Now Reading
Kerajaan Terima Tawaran Ocean Infinity Teruskan Pencarian MH370

Kerajaan Terima Tawaran Ocean Infinity Teruskan Pencarian MH370

Misi pencarian pesawat MH370 oleh Ocean Infinity itu dilakukan dengan prinsip ‘no find, no fee’.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airline MH370 pada 8 Mac 2014 yang sepatutnya mendarat di Beijing, China masih belum bertemu titik noktah meskipun kes tersebut sudah memasuki tahun ke-10.

Sudah banyak misi pencarian melibatkan pasukan tempatan dan luar negara dilakukan. Namun, masih belum terdapat bukti yang dapat menyelesaikan kes terbabit sehingga ke hari ini.

Pada November lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan bahawa kerajaan mungkin akan mempertimbangkan cadangan dari syarikat penerokaan marin, Ocean Infinity, mengenai lokasi carian baharu bagi MH370.

Baca Artikel Berkaitan: “Kerajaan Mungkin Akan Pertimbang Cadangan Ocean Infinity Untuk Carian MH370” – Anthony Loke

Kerajaan Malaysia Setuju Terima Tawaran Ocean Infinity Untuk Misi Mencari MH370

Memetik laporan Sinar Harian, kerajaan Malaysia telah menerima tawaran dari sebuah syarikat United Kingdom iaitu Ocean Infinity bagi meneruskan misi mencari bangkai pesawat MH370.

Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, beliau memaklumkan bahawa pencarian di dasar laut melibatkan lokasi baharu seluas 15,000 kilometer persegi itu akan dilakukan di Selatan Lautan Hindi.

Jelasnya lagi, misi oleh Ocean Infinity itu dilakukan dengan prinsip ‘no find, no fee’ dan berdasarkan data analisis terkini yang dibuat oleh pakar serta penyelidik.

“Cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity ialah cadangan yang kukuh dan wajar diteliti oleh Kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370,” katanya.

Sumber: Ocean Infinity

Terma Dan Syarat Perjanjian Dimuktamadkan Awal Tahun Depan

Dari segi terma dan syarat perjanjian dengan Ocean Infinity pula, MOT kini sedang dalam proses merunding dan Pejabat Peguam Negara (AGC) perlu meneliti terlebih dahulu sebelum akan dimuktamadkan pada awal tahun 2025.

“Keputusan prinsip ini adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam memastikan operasi pencarian diteruskan dan memberikan penutup bagi keluarga waris penumpang pesawat MH370,” jelas Anthony.

Menteri berkenaan berkata kerja-kerja pencarian selama 18 bulan dijangka akan dimulakan selepas kontrak dimuktamadkan.

“Beberapa terma dan syarat tambahan berkaitan perincian pencarian juga akan dimuktamadkan, termasuk tempoh pencarian ditetapkan selama 18 bulan.

“Mereka memaklumkan bahawa tempoh pencarian yang sesuai adalah antara Januari hingga April,” katanya.

Sekiranya bangkai pesawat berjaya ditemui, kos yang ditetapkan adalah pada kadar RM315,657,061 (AS$70 juta).

Ocean Infinity Pernah Lakukan Pencarian Tanpa Bayaran Pada 2018

Sumber: Fail TRP

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Mac lalu bahawa negara bersedia menjalankan semula siasatan berhubung kehilangan MH370 jika terdapat bukti kukuh baharu.

Loke ketika itu berkata kerajaan bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang berminat bagi meneruskan operasi pencarian. MOT ketika itu diarahkan untuk menjemput Ocean Infinity bagi satu mesyuarat.

Sebelum ini, Malaysia bersama Australia dan China telah membatalkan misi pencarian pesawat MH370 di dalam air pada Januari 2017, dua tahun selepas tidak mendapat sebarang perkhabaran positif.

Pada 2018 pula, Ocean Infinity telah melakukan pencarian tanpa bayaran selama tiga bulan yang meliputi kira-kira 112,000 km persegi di selatan Lautan Hindi. Namun tiada sebarang bukti baharu yang diberikan ketika itu.

Baca Artikel Berkaitan: Mengingati MH370: Hampir 9 Tahun Lenyap, Kepulangan Masih Dinanti-nanti

Baca Artikel Berkaitan: “Kau Setakat Google..” – Berang Sebar Info Tak Tepat, Waris MH370 ‘Sekolahkan’ PrinceMeed [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Jurutera Britain Dakwa Temui Lokasi Pesawat MH370 Di Lautan Hindi


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd