Now Reading
Muhammad Nama Bayi Lelaki Paling Popular Di England & Wales, Noah Di Tempat Ke-2

Muhammad Nama Bayi Lelaki Paling Popular Di England & Wales, Noah Di Tempat Ke-2

Menurut laporan Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS), sejumlah 4,600 bayi lelaki didaftarkan dengan nama Muhammad di England dan Wales pada tahun 2023.

muhammad nama paling popular di england (1)

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Buat mereka yang akan menimang cahaya mata tidak lama lagi, sudah tentu banyak perkara yang perlu disediakan sebagai contoh barang kelengkapan mereka.

Namun perkara lain yang paling ditunggu-tunggu adalah untuk memberikan nama kepada si kecil. Kebiasaannya, nama anak telahpun dipilih sebelum mereka dilahirkan lagi.

Segelintir ibu bapa mahu anaknya mempunyai gelaran nama yang unik dan lain daripada lain, meskipun begitu ramai juga yang meletakkan nama bersempena dengan individu berpengaruh.


Muhammad, Nama Bayi Lelaki Paling Popular Di England & Wales

Semalam (5 Disember), Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) mendedahkan bahawa Muhammad merupakan pilihan utama ibu bapa dalam menamakan bayi lelaki mereka di England dan Wales pada tahun 2023.

Menurut laporan ONS, lebih 4,600 bayi lelaki berdaftar dengan nama pemimpin agama Islam itu. Sekadar info, Muhammad adalah nama yang sangat baik dalam Islam di mana ia membawa maksud ‘Yang terpuji’.

Muhammad telah mengatasi nama pilihan utama pada tahun sebelum 2022 iaitu Noah (Nabi Nuh AS) yang juga nama rasul diikuti dengan Oliver, memetik data terbabit.

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Pexels

Berikut kami sertakan kedudukan 10 teratas nama bayi lelaki paling popular di England dan Wales:

  1. Muhammad
  2. Noah
  3. Oliver
  4. George
  5. Leo
  6. Arthur
  7. Luca
  8. Theodore
  9. Oscar
  10. Henry

Penyertaan baharu dalam carta 100 teratas nama bayi lelaki di England dan Wales termasuklah Jax, Enzo dan Bodhi.


Kira-kira 150 Juta Masyarakat Dunia Guna Nama Muhammad

Tambah laporan itu lagi, Muhammad juga berada dalam 10 nama paling popular untuk bayi lelaki di England dan Wales sejak tahun 2016.

Sebelum ini, laman web keibubapaan (parenting) iaitu The Bump juga mendedahkan kira-kira 150 juta kanak-kanak dan individu dewasa lelaki menggunakan nama tersebut di seluruh dunia.

Baca Artikel Berkaitan: Muhammad, Nama Bayi Paling Popular Di UK Untuk Tahun 2023

Saban tahun, nama ini juga popular dengan pelbagai jenis ejaan sebagai contoh, Mohammed, Mohammad, Muhammed, Mohamed, Mohamad, Muhamad, Muhamed, Mohamud, Mohummad, Mohummed, Mouhamed, Mohammod and Mouhamad.

ONS sebelum ini memaklumkan bahawa nama Muhammad terkenal dan dominan dalam masyarakat Islam kerana ia disifatkan sebagai satu tradisi untuk menamakan bayi lelaki dengan nama nabi Islam. Ia juga bertujuan untuk menunjukkan sikap hormat terhadap baginda.


Nama Bayi Perempuan Paling Popular Di England & Wales

Untuk bayi perempuan pula, Olivia kekal sebagai pilihan utama ibu bapa untuk anak mereka, diikuti dengan Amelia dan Isla yang tidak berubah sejak tahun 2022.

Di bawah kami sertakan carta 10 nama bayi perempuan paling popular di England dan Wales pada tahun 2023:

  1. Olivia
  2. Amelia
  3. Isla
  4. Lily
  5. Freya
  6. Ava
  7. Ivy
  8. Florence
  9. Willow
  10. Isabella

Terdahulu, Layla diiktiraf nama Muslim bayi perempuan paling terkenal iaitu berada di tempat ke-31. Nama lain seperti Maryam, Fatima, Nur, Aisha, Zahra dan Raya juga tersenarai, lapor BabyCentre.

Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Letak Nama Pelik Untuk Anak? Ini Garis Panduan Yang Dikeluarkan Oleh JPN

Baca Artikel Berkaitan: Nama Penuh Gadis Ini Badjie Xatieqoutieqc Ibadallah. Cuba Sebut, Boleh?


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd