Now Reading
Disangkakan Anak Kucing, Rupanya Bayi Ditinggalkan Dalam Kotak

Disangkakan Anak Kucing, Rupanya Bayi Ditinggalkan Dalam Kotak

Bayi perempuan tersebut ditemui oleh seorang peniaga di gerainya di Kawasan Perindustrian Taman Kota, Yong Peng, Batu Pahat sekitar 5 pagi semalam (16 Disember).

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kes pembuangan bayi merupakan satu gejala sosial yang semakin membarah dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Walaupun terdapat pelbagai inisiatif yang diwujudkan untuk mengelak pembuangan bayi, seperti ‘baby hatch’, namun ia masih berterusan.

Dalam satu insiden menyayat hati, peniaga gerai makanan Salzura Abd Rahman, terkejut apabila terjumpa bayi perempuan yang dibuang di dalam sebuah kotak di Batu Pahat.

Dia yang pada mulanya menyangka ia merupakan anak kucing, menggigil setelah menjenguk ke dalam kotak tersebut.

Peniaga Melihat Sebuah Kotak Di Rak Lauk Pauk Ketika Baru Tiba Di Gerai

Memetik laporan Harian Metro, Salzura menemukan bayi yang cukup sifat itu di atas rak tempat letak lauk pauk di gerainya di Kawasan Perindustrian Taman Kota, Yong Peng, Batu Pahat sekitar 5 pagi semalam (16 Disember).

Menurut wanita itu, dia baru sahaja tiba di gerai tersebut sebelum memulakan perniagaan bersama anak lelakinya, Danis Syahputra Mohamad Saipol.

Dia yang ketika itu masuk melalui pintu belakang gerai, melihat sebuah kotak yang diletakkan atas rak tempat letak lauk pauk.

“Saya menyangka ada orang buang anak kucing, lalu cuba angkat kotak itu, tapi berat. Dalam hati saya kata, banyaknya orang buang anak kucing. Apabila saya buka kotak, saya nampak kaki terangkat.

“Saya mula menggigil dan memanggil anak untuk melihat bayi itu,” katanya dipetik Harian Metro.

Bayi Tidak Menangis, Ditinggalkan Tanpa Nota

Tambah Salzura, bayi itu ditemui dalam keadaan hanya dibalut menggunakan kain batik dan dialas dengan tuala dalam kotak berkenaan.

“Yang menghairankan, bayi itu langsung tidak menangis, tiada nota atau botol susu ditinggalkan bersama selain tali pusatnya sudah dipotong

“Saya kemudian menghubungi polis memaklumkan penemuan bayi itu bagi pemeriksaan lanjut,” katanya.

Ketua Polis Batu Pahat Sahkan Penemuan Bayi

Penemuan bayi perempuan tersebut kemudiannya disahkan oleh Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat dalam satu siaran media berkata bayi perempuan itu ditinggalkan dalam keadaan sihat tanpa sebarang kesan kecederaan fizikal.

Dia telah dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Yong Peng merangkap Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, dalam pada itu mengecam tindakan individu yang melakukan perkara tidak berperikemanusiaan itu.

Dia berkata individu yang terlibat tergamak melakukan perkara tersebut tanpa memikirkan kesan kepada bayi terbabit.

“Melahirkan dan membesarkan anak adalah tanggungjawab ibu bapa, tetapi siapakah yang begitu kejam dan tergamak sehingga memilih untuk membuang bayi,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Mayat Bayi Lelaki Cukup Sifat Ditemui Dalam Tangki Pam Tandas Masjid

Majoriti Bayi Yang Dibuang Ditemui Telah Meninggal Dunia

Untuk info, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan 75 kes pembuangan bayi bagi tempoh Januari hingga September 2024, berbanding 96 kes untuk tempoh sama pada 2023, sekaligus menunjukkan sedikit penurunan.

Namun apa yang meluluhkan hati apabila 48 daripada 75 bayi yang ditemui sepanjang tahun 2024 telah meninggal dunia, manakala hanya 27 yang berjaya diselamatkan.

Bagi sepanjang tahun 2023 pula, 70 daripada 128 kes pembuangan bayi ditemui meninggal dunia. Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 38 kes pembuangan bayi, diikuti Sabah (21) dan Johor (14).

Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini pula, Selangor masih menjadi negeri dengan kes pembuangan bayi tertinggi iaitu sebanyak 21, diikuti Johor (9) dan Perak (8).

Menurut laporan Harian Metro, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Siti Kamsiah Hassan, memaklumkan bahawa bayi paling kerap dibuang di kawasan perumahan seperti luar rumah jiran, lorong belakang rumah dan taman permainan.

Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Malaysia Didapati Bersalah Kerana Bunuh & Sembunyi Bayi Dalam Beg Pakaian Di UK

Baca Artikel Berkaitan: Penyewa Baharu Temui Mayat Bayi Bawah Simen Rumah, Polis Kesan Wanita Warga Indonesia


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd