2 Pekerja Maut, 1 Cedera Selepas Terjatuh Dari Kren Di Putrajaya
Siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku itu dipercayai berpunca akibat jek hidraulik jentera terbenam dalam tanah sehingga mengakibatkan kren hilang keseimbangan sebelum terbalik.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Satu kejadian tidak diingini berlaku apabila sebuah kren yang digunakan untuk kerja-kerja mengecat bangunan kuarters di Presint 8 telah terbalik.
Insiden tersebut mengakibatkan dua pekerja warga Indonesia maut manakala seorang lagi dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas mereka dipercayai terjatuh dari kren berkenaan pada pagi semalam (5 Disember).
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata mangsa yang maut adalah Sukawan Wilkhan, 54, dan Danianto Yusak, 53, manakala seorang lagi mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Yasin, 56.
Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan serta menjalani proses bedah siasat.

Jek Hidraulik Jentera Terbenam Dalam Tanah Dipercayai Punca Kemalangan
Memetik laporan Berita Harian, siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku itu dipercayai berpunca akibat jek hidraulik jentera terbenam dalam tanah sehingga mengakibatkan kren hilang keseimbangan sebelum terbalik.
Malah, lokasi kemalangan merupakan kawasan tanah lapang tidak berturap.
Sementara itu, Pengarah Bomba Wilayah Persekutuan Putrajaya Abdul Manaf Che Isa berkata seramai 15 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7 dan 14 telah dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 9:30 pagi.
“Anggota membantu Kementerian Kesihatan dan polis mengangkat mangsa untuk dibawa masuk ke dalam ambulans dan kenderaan polis.
“Anggota turut melakukan kerja-kerja pembersihan tumpahan cat di lokasi kejadian dengan menggunakan satu aliran air daripada tangki jentera sehingga selesai,” katanya.

Tambah Abdul Manaf, seorang anggota bomba yang berada di luar penugasan turut memberi bantuan awal dengan melakukan Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR) kepada mangsa terlibat.
Beberapa video ketika kejadian turut tular di media sosial selepas dimuat naik di laman X (@MALAYSIAVIRALLL).
Crane tumbang waktu kerja2 mengecat blok perumahan penjawat awam dekat Presint 8, Putrajaya pic.twitter.com/xXmo4oVM9i
— MALAYSIA MOST VIRAL (@MALAYSIAVIRALLL) December 5, 2024
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.