Banjir Klang: 117 Mangsa Dipindahkan, 2 PPS Telah Dibuka
Seramai 159 mangsa daripada 39 keluarga di Meru, Klang telah dipindahkan di dua PPS bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai Jaya dan Balai MPKK Bukit Kapar.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Hujan lebat secara berterusan di beberapa negeri di Malaysia terutamanya di sekitar Pantai Timur telah mengakibatkan banjir yang semakin memburuk di sana.
Memetik Astro Awani, jumlah keseluruhan mangsa kini mencecah 73,390 daripada 22,699 keluarga di seluruh negara sehingga awal pagi hari ini (29 November) dengan 493 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka untuk menampung mereka yang terjejas.
Antara negeri yang terjejas akibat banjir adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor.
Banjir Di Klang, Selangor
Terbaharu, kawasan sekitar Meru, Klang di Selangor pula berdepan situasi banjir selepas hujan turun tanpa henti sejak lewat petang semalam (28 November).
Susulan itu, beberapa laluan dan kediaman telah terjejas iaitu di sekitar Jalan Hamzah Alang, Jalan Kasim termasuk beberapa jalan di Kampung Bukit Kapar antaranya Jalan Kempas, Jalan Hampa, Jalan Bukit Bahagian dan Jalan Kopi.
Memetik laporan Sinar Harian, EXCO Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Najwan Halimi memaklumkan sebanyak dua PPS telah dibuka setakat jam 8 pagi hari ini (29 November).
Selain itu, seramai 159 mangsa daripada 39 keluarga telah dipindahkan di dua PPS terbabit.
“Seramai 138 mangsa daripada 34 keluarga telah dipindahkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai Jaya, manakala seramai 21 keluarga membabitkan lima keluarga pula di Balai MPKK Bukit Kapar,” ujarnya.
Susulan itu, Smart Selangor Operation Centre (SSOC) akan memantau dan mengemaskini maklumat dari semasa ke semasa melibatkan situasi banjir di Meru, Klang.
Orang ramai yang mahu mendapatkan info lanjut, boleh menghubungi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor di talian 03-56500502/0506.
Paras Air Sungai Berada Pada Tahap Bahaya
Menerusi portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, paras air sungai di stesen Pekan Meru (Klang) melepasi paras bahaya dengan bacaan 4.63 meter(m) setakat pukul 4:45 petang ini.
Manakala paras air sungai di Bandar Klang pula meningkat dan Amaran Berjaga-jaga telah dikeluarkan apabila ia kini mencecah 2.51 meter setakat 4:45 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Bahaya, Buruk & Waspada) melibatkan kawasan Semenanjung berkuat kuasa sehingga 30 November 2024.
Selain itu, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan masih berkuat kuasa sehingga tarikh sama.
RAMALAN CUACA SIGNIFIKAN #ramalancuacasignifikan#metmalaysia#NRES#MalaysiaMADANI pic.twitter.com/n81y5HVLnt
— Jabatan Meteorologi Malaysia (@metmalaysia) November 29, 2024
Tips Pertama Kali Hadapi Banjir
Untuk anda yang pertama kali lalui pengalaman ini, berikut adalah beberapa tips berguna kepada individu yang belum pernah dilanda banjir di kawasan rumah. Antaranya:
- Simpan bateri telefon
- Hubungi talian bantuan
- Jangan redah air banjir
- Elakkan keluar rumah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas
- Simpan dokumen penting di tempat tinggi
1 Rumah, 1 Beg Kecemasan
Berikut pula adalah perkara yang paling penting perlu disediakan sebelum bencana banjir melanda, iaitu beg kecemasan untuk setiap rumah yang penuh dengan barangan seperti:
- Dokumen penting.
- Pakaian, kasut dan selimut.
- Lampu suluh dan bateri.
- Kit Bantuan Kecemasan & ubat-ubatan.
- Wisel.
- Makanan tahan lama.
- Air.
- Radio mini mudah alih berbateri.
- Kit kebersihan.
- Telefon dan powerbank.
- Wang ringgit.
Baca Artikel Berkaitan: “1 Rumah, 1 Beg Kecemasan” – Ini Senarai Barang Perlu Ada Dalam Beg Bencana Banjir
Baca Artikel Berkaitan: Elak Terkena Renjatan Elektrik, TNB Kongsi Langkah Keselamatan Ketika Banjir
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.