Bomoh Cabul Remaja 4 Kali Konon Hilangkan ‘Pendamping’ Dipenjara 50 Tahun
Bomoh yang juga bekas jurulatih muay thai itu mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun tersebut pada tahun lalu.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Hari ini (3 Disember), seorang bomoh yang juga bekas jurulatih muay thai telah dijatuhi hukuman penjara selama 50 tahun dan 13 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka.
Tertuduh, Zemi Rahim, 51, didakwa atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan kononnya bertujuan merawat sihir pada tahun lalu.
Zemi Rahim membuat pengakuan berkenaan sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Berdasarkan empat pertuduhan, Zemi didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berusia 16 tahun selama dua bulan di kawasan semak sekitar Jalan Taman Malim Jaya dan taman perindustrian berhampiran sebuah pasar raya di Cheng, Melaka.
Memetik Sinar Harian, perbuatan keji tersebut dilakukan pada awal, pertengahan dan akhir September serta 9 Oktober 2023.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat jika disabit kesalahan.
Baca Artikel Berkaitan: Bomoh Cabul Pelajar Dalam Semak Mengaku Bersalah
Insiden Cabul Sebanyak 4 Kali Sebabkan Trauma Kepada Mangsa Yang Masih Bersekolah
Sewaktu prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana mangsa baru sahaja berusia 16 tahun dan masih bersekolah. Dalam masa sama, insiden ini juga telah mendatangkan kesan trauma kepadanya.
Tindakan mencabul sebanyak empat kali juga menunjukkan bahawa tertuduh dengan sengaja mengambil kesempatan terhadap faktor fizikal mangsa.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dan bapa kepada empat anak itu bagaimanapun memohon hukuman berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 16 Oktober tahun lalu.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara 50 tahun dan 13 sebatan bagi kesemua empat pertuduhan.
Kronologi Kes Bomoh Cabul Remaja Sebanyak 4 Kali
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah datang ke rumah mangsa bagi tujuan mengubati ibu saudaranya namun telah memberitahu ibu mangsa bahawa kononnya anaknya juga mempunyai ‘pendamping’.
Tertuduh kemudian telah datang ke rumah mangsa kira-kira jam 12.30 malam awal bulan September 2023 dan mahu mengubatinya di kawasan Malim. Mangsa yang ditemani bapa saudaranya kemudian mengikuti tertuduh ke lokasi kejadian.
Baca Artikel Berkaitan: Bomoh Rogol Pelajar 16 Tahun Sebanyak 4 Kali Dengan Alasan Nak Buang ‘Pendamping’
Sejurus tiba di kawasan semak, tertuduh meminta bapa saudara mangsa untuk membeli air sirap dan nasi ayam kerana dikatakan mahu memberi makan kepada makhluk halus yang mendampingi si mangsa.
Ketika ketiadaan bapa saudara, tertuduh mengambil kesempatan untuk mencabul mangsa. Ketakutan yang dialami oleh mangsa membuatkan dia berasa takut untuk menceritakan kejadian sebenar kepada sesiapa.
Tertuduh kemudiannya mengulangi perbuatan sama pada hari lain seperti pertuduhan sehingga ia mendorong mangsa untuk menceritakan semua perbuatan tertuduh terhadapnya sebelum ini.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram