‘Street View’ Google Maps Bantu Siasatan Kes Bunuh Di Sepanyol Setahun Lalu
Difahamkan kenderaan Google ketika itu telah ke bandar Tajueco, Soria, bagi mengemas kini imej Street View setelah kali terakhir berbuat demikian pada 2009.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Menerusi teknologi Google Maps, pengguna semestinya dapat merujuk peta bagi sesuatu tempat dan mengelakkan daripada tersesat ketika dalam perjalanan.
Malah, paparan ‘Street View’ yang menunjukkan gambar di lokasi tersebut boleh membantu pengguna untuk mengenal pasti dengan mudah tempat yang ingin ditujui.
Namun siapa sangka apabila kemudahan teknologi ini secara tidak langsung berjaya merakam kejadian jenayah yang berlaku di suatu kawasan.
Google Maps Rakam Lelaki Masukkan Objek Dipercayai Mayat Ke Dalam But Kereta
Itulah yang terjadi apabila agensi media antarabangsa melaporkan bagaimana Google Maps membantu merungkai satu kes pembunuhan di Sepanyol yang berlaku akhir tahun lalu.
Menerusi imej yang ditangkap pada Google Maps, kelihatan seorang lelaki sedang memasukkan objek berbalut plastik putih, dipercayai mayat mangsa, ke dalam but sebuah kereta merah.
Sehubungan itu, pihak polis pada awal November lalu berjaya menemukan mayat mangsa yang sudah mereput di sebuah tanah perkuburan.
Kenderaan Google Kemas Kini Imej Street View Di Tajueco Sejak 2009
Memetik laporan BBC, difahamkan kenderaan Google ketika itu telah ke bandar Tajueco, Soria, bagi mengemas kini imej Street View setelah kali terakhir berbuat demikian pada 2009.
Di samping itu, pihak berkuasa menemukan satu lagi gambar urutan yang kabur menunjukkan seorang individu mengalihkan bungkusan putih ke dalam sebuah kereta sorong.
Pihak polis bagaimanapun berkata gambar-gambar berkenaan tidak ‘muktamad’ dalam menyelesaikan kes pembunuhan tersebut.
Polis Tahan Bekas Pasangan Mangsa
Menurut laporan El Pais, mangsa merupakan seorang lelaki warga Cuba berusia 33 tahun yang dilaporkan hilang pada Oktober 2023 ketika di Tajueco.
Siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa di Castile dan Leon setelah seorang ahli keluarga menerima mesej pesanan yang mencurigakan dari telefon bimbit mangsa.
Menurutnya tersebut, dia dimaklumkan bahawa mangsa telah bertemu dengan seorang wanita dan akan meninggalkan Sepanyol. Mangsa juga berkata akan membuang telefon bimbitnya.
Sehubungan itu, seorang wanita yang dikatakan pasangan mangsa dan seorang lelaki dipercayai bekas pasangan wanita itu telah ditahan pada 12 November lalu di wilayah Soria.
Siasatan kini masih diteruskan.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



