Mayat Reput Ditemui Di Rawang Bypass, Polis Kenal Pasti Identiti Mangsa
Pihak polis memaklumkan mayat reput yang dijumpai di kawasan hutan bawah laluan susur keluar Rawang Bypass adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Satu penemuan mayat reput yang tidak dikenal pasti identitinya telah mengejutkan orang ramai selepas ia ditemui di laluan susur keluar Rawang Bypass.
Memetik laporan Harian Metro, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar memaklumkan pihak mereka menerima maklumat mengenai penemuan itu sekitar jam 10:09 pagi semalam (9 Disember).
Seramai 10 orang pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang digegaskan ke lokasi kejadian untuk mengangkat mayat berkenaan sebelum menyerahkannya kepada pihak polis.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir mengesahkan penemuan mayat terbabit dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Polis Sahkan Identiti Mayat Tersebut
Memetik laporan Sinar Harian, pihak polis memaklumkan mayat yang dijumpai di kawasan hutan bawah laluan susur keluar Rawang Bypass adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun.
Jelas Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Abang Kaderi Abang Wasli, mayat dijumpai dalam keadaan terbaring, masih lengkap berpakaian serta memakai topi keledar.
“Pihak polis juga menemui barangan peribadi milik si mati seperti dompet yang mengandungi kad pengenalan diri dan jam tangan.
“Mayat telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut dan proses bedah siasat akan dijalankan pada hari ini (Selasa),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk segera menghubungi Ketua Polis Balai Rawang, Inspektor Zharif Zakaria di talian 013-2969222 atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.