasar Seni dan Sunway.
Carian kami di media sosial menemukan rakaman video yang menunjukkan keadaan di sekitar beberapa stesen pada Selasa.
Penggunaan Tertinggi Dicatatkan Di MRT Laluan Kajang
Perkhidmatan rel dengan jumlah penumpang tertinggi dicatatkan di MRT Laluan Kajang (368,018), diikuti LRT Laluan Kelana Jaya (345,791), LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling (244,878), MRT Laluan Putrajaya (221,252) dan Monorel Kuala Lumpur (91,769).
Manakala perkhidmatan bas dan DRT pula mencatatkan jumlah penumpang sebanyak 185,145 bagi Bas Rapid KL, 20,000 bagi BRT Sunway dan 2,121 bagi DRT.
“Rapid KL berasa amat bangga kerana dapat memenuhi keperluan pengguna pada malam tersebut dan sekaligus meningkatkan keyakinan warga kota untuk memilih mod pengangkutan awam sebagai azam tahun 2025,” kata Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah.
Beberapa Stesen Beroperasi Hingga 3 Pagi Pada Malam Tahun Baharu
Kenyataan sama turut menjelaskan bahawa waktu operasi beberapa stesen pada malam itu telah dilanjutkan sehingga jam 3 pagi dan berjalan lancar dengan dedikasi hampir 3,000 kakitangan barisan hadapan Rapid KL yang bertugas.
“Kejayaan mengendalikan operasi berskala besar ini membuktikan bahawa kakitangan Rapid KL memiliki kemahiran dan kecekapan yang tinggi serta pengalaman yang luas dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” ujar Azharuddin.
Di samping itu, operasi berskala besar berkenaan turut dijayakan oleh koordinasi menyeluruh bersama pihak berkuasa termasuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), penganjur acara dan agensi-agensi terlibat.
Pihak Rapid KL juga telah melakukan perancangan yang teliti bagi memastikan kejayaannya.
Laluan Shah Alam Akan Dibuka Pada Tahun Ini
Azharuddin sehubungan itu menyampaikan penghargaan kepada para penumpang pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang yang menyokong perkhidmatan Rapid KL sepanjang tahun lalu.
“Kejayaan mencatat rekod baharu ini menjadi satu semangat dan batu loncatan kepada Rapid KL untuk terus berusaha dan memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang dan efisien kepada semua pengguna pengangkutan awam,” katanya.
Dalam masa sama, kenyataan tersebut menjelaskan Rapid KL akan memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi tahun 2025 seperti perolehan bas elektrik dan van DRT serta pembukaan Laluan Shah Alam.
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Ini Cipta Website Untuk Mudahkan Orang Ramai Cari Rumah Dekat Dengan LRT
Baca Artikel Berkaitan: Nak Makan-makan Sekitar LRT SS15? Ini 7 Kedai Viral Yang Anda Perlu Cuba
Baca Artikel Berkaitan: Staf Rapid KL Tolong Penumpang Ambil AirPods Di Landasan Tren Raih Pujian
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.