PLKN 3.0 Diberi Keutamaan Buat Pelajar Pernah Sertai Aktiviti Kadet Sekolah – Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim menyeru agar PLKN 3.0 dilaksanakan dengan teliti serta menambah baik program berkenaan dengan perkara yang sesuai dengan peredaran semasa.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan bahawa peruntukan RM50 juta akan disalurkan bagi pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam masa sama menjelaskan PLKN 3.0 yang bakal dilaksanakan pada Jun 2025 akan dibahagikan kepada Fasa Pra PLKN dan Fasa PLKN.
Fasa Pra PLKN akan dilaksanakan di sekolah semasa kegiatan kokurikulum melibatkan pelajar tingkatan empat manakala Fasa PLKN pula akan untuk remaja berusia 17 tahun dan ke atas.
Baca Artikel Berkaitan: Belanjawan 2025: PLKN 3.0 Kembali Pada Jun 2025, Kerajaan Peruntuk RM50 Juta
Kadet Sekolah Diberi Keutamaan Sebagai Peserta PLKN 3.0
Semalam (11 Disember), Anwar Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebook berkata pelaksanaan PLKN 3.0 tahun hadapan akan diberi keutamaan kepada pelajar yang pernah menyertai aktiviti kadet-kadet peringkat sekolah.
Jelas beliau, perkara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Tatakelola Dewan Kenegaraan.
“Antara yang dibentangkan dalam mesyuarat ini ialah status pelaksanaan program PLKN 3.0 yang akan bermula tahun 2025, dengan saya menekankan peri penting pelaksanaan program ini dilaksana dengan teliti serta menambah baik pendekatan bersesuaian dengan peredaran keadaan semasa,” jelas Anwar.
PLKN 3.0 Penting Bagi Meningkatkan Daya Tahan Generasi Baharu Di Malaysia
Menurut Anwar, keutamaan yang diberikan kepada pelajar yang pernah menyertai aktviti kadet itu adalah untuk memastikan generasi baharu PLKN akan datang cekal dan mempunyai daya tahan yang tinggi.
“Ini penting agar program ini mampu melahirkan generasi anak muda Malaysia yang mempunyai daya tahan yang tinggi, cekal menopang rintangan kehidupan serta mampu menyumbang kepada negara selaku warganegara Malaysia yang bertanggungjawab.
“Justeru, dalam mesyuarat ini saya memutuskan pelaksanaan PLKN 3.0 ini diutamakan kepada pelajar yang pernah menyertai aktiviti kadet-kadet sekolah yang akan diselaraskan melalui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan,” kata Perdana Menteri.
JKPK Cadang Kerajaan Tak Teruskan PLKN 3.0
Walaupun PLKN versi baharu ini mendapat sokongan ramai, namun ada juga segelintir pihak yang merasakan program ini tidak lagi relevan diteruskan.
Terdahulu, Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia mencadangkan agar kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan PLKN 3.0.
JKPK menerusi satu kenyataan berkata, kajian yang lebih mendalam dan terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu sekiranya kerajaan tetap ingin meneruskannya.
“Pelaksanaan PLKN 3.0 tidak mempunyai objektif dan sasaran pencapaian yang jelas. Sekiranya PLKN 3.0 ingin dilaksanakan juga, maka, matlamat dan modulnya hendaklah berasaskan latihan ketenteraan atau separa-ketenteraan. Tetapi, persoalannya adakah negara memerlukan PLKN yang sedemikian?
“Selain itu, modul PLKN 3.0 yang dicadangkan ini adalah bercampur-aduk, iaitu 70 peratus Asas Ketenteraan dan 30 peratus Kenegaraan,” jelas JKPK.
Baca Artikel Berkaitan: Tiada Objektif & Sasaran Pencapaian Jelas, JKPK Cadang Agar PLKN 3.0 Tak Diteruskan
Baca Artikel Berkaitan: PLKN 3.0 Bakal Bermula Jun 2025, Kem Untuk Lelaki & Wanita Diasingkan
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram