Now Reading
Polis & TNB Potong Bekalan Elektrik Premis Judi, Halang Kegiatan Semakin Berleluasa

Polis & TNB Potong Bekalan Elektrik Premis Judi, Halang Kegiatan Semakin Berleluasa

Sekumpulan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bertindak memotong bekalan elektrik di beberapa premis judi sekitar daerah Wangsa Maju.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kes melibatkan jenayah judi di Malaysia semakin membimbangkan meskipun sudah banyak operasi yang dilakukan oleh pihak polis untuk menghalang aktiviti berkenaan daripada terus membiak.

Namun dengan adanya platform atas talian, jenayah ini semakin mudah tersebar luas kerana mereka berpotensi menyertainya di hujung jari sahaja.

Berkemungkinan syarikat yang terlibat juga telah menawarkan ‘janji manis’ dan cuba untuk menarik ramai pihak terlibat dalam aktiviti negatif tersebut.


Polis Potong Bekalan Elektrik Di Premis Judi

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail menjelaskan pihaknya telah mengambil tindakan tegas selepas menyedari kegiatan haram itu seolah-olah tidak bertemu titik noktah.

Hari ini (17 Disember), beberapa pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah bertindak memotong bekalan elektrik di beberapa premis judi sekitar daerah Wangsa Maju.

Jelasnya lagi, tindakan pemotongan elektrik itu dilaksanakan mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289).

“Premis yang dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik itu membabitkan ejen perjudian untuk loteri awam haram dan ‘top up’ judi dalam talian.

“Tindakan memotong bekalan elektrik itu dilakukan di tiga premis yang berada dalam pentadbiran IPD Wangsa Maju kerana menjalankan aktiviti perjudian haram,” kata Mohamad Lazim.

Sumber: Pexels

Tindakan ini dilakukan selepas ramai ejen judi yang tidak serik untuk menggunakan lokasi sama meskipun sudah pernah diserbu oleh pihak berkuasa.

Selain itu, ada juga kumpulan yang cuba untuk berselindung dengan menukar pusat operasi judi mereka di kawasan perumahan awam, pusat snuker serta premis perniagaan yang sah.

Baca Artikel Berkaitan: Kota Bharu Catat Kes Judi Online Paling Banyak Di Kelantan Pada 2023


Kesalahan Judi Dalam Undang-undang Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan

Di bawah Akta 559 Undang-undang Jenayah Syariah Seksyen 18, berikut adalah beberapa kesalahan yang tertakluk:

  • Mana-mana orang yang berjudi atau didapati berada di rumah judi, mereka dianggap melakukan suatu kesalahan. Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
  • Dalam seksyen ini, ‘rumah judi’ membawa erti mana-mana premis termasuk bilik, pejabat atau gerai, sama ada terbuka atau tertutup, yang digunakan atau disimpan bagi sebarang permainan di mana keputusannya bergantung kepada nasib.

Hukum Judi Dalam Islam

Judi dalam bahasa Arab dikenali sebagai al-maisir atau al-qimar yang bermaksud permainan pertaruhan golongan Arab dengan menggunakan anak panah.

Permainan judi juga ditakrifkan sebagai permainan dengan anak batu, atau dengan dadu atau segala jenis pertaruhan.

Di dalam al-Mu’jam al-Wasith, judi disebut sebagai setiap permainan yang mengandungi pertaruhan dari kedua belah pihak. 

Sumber: Bangkapos

Pengharaman judi dalam al-Quran adalah berlaku secara berperingkat. Pada awalnya, ayat 219 dari surah al-Baqarah menyebut:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: ‘Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. [Surah al-Baqarah (219)]

Imam Ibn Jarir al-Tabari menyebut bahawa meskipun terdapat manfaat daripada keduanya (iaitu arak dan judi) namun dosa keduanya adalah lebih besar dari manfaatnya.

Pada peringkat seterusnya, turun ayat 90 dari Surah al-Ma’idah yang menyebut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. [Surah al-Maidah: 90]

Aktiviti berjudi ini boleh mendatangkan akibat yang merugikan seperti:

  • Lalai daripada tanggungjawab
  • Sering kehabisan wang
  • Dibebani hutang
  • Mudah terjebak dengan jenayah
  • Meruntuhkan institusi kekeluargaan
  • Menjadi punca perpecahan dalam masyarakat

Baca Artikel Berkaitan: Syarikat Judi Terima Kecaman Lepas Selamba Buat Iklan Sempena Aidilfitri

Baca Artikel Berkaitan: Mufti Jelaskan Hukum Orang Islam Sertai Permainan Kutu Emas


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd