13 Tertuduh Didakwa Secara Bersama Membunuh Pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu
Kesemua tertuduh yang berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa secara bersama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 21 Mac hingga 22 Mac lalu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Nama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebelum ini menjadi buah mulut masyarakat apabila Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain dilaporkan meninggal dunia akibat didera.
Enam tertuduh kemudiannya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Namun, kes buli sehingga mati tidak terhenti di situ sahaja.
Pada Mac lalu, insiden membabitkan pusat pengajian awam sekali lagi berlaku apabila seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, maut selepas dipercayai menjadi mangsa penganiayaan.
Baca Artikel Berkaitan: Lima Pegawai Kadet UPNM Terlibat Penganiayaan Dibatalkan Lantikan, Diberhentikan – Khaled Nordin
Mangsa Ditumbuk & Ditendang Tertuduh Ketika Dalam Keadaan Berbaring
Dalam sesi perbicaraan di Makhamah Tinggi Tawau semalam (2 Disember), seorang pelajar kolej tersebut memberitahu dia melihat 10 tertuduh menumbuk dan menendang mangsa di bilik asrama 5 Belian di institusi berkenaan pada malam 21 Mac.
Dia yang merupakan rakan mangsa dan saksi pendakwaan ke-12 berkata tertuduh pertama, ketiga, keempat, kelima, keenam, kelapan, kesembilan, ke-10, ke-11 dan ke-13 mengelilingi mangsa yang sedang berbaring dan melakukan perbuatan tersebut.
“Ketika kejadian, saya berada di katil tertuduh ke-12 sambil bermain telefon dan kedudukan antara katil dengan tempat kejadian tidak begitu jauh,” katanya.
Dia menjelaskan perkara itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol semalam.
13 Pelajar Kolej Didakwa Secara Bersama Membunuh Mangsa
Sehubungan itu, 13 pelajar kolej yang berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa secara bersama membunuh Mohamad Nazmie di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac lalu.
Kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan.
Mangsa Didakwa Curi Duit 2 Tertuduh Sebanyak RM80
Menurut saksi, 10 tertuduh berkenaan bersama tertuduh ketujuh dan ke-12 telah membawa Mohamad Nazmie masuk ke bilik tersebut pada kira-kira 10 malam. Dia bagaimanapun tidak pasti apa yang tertuduh ketujuh dan ke-12 lakukan.
Tambahnya, mangsa telah keluar dari bilik selepas itu sebelum kembali ke bilik asrama 7 Resak untuk mandi. Namun dia sekali lagi dibawa masuk ke bilik 5 Belian dan ditumbuk pada lengan oleh tertuduh kesembilan sebelum dihentikan tertuduh pertama.
“Turut berlaku pergaduhan satu lawan satu antara tertuduh ke-11 dengan Mohamad Nazmie Aizzat di tengah bilik sebelum tertuduh kedua tiba dan bertanya mengenai perkara yang berlaku. Kemudian tertuduh pertama menerangkan tentang mangsa mencuri duit tertuduh ketiga RM50 dan tertuduh keempat RM30.
“Tertuduh kedua arahkan semua keluar kecuali tertuduh ke-12 serta seorang pelajar lain. Tertuduh kedua mengunci pintu bilik itu serta menutup lampu bilik,” katanya.
Tambah saksi lagi, dia kemudiannya mendengar bunyi sesuatu dihempas pada katil dan lokar besi sebelum mangsa dibawa keluar oleh tertuduh pertama dan kedua.
Saksi Lihat Mangsa Dalam Keadaan Lemah, Rusuk Kiri Lebam & Telinga Kiri Biru
Di samping itu, saksi pendakwaan ke-11 pula memberitahu mahkamah bahawa dia telah melihat mangsa dipukul oleh tertuduh pertama dan kelima di bilik asrama 5 Belian pada 11 malam ketika melalui bilik itu untuk ke tandas bagi mencuci kain.
Dia turut melihat mangsa dipapah masuk oleh tertuduh kedua ke bilik asrama 7 Belian di mana tertuduh pertama, kelima dan ke-11 berada.
“Pada masa itu, saya lihat Mohamad Nazmie Aizzat dalam keadaan lemah dan hanya bertuala, semasa baring saya nampak mangsa dalam keadaan kesejukan. Lalu saya, tertuduh pertama, kelima serta ke-11 menyelimutkan dan memakaikan mangsa baju milik tertuduh pertama.
“Selain itu, saya melihat bahagian rusuk kiri mangsa lebam-lebam dan telinga kiri biru,” katanya.
Tambahnya sewaktu bangun bersahur kemudian, dia melihat keadaan mangsa seperti sedang tidur.
Kesemua Tertuduh Diwakili Peguam
Selain Ng, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif dan Batrisyia Mohd Khusri turut mengendalikan pendakwaan tersebut.
Lapan tertuduh diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi diwakili peguam Mohamad Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang dan Kusni Ambotuwo.
Perbicaraan disambung hari ini (3 Disember).
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.