Banjir Di Pantai Timur Semakin Memburuk, Warga Emas Jadi Korban Pertama Di Terengganu
Keadaan banjir ini secara tidak langsung telah mengakibatkan bekalan elektrik beberapa kawasan di Kelantan terpaksa diputuskan oleh kerana hujan yang masih berterusan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Saban tahun, Malaysia pasti mengalami bencana banjir pada bulan Disember, terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terenggganu.
Keadaan banjir yang semakin memburuk telah menyebabkan pihak berkuasa sudah bersedia untuk membuka pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa-mangsa yang terlibat.
Memetik Berita Harian, hampir 40,000 mangsa banjir di seluruh negara melibatkan 12,107 keluarga telah dipindahkan di di 345 PPS di enam negeri.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)Â mendedahkan Kelantan sebagai negeri yang paling terjejas setakat ini dengan jumlah 32,858 mangsa di 10 daerah membabitkan 989 buah keluarga.
Rantau Panjang ‘Tenggelam’ Selepas Bacaan Sungai Golok Melebihi Bacaan Banjir Buruk 2014
Memetik laporan Sinar Harian, Rantau Panjang, Kelantan disifatkan telah ‘lumpuh’ selepas paras air Sungai Golok sudah mencecah 11.42 meter dan melepasi catatan bah kuning pada 2014.
Keadaan ini secara tidak langsung telah mengakibatkan bekalan elektrik di beberapa kawasan terpaksa diputuskan oleh kerana hujan yang masih berterusan.
Seorang penduduk di Pekan Rantau Panjang yang dikenali sebagai Fadhli Mat Yusof berkata peningkatan air itu telah menimbulkan rasa trauma kepada dirinya kerana mengingatkan kepada tragedi banjir 2014.
“Kami sudah bersedia awal sebab mengikut pedoman orang tua, serta pengalaman lepas setiap 10 tahun akan banjir besar. Tahun 2004, 2014 dan sekarang 2024 air Sungai Golok hari ini dah cecah 11.42 meter begitu cepat,” katanya.
Setakat ini, sembilan daerah yang terjejas di Kelantan adalah:
- Pasir Mas (11,698 orang)
- Tanah Merah (3,224 orang)
- Kuala Krai (2,826 orang)
- Pasir Puteh (2,757 orang)
- Tumpat (2,390 orang)
- Kota Bharu (2,156 orang)
- Machang (1,749 orang)
- Bachok (1,386 orang)
- Jeli (773 orang)
TNB Careline melalui hantaran laman Facebook mereka juga memaklumkan sebanyak 14 lagi pencawang elektrik dihentikan bekalannya bermula 1 pagi tadi ekoran keadaan banjir yang semakin membimbangkan di sekitar Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok dan Kuala Krai.
Langkah penutupan bekalan oleh pihaknya itu adalah demi keselamatan pengguna setempat.
Perkembangan Banjir Di Terengganu
Selain Kelantan, keadaan banjir di Terengganu juga semakin membimbangkan apabila jumlah penduduk yang dipindahkan ke PPS juga meningkat secara mendadak dari 2,399 orang kepada 8,215 orang.
Setakat jam 8 pagi hari ini (28 November), terdapat enam daerah yang dilanda banjir di Terengganu iaitu:
- Kemaman
- Dungun
- Besut
- Setiu
- Marang
- Hulu Terengganu
Berdasarkan statistik, daerah Besut merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 3,205 mangsa manakala daerah Hulu Terengganu pula adalah seramai 2,039 mangsa.
Daerah Setiu juga menunjukkan peningkatan mangsa banjir seramai 2,022 mangsa daripada 577 keluarga dipindahkan ke 28 PPS.
Warga Emas Jadi Mangsa Pertama Banjir Di Terengganu
Terbaharu, seorang warga emas telah menjadi korban pertama banjir di Terengganu apabila mangsa iaitu Tuan Jusoh Tuan Hassan berusia 66 tahun ditemukan lemas di Kampung Amer, Besut.
Memetik laporan Buletin TV3, kejadian yang dilaporkan itu berlaku ketika mangsa dikatakan pergi ke kawasan sawah padi bersama tiga lagi rakan untuk memukat ikan kira-kira 8.15 pagi tadi (28 November).
Namun ketika melakukan aktiviti mengangkat pukat, mangsa dilaporkan hilang sebelum rakan-rakannya cuba untuk menyelamatkan mangsa.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut Muhammad Azrul Izzham Zulkifli, pihaknya berkata mereka menerima panggilan kecemasan pada 9.08 pagi sebelum mangsa berjaya ditemui sekitar jam 10:10 pagi sekitar lima meter dari lokasi dilaporkan hilang.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.