Now Reading
Lebih 2,000 Kes Penderaan Kanak-Kanak Setakat Ogos 2024, Majoriti Budak Perempuan – KPWKM

Lebih 2,000 Kes Penderaan Kanak-Kanak Setakat Ogos 2024, Majoriti Budak Perempuan – KPWKM

Datuk Seri Nancy Shukri dalam pada itu memaklumkan terdapat sekurang-kurangnya dua kali ganda kes penderaan terhadap kanak-kanak perempuan berbanding kanak-kanak lelaki.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kes penderaan, sama ada secara fizikal atau seksual, melibatkan kanak-kanak banyak dilaporkan dalam negara.

Pada September lalu, negara digemparkan dengan berita serbuan ke atas rumah amal GISB Holdings Sdn Bhd yang menyelamatkan 402 kanak-kanak didakwa dianiayai dan dieksploitasi.

Malah, beberapa kes kanak-kanak didakwa didera di pusat asuhan turut dilaporkan sebelum ini.

Baca Artikel Berkaitan: Dera 3 Kanak-Kanak Di Rumah Amal GISBH, Cikgu Dipenjara 10 Tahun

Baca Artikel Berkaitan: “Bayar Yuran RM1,300 Tapi Dera Anak” – Pihak HQ Taska Di Cheras Enggan Tunjuk CCTV Kepada Ibu Mangsa Dera


2,240 Kes Dera Kanak-Kanak Setakat Ogos 2024

Terkini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merekodkan sekitar 2,240 kes penganiayaan terhadap kanak-kanak tahun 2024 setakat bulan Ogos.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, memaklumkan bahawa sebanyak 4,469 kes penderaan kanak-kanak telah direkodkan pada tahun lepas.

Dalam jawapan parlimen semalam (27 November), Nancy berkata jenis laporan penderaan terhadap kanak-kanak dapat dibahagikan kepada tiga iaitu fizikal, seksual dan emosi.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, sebelum itu bertanyakan tentang statistik kes seksual dan penderaan membabitkan kanak-kanak bagi 2023 dan 2024, serta usaha kementerian dalam menangani masalah ini.

Menurut Nancy, statistik mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya dua kali ganda kes penderaan terhadap kanak-kanak perempuan berbanding kanak-kanak lelaki bagi dua tahun tersebut.


Kanak-Kanak Perempuan Hadapi Lebih Banyak Kes Penderaan Seksual Berbanding Kanak-Kanak Lelaki

Selain itu, laporan mendapati bahawa kanak-kanak lelaki berdepan penderaan fizikal lebih banyak berbanding kanak-kanak perempuan.

Sebaliknya kanak-kanak perempuan mengalami lebih banyak penderaan seksual dan emosi.

Malah, jurang perbezaan antara jumlah kes seksual terhadap kanak-kanak perempuan berbanding kanak-kanak lelaki amat mengejutkan.

Pada tahun 2023, sebanyak 2,328 kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak perempuan direkodkan, manakala 195 kes dicatatkan bagi kanak-kanak lelaki.

Selain itu, kes penderaan seksual bagi tahun 2024 adalah 1,149 bagi kanak-kanak perempuan dan 111 bagi kanak-kanak lelaki.


Lebih 2,000 Jenayah Seksual Kanak-Kanak Setakat April 2024

Di samping itu, Nancy berkata laporan polis mendedahkan sebanyak 5,401 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak bagi tahun 2023.

Manakala bagi Januari hingga April tahun ini, sebanyak 2,059 kes sedemikian direkodkan.

Nancy dalam pada itu berkata kerajaan mengambil serius sebarang kes penderaan atau jenayah seksual terhadap kanak-kanak.


“Membendung Penderaan & Jenayah Seksual Kanak-Kanak Perlu Kerjasama Semua Pihak” – Nancy Shukri

Jelasnya, terdapat tiga undang-undang yang melindungi kanak-kanak termasuk:

  • Akta Kanak-Kanak 2001
  • Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017
  • Akta Pusat Jagaan 1993

Dia berkata pindaan terhadap Akta Kanak-Kanak pada 2016 juga telah menaikkan tempoh hukuman bagi pemenjaraan dan denda di bawah Seksyen 31.

“Usaha bagi membendung penderaan dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak tidak sepatutnya diserahkan kepada kerajaan semata-mata.

“Kerjasama daripada semua pihak, sama ada individu, komuniti, organisasi sektor swasta atau organisasi bukan kerajaan, diperlukan bagi memastikan kesalahan sebegini tidak dibiarkan membelenggu kanak-kanak di negara ini,” katanya dipetik The Star.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd