3 Anggota Polis Berhibur Di Golok Akan Ditukarkan, Disyaki Ada Hubungan Dengan Ceti Haram
Ketiga-tiga anggota masing-masing berpangkat Sarjan Mejar, Koperal dan Lans Koperal dan berumur antara 26 hingga 32 tahun.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap orang pasti perlukan hiburan bagi mengisi masa lapang sama ada bersama keluarga, rakan-rakan ataupun secara bersendirian.
Namun, menjadi masalah apabila masyarakat mencari bentuk hiburan yang bertentangan dengan undang-undang, malah diharamkan agama.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, ramai anak muda dari sebuah negeri Pantai Timur sering ke negara jiran untuk berhibur di kelab malam.
3 Anggota Polis Akan Ditukarkan Kerana Ke Pusat Hiburan Di Golok
Terbaharu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, mendedahkan bahawa tiga anggota polis akan ditukarkan selepas didapati melakukan aktiviti salah laku mengunjungi pusat hiburan di Golok, Thailand.
Katanya, siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan telah dilakukan ke atas ketiga-tiga anggota berumur 26 hingga 32 tahun masing-masing berpangkat Sarjan Mejar, Koperal dan Lans Koperal.
Menurut Razarudin, kesemua mereka akan ditukarkan dengan salah seorangnya yang bertugas di Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Pasir Mas telah dipindahkan ke Kem Komandan IPK Kelantan.
Dua anggota lagi bagaimanapun masih bertugas di Ibu Pejabat Polis Tanah Merah dan akan ditukar keluar dari Kontinjen Kelantan.
Anggota Dipercayai Ada Hubungan Dengan Ceti Haram
Bukan hanya mengunjungi pusat hiburan di Golok, ketiga-tiga anggota terbabit juga dipercayai mempunyai hubungan dengan ceti haram.
“Pada 10 November lalu, pihak JIPS IPK Kelantan menerima beberapa keping gambar dan video berhubung aktiviti salah laku anggota polis yang disyaki mengunjungi dan berhibur di pusat hiburan di Golok menggunakan laluan pangkalan haram, selain dipercayai mempunyai hubungan dengan ceti haram,” katanya dipetik Berita Harian.
Dipercayai 5 Kelab Malam Dikunjungi Sejak Awal Tahun
Kata Razarudin, dipercayai aktiviti salah laku tersebut berlaku sejak awal tahun membabitkan lima kelab malam di sana.
“Aktiviti mengunjungi pusat hiburan ini dipercayai berlaku sejak awal tahun ini dan pusat hiburan yang kerap dikunjungi ialah kelab 616, kelab Joker, kelab Alison, kelab Kepak dan kelab Perfect,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sehubungan itu, dia memaklumkan bahawa siasatan pihak JIPS IPK Kelantan dalam proses untuk penentuan prosiding oleh Pihak Berkuasa Tatatertib Kelantan.
Ramai Anak Muda Kelantan Ke Kelab Malam Di Golok
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mendedahkan bahawa ramai anak muda Kelantan yang ke Golok untuk memasuki kelab malam pada setiap Jumaat dan Sabtu.
“Saya dapat maklumat, orang dari Kelantan perlu tunggu ‘syif’ (giliran) untuk masuk ke kelab atau pub. Perlu tunggu orang keluar dahulu, baru boleh masuk.
“Memang penuh dan terlalu ramai. Hari biasa pun ramai apa lagi hujung minggu. Semua pihak tidak boleh buat apa kerana kerajaan Thailand tidak sekat,” katanya.
Lebih mengejutkan lagi apabila ada di antara mereka yang baru berusia belasan tahun dan menggunakan laluan haram untuk ke negara jiran.
Baca Artikel Berkaitan: Ramai Anak Muda Kelantan Datang Ke Golok Setiap Jumaat & Sabtu Untuk Berhibur – Ketua Polis Kelantan
Baca Artikel Berkaitan: Penyanyi Wanita Dari Kelantan & 5 Individu Dibawa Ke Mahkamah Narathiwat Untuk Prosiding Reman [Video]
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.