Hutang Wajib Bayar, Usah Merayu Kepada Saya – Pengerusi MARA
Sebelum ini, media melaporkan bahawa kenyataan oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki ini ada kaitan dengan kes rumah Che Ta yang diserbu selepas gagal membayar pinjaman MARA hampir RM1 juta.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Ramai di kalangan individu serta peniaga di luar sana bertindak membuat pinjaman dengan mana-mana agensi bagi memulakan sesebuah bisnes.
Pun begitu, masih ada segelintir pihak yang culas menjelaskan hutang walaupun sudah berkemampuan untuk membayar semula pinjaman berkenaan.
Lebih teruk lagi apabila peminjam menunjuk kemewahannya kepada orang ramai sedangkan perkara wajib yang perlu dilangsaikan iaitu hutang tidak dilunaskan terlebih dahulu.
Asyraf Wajdi Tegaskan Setiap Peminjam Wajib Bayar Hutang Dengan MARA
Hari ini (10 Disember), Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya menegaskan bahawa setiap peminjam perlu melangsaikan sebarang hutang yang dilakukan bersama agensi terbabit.
“Hutang wajib dibayar! Usah merayu kepada saya kerana bukan hak saya untuk melupuskan hutang. Saya menjaga amanah wang rakyat di bawah MARA. Bakal dipersoalkan Allah kelak!” kata beliau.
Boleh Berunding Untuk Bayar Hutang Jika Ada Masalah
Tambah Asyraf Wajdi, MARA juga boleh berunding dan bersikap ihsan terhadap peminjam sekiranya mereka mempunyai masalah untuk membayar semula segala hutang.
“MARA terikat dengan prosedur dan proses yang ketat menurut lunas undang-undang.
“Malah sebelum apa jua tindakan perundangan dilakukan, nilai ihsan juga diutamakan dengan memberi ruang kepada peminjam yang bermasalah untuk datang ke MARA berunding mengenai penjadualan dan penstrukturan hutang mereka,” ujar beliau.
Tindakan Akan Diambil Jika Peminjam Sengaja Tangguh Bayar Hutang
Pun begitu, beliau menegaskan bahawa MARA akan mengambil tindakan kepada pihak yang sengaja enggan membayar pinjaman walhal mereka berkemampuan dan hidup mewah.
“Namun jika semua usaha ini masih culas, sengaja tidak mahu membayar (menangguh) walaupun berkemampuan bahkan boleh pula memperagakan kemewahan di media sosial, MARA tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan,” jelas kenyataan itu lagi.
Memetik Sinar Harian, antara jenis pinjaman perniagaan yang ditawarkan adalah Program Usahawan Lepasan Institusi Pendidikan MARA atau Belia (Putra) dengan had maksimum RM10,000, Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) RM150,000 dan Pembiayaan Perniagaan Mudah Jaya (SPiM) sebanyak RM500,000.
Bukan itu sahaja, terdapat juga Pembangunan Rantaian Nilai Industri (PRiN) dengan had berjumlah RM1 juta, Skim Jaminan Usahawan Mara (SJUM) RM2 juta dan pinjaman tertinggi adalah menerusi Skim Pembiayaan Galakan Eksport Bumiputera (GEB) iaitu RM2.5 juta.
Rumah Che Tha Diserbu Selepas Gagal Bayar Pinjaman MARA Hampir RM1 Juta
Lapor Berita Harian, hantaran Asyraf Wajdi ini berkait dengan kes rumah pelakon terkenal, Che Ta yang diserbu pagi tadi.
Menurut Sinar Harian yang memetik sumber, tindakan itu dilakukan selepas aktres itu gagal menjelaskan pinjaman MARA bernilai hampir RM1 juta.
Serbuan yang dilakukan tersebut bagi membolehkan pihak MARA menyerahkan writ dan menilai barangan dalam rumah terbabit untuk tujuan penyitaan.
Sumber yang dipetik Berita Harian memaklumkan bahawa Che Ta memohon pinjaman perniagaan berjumlah RM1 juta pada 2017 tetapi tidak pernah membayar balik pinjaman itu selama tujuh tahun. Ia menyebabkan MARA terpaksa merujuk kes terbabit ke mahkamah.
“Selepas keputusan dibuat mahkamah, MARA mengambil tindakan menyerbu rumah Che Ta pagi tadi untuk menilai barangan dalam rumah dua tingkat itu bagi tujuan penyitaan selepas selebriti itu gagal menjelaskan pinjaman.
“Sebelum ini, MARA sudah meminta pelakon itu membayar pinjamannya tetapi tiada maklum balas, malah dia dikatakan cuba menemui orang atasan supaya memberi pertimbangan terhadap tindakan yang diambil terhadapnya itu,” kata sumber.
Baca Artikel Berkaitan: Rumah Che Ta Diserbu Selepas Gagal Bayar Pinjaman Mara Hampir RM1 Juta
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram