Pengusaha Kantin Sekolah Boleh Bincang Dengan Ibu Bapa Jika Mahu Naikkan Harga – Fadhlina Sidek
Namun pengusaha kantin yang telah menandatangani tender dengan pihak sekolah tidak boleh menaikkan harga jualan dengan sesuka hati.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap sekolah pasti mempunyai kantin masing-masing yang menjual hidangan makanan untuk murid ketika waktu rehat.
Kebiasaannya, harga makanan dan minuman yang ditawarkan di kantin sekolah pastinya lebih murah berbanding kedai atau restoran di luar agar tidak membebankan ibu bapa dan murid-murid.
Namun, dengan harga barangan yang dijangka kian meningkat, timbul persoalan jika pengusaha kantin sekolah boleh menaikkan harga jualan mereka.
“Pengusaha Kantin Tender Tidak Boleh Naikkan Harga Jualan Sesuka Hati” – Fadhlina
Terkini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pengusaha kantin sekolah yang mahu menaikkan harga jualan makanan boleh berbincang dengan pihak sekolah serta wakil Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) bagi mendapatkan persetujuan.
Namun beliau mengingatkan bahawa pengusaha kantin yang telah menandatangani tender dengan pihak sekolah adalah tertakluk dengan perjanjian tersebut dan tidak boleh menaikkan harga jualan dengan sesuka hati.
“Berdasarkan buku Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat yang terkini terbitan tahun 2011, adalah menjadi tanggungjawab pihak pengetua atau guru besar memastikan pengusaha kantin menjual makanan mengikut senarai barang-barang makanan dan minuman yang terdapat dalam sebut harga.
“Dalam Perjanjian Penyewaan dan Pengurusan Kantin Sekolah yang ditandatangani oleh pihak sekolah (mewakili kerajaan) dengan pengusaha kantin sekolah pula, pihak pengusaha kantin sekolah hendaklah memastikan penjualan makanan dan minuman di kantin sekolah adalah pada harga yang berpatutan sebagaimana yang dipersetujui oleh pihak sekolah,” katanya.
Harga Barangan Dijangka Naik Tahun Depan
Fadhlina menjelaskan perkara itu setelah menerima soalan daripada Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki mengenai perancangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meringankan beban lebih 10,000 pengusaha kantin sekolah.
Ia berikutan kenaikan harga yang dijangkakan berlaku pada tahun hadapan menurut Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM).
Tambah Fadhlina, pihaknya sentiasa peka dan prihatin terhadap nasib pengusaha kantin sekolah.
Malah, KPM ambil maklum mengenai kenaikan harga barang dan kos bahan mentah yang menyebabkan pengusaha kantin sekolah terkesan.
Pelbagai Inisiatif Dijalankan Oleh Kerajaan & KPM
Bagi mengurangkan beban tersebut, Fadhlina berkata kerajaan, khususnya KPM, telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pemberian bantuan dan pengecualian pembayaran sewa kantin.
Sebanyak RM1,500 telah diberi kepada pengusaha kantin sekolah bawah KPM pada tahun 2020 dan bantuan RM1,000 kepada pengusaha kantin sekolah melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) pada 2021.
Selain itu, pengusaha kantin sekolah bawah KPM turut dikecualikan bayaran sewa bagi Mac 2020 hingga November 2020 dan bagi Januari 2021 hingga Disember 2021.
Bagi kontrak asal yang tamat pada 2021 dan 2022, penyambungan kontrak sewaan kantin dijalankan secara automatik untuk tempoh satu tahun. Pengusaha kantin turut diberi pengecualian sewa bagi Januari 2022 hingga November 2022.
Di samping itu, Fadhlina memaklumkan kerajaan telah membuat pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang di sekolah-sekolah KPM selama tiga bulan, dari 1 Januari 2023 hingga 31 Mac 2023.
“Inisiatif Oleh KPM Tanda Keprihatinan” – Fadhlina Sidek
Fadhlina berkata inisiatif yang dijalankan oleh pihak KPM menunjukkan tanda keprihatinan untuk membantu pengusaha kantin yang terkesan dengan kenaikan harga semasa bahan mentah serta membantu menyusun semula perniagaan selepas terjejas dengan pandemik COVID-19.
“KPM percaya dengan inisiatif ini dapat membantu pengusaha-pengusaha kantin menyusun semula strategi perniagaan dan menjana pendapatan mereka,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Pengerusi MARA Terjah Kantin MRSM, Respon Tidak Profesional Pengusaha Kantin Buat Ramai Ternganga
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Aksi 2 Pelajar Berlainan Bangsa Kongsi Bungkusan Nasi Di Kantin Buat Ramai Tersentuh
Baca Artikel Berkaitan: Topik Kantin Sekolah Dibuka Bulan Ramadan Jadi Perdebatan Hangat Di Media Sosial
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.